Gabungan 30 suara dan lenggok badan para pelajar dari Sekolah Menengah Sultan Abdul Aziz Shah, Kajang memukau para juri sekali gus melayakkan mereka digelar sebagai juara Pertandingan Bicara Berirama Peringkat Negeri Selangor 2019 yang diadakan di SACC Mall baru-baru ini.

PERTANDINGAN Bicara Berirama (Coral Speaking) ini adalah anjuran pertama kali oleh Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) dengan kerjasama PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) dan dikelolakan oleh Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Langat.

Sebanyak 10 buah sekolah terdiri daripada 300 orang pelajar dan 100 orang guru pembimbing dari Hulu Langat, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Selangor, Sabak Bernam, Klang, Kuala Langat, Sepang, Petaling Utama dan Petaling Perdana berentap bagi merebut tempat pertama untuk mewakili Selangor ke Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan di Pahang.

Pemangku Pengurus Pusat PREC, Syahril Mohd Rashid dalam ucapan perasmian dan penyampaian hadiah pertandingan berkata, program pendidikan seperti ini penting kerana ia merupakan salah satu cabang dalam menjayakan aktiviti tanggungjawab sosial korporat PREC.

“PREC amat mengalu-alukan program seperti ini lagi di masa hadapan untuk dianjurkan di pusat beli-belah milik PREC iaitu SACC Mall, Kompleks PKNS Shah Alam dan Kompleks PKNS Bangi.

“Pertandingan seperti ini dapat memupuk minat serta meningkatkan kecemerlangan murid, baik yang bersekolah di bandar mahupun di luar bandar dalam bidang kokurikulum akademik di samping memperkukuh konsep-konsep pembelajaran bahasa Melayu yang telah dipelajari,” katanya.

“Pertandingan seumpama ini amat berkesan dalam menarik minat murid terhadap persembahan bahasa puisi dalam bentuk berkumpulan kerana dapat membantu mereka membentuk satu paduan suara tematik untuk diperdengarkan kepada penonton.

“Kesepaduan dan keseragaman suara amat penting dan dapat membentuk disiplin yang tinggi dalam kerja berpasukan,” kata Penyelia Kokurikulum Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Yang Mulia Puan Tunku Saidatul Bariah Tunku Nizam.

“Harapan dari pihak JPNS untuk meneruskan lagi sinergi ini di masa hadapan bersama PREC di mana ia dilihat sangat berkesan terutama dalam memberi pendedahan kepada masyarakat tentang aktiviti kokurikulum yang diadakan di sekolah selain meningkatkan keyakinan para pelajar untuk menonjolkan bakat mereka di khalayak ramai,” katanya.

Senarai pemenang :

  1. Johan : SMK Sultan Abdul Aziz Shah, Kajang (Daerah Hulu Langat)
  2. Naib Johan : SMK Rawang (Daerah Gombak)
  3. Ketiga : SMK Pulau Indah, Klang (Daerah Kajang)
  4. Konduktor Terbaik : Muhammad Al Muzzammil Bin Abdul Haris (SMK Pulau Indah, Klang
  5. Skrip Terbaik : SMK Seri Sepang (Daerah Sepang)