Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) berbesar hati mengumumkan servis selepas jualan yang baru – Walnut Blasting Decarbonizer di semua pengedar sahnya.
VOLKSWAGEN Walnut Blasting Decarbonizer menggunakan kulit kayu walnut untuk menghilangkan karbon yang melekat di dalam enjin bagi menawarkan pemanduan lebih bersih dan lancar.

Menjadi sebahagian daripada inisiatif Volkswagen Cares, perkhidmatan itu boleh didapati pada harga serendah RM515 dan dicadangkan sebagai satu langkah preventif bagi setiap 45,000km.
Diperakui dan diluluskan oleh Volkswagen AG, langkah ini dilihat ekonomikal, efisien dan tidak menghakis kerana ia tidak menggunakan bahan kimia berbahaya.
Semua kereta dengan enjin pancitan terus yang menggunakan bahan api akan menghasilkan deposit karbon akibat kesan proses pembakaran, ia kemudian menyebabkan prestasi enjin menjadi lembab.
Selepas bertahun-tahun, ia akan membentuk jelaga yang keras di sekeliling injap pengambilan. Jelaga tersebut menimbulkan halangan di dalam enjin dan membuatkan enjin hilang kuasa, panas dan penggunaan bahan api lebih tinggi.
Selain daripada lampu amaran Electronic Power Control dan enjin menyala, simptom lain ialah bunyi melahu yang kasar, pecutan tidak lancar, cetusan terputus-putus dan bunyi ketukan (knocking).
Pengarah Urusan Volkswagen Passenger Cars Malaysia, Erik Winter berkata, penambahan servis ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan di bawah janji Volkswagen Cares.
“Sedia maklum bahawa pelanggan adalah keutamaan kami. Kami akan terus mencari jalan untuk menambah baik perkhidmatan dan tawaran kepada para pelanggan di bawah janji jenama VW Cares demi memberi perkhidmatan berkualiti serta bernilai tambah.
“Ini merupakan salah satu daripada lebih banyak yang akan kami tawarkan nanti. Para pemilik kenderaan Volkswagen dinasihatkan untuk menghilangkan karbon enjin setiap 45,000km sebagai satu langkah preventif dan mendapatkan bantuan lanjut daripada mana-mana pengedar sah,” katanya.