BIMB Holdings Berhad (BHB) baru-baru ini dipilih sebagai 20 finalis dalam Anugerah Membina Kepercayaan 2019 oleh PwC Malaysia.

IA adalah satu anugerah yang mengiktiraf syarikat-syarikat Malaysia yang mengambil langkah dalam membina kepercayaan melalui komunikasi dan interaksi mereka dengan pihak-pihak berkepentingan.

(dari kanan) Tan Sri Ambrin Buang, Pengerusi BIMB Holdings Berhad menerima anugerah daripada Nadiah Wan (tengah), hakim Anugerah Membina Kepercayaan 2019 oleh PwC

Pemilihan berkenaan telah dibuat berdasarkan kualiti Laporan Tahunan Bersepadu BHB yang dibandingkan dengan Rangka Kerja Majlis Pelaporan Bersepadu Antarabangsa (IIRC) serta ukuran persepsi amanah melalui penilaian terhadap kepercayaan kepimpinan dan undi orang ramai.

Tiada penghantaran penyertaan atau pencalonan yang diterima untuk anugerah ini.

Sementara itu, untuk julung kalinya, anak syarikat milik penuh BHB iaitu Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam), telah muncul di kedudukan teratas dalam jadual liga Sukuk Global Bloomberg dari kedudukan ke-27 (pada akhir tahun 2018) pada separuh pertama tahun ini.

Ia meraih 17.31 peratus daripada penguasaan pasaran Sukuk Global, setelah berjaya mengatur beberapa perjanjian utama yang menjana sukuk berjumlah AS$ 5.15 bilion (RM21.02 bilion).

Buat kali pertama juga, Bank Islam mendahului dalam jadual liga Pasaran Modal Malaysia Bloomberg dalam kategori Terbitan Bon Malaysia dan Sukuk Ringgit Malaysia pada separuh pertama tahun ini.

Sehingga 30 Jun 2019, penguasaan pasarannya dalam Bon Malaysia dan Sukuk Ringgit Malaysia masing-masing berada pada kadar 34.71 peratus dan 38.28 peratus.

BIMB Investment Management Berhad (BIMB Investment), sebuah syarikat pengurusan dana Islam sepenuhnya dan anak syarikat milik penuh Bank Islam yang menyediakan produk dan perkhidmatan pelaburan Syariah yang bercirikan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) kepada pelabur individu dan korporat, juga menerima penghormatan sebagai Pengurus Aset ESG Terbaik sempena Anugerah Kewangan Islam The Asset Triple A 2019.

Anugerah ini adalah sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan pencapaian penting BIMB Investment dalam elemen ESG, kelestarian dan pengurusan aset di rantau Asia.

Pengerusi BIMB Holdings Berhad, Tan Sri Ambrin Buang berkata: “Kami amat berbangga dengan pencapaian anak-anak syarikat kami. Saya ingin menzahirkan penghargaan kepada semua pihak berkepentingan kerana pencapaian penting ini tidak mungkin dicapai tanpa kepercayaan dan sokongan daripada mereka.

“Kami akan terus berusaha dan menyampaikan penyelesaian kewangan kepada pelanggan, bukan sahaja di pasaran modal Islam tetapi juga dalam Kewangan Islam secara umum,” katanya.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini