Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) hari ini mengeluarkan koleksi khas setem dan produk filateli sempena pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI.
SIRI setem ini adalah lebih istimewa kerana menerima sentuhan peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong telah memberi perhatian khusus dalam penghasilan siri setem khas ini dan memainkan peranan aktif sepanjang projek ini serta memberikan panduan yang jelas dan teliti.
“Kami di Pos Malaysia amat berbesar hati kerana berpeluang bekerjasama dengan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan wakil-wakil Istana Negara,” kata Syed Md Najib Syed Md Noor, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia dalam kenyataan, hari ini.
Setem peringatan ini didatangkan dalam denominasi 60sen, 80sen dan RM1, memaparkan koleksi potret KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berpakaian rasmi.
Setem 80sen menampilkan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bersama Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
“Siri setem ini merupakan koleksi eksklusif bukan sahaja bagi pengumpul setem tetapi juga kepada orang ramai kerana ia hanya dikeluarkan bersempena pertabalan Yang di-Pertuan Agong. Siri setem Yang di-Pertuan Agong pertama kali dikeluarkan oleh Pos Malaysia pada tahun 1966.
“Setiap edisi mempunyai reka bentuk unik dan ciri tersendiri, sebagai penghormatan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Selain setem, Lembaran Mini memaparkan imej Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong juga boleh didapatkan dengan harga RM5.
Teknik percetakan dakwat emas khas digunakan pada setem dan Lembaran Mini yang menghasilkan efek cetakan timbul pada produk filateli tersebut.
Tanda pembatalan menampilkan Jata Pertabalan KDYMM Yang di-Pertuan Agong, tajuk siri setem dan tarikh keluaran. Seperti mana dengan pengeluaran setem khas lain, tanda pembatalan hanya tersedia untuk tujuan mengecap pada hari keluaran.
Hanya terdapat 300,000 keping dikeluarkan untuk setiap setem. Koleksi setem ini akan dijual di semua pejabat pos di seluruh negara bermula esok, Rabu, 31 Julai 2019.
Produk filateli lain termasuk Sampul Surat Hari Pertama (FDC) dan Folder. FDC berharga 50sen setiap satu manakala folder pula RM6 setiap satu. Set folder lengkap yang dijual pada RM57.80 mengandungi tiga helai lembaran setem, brosur maklumat, Lembaran Mini, FDC dengan setem, FDC dengan Lembaran Mini dan Folder.
Pos Malaysia menggalakkan orang ramai dan peminat setem untuk mendaftar sebagai ahli Akaun Deposit Pesanan Berdaftar (SODA) bagi mempermudahkan urusan mendapatkan setem keluaran terbaharu serta menikmati manfaat eksklusif yang ditawarkan kepada ahli SODA sahaja.
Mereka yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada komuniti ini boleh mendaftar dimana-mana pejabat pos di seluruh negara atau secara dalam talian di www.posonline.com.my.
Untuk pertanyaan lebih lanjut mengenai setem dan produk filateli lain, Unit Setem dan Filateli Pos Malaysia boleh dihubungi melalui telefon di 03-2267 2267 ext. 2000 atau e-mel pertanyaan anda kepada [email protected].