Perodua telah menganjurkan Pertandingan Kemahiran Badan & Cat (B&P) buat julung kalinya dalam usaha untuk membangunkan modal insan serta memberikan perkhidmatan lebih baik kepada pelanggannya.

PERODUA menubuhkan bahagian itu pada 2009, melibatkan pembaikan dan pemulihan kenderaan yang terlibat dalam perlanggaran.

“Pembayaran tunai diterima; B&P Perodua juga membantu pelanggan dalam proses tuntutan insurans. Perniagaan ini bertujuan untuk menyelesaikan masalah dan membaik pulih kenderaan yang terlibat dalam perlanggaran, dengan melaksanakan kerja sebaik mungkin mengikut tahap kualiti dan keselamatan tinggi.

“Selain itu, penggunaan alat ganti tulen turut memberi ketenangan minda penuh kepada para pelanggan kami,” kata Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Dato’ Dr Zahari Husin.

Beliau berkata, keselamatan pelanggan adalah keutamaan dan apabila sesebuah kenderaan terlibat dalam perlanggaran, keadaan struktur dan tahap keselamatannya mungkin akan terjejas.

“Juruteknik kami telah dilatih secara profesional untuk memberikan mutu kerja yang terbaik dalam proses memulihkan kenderaan Perodua yang terlibat dalam perlanggaran,” katanya.

Walaupun Perodua telah menganjurkan Pertandingan Kemahiran Teknikal Kebangsaan sejak tahun 1997, yang melibatkan penasihat servis, foreman dan mekanik dari seluruh Malaysia, ini merupakan kali pertama pertandingan seperti ini diadakan untuk kakitangannya di B&P.

Para peserta diberikan senario sukar yang berkaitan dengan pelanggan dan dinilai bukan sahaja berdasarkan kebolehan teknikal dan kemahiran menyelesaikan masalah, malah penekanan yang diberikan kepada Kepuasan Pelanggan.

Pertandingan Kemahiran B&P Perodua yang pertama ini menyaksikan seramai 140 penasihat servis B&P, juruteknik badan dan juruteknik cat daripada 33 hab B&P dan 4S di seluruh negara menyertai pusingan awal yang berlangsung di sepanjang Februari dan Mac lalu.

Peringkat separuh akhir pada April lalu telah menghasilkan 12 finalis dalam tiga kategori dipertandingkan iaitu penasihat servis B&P, juruteknik badan dan juruteknik cat.

Peringkat akhir pada minggu lepas telah menyaksikan Norhizam Zainal Abidin (Hab Puchong B&P), Hazinin Rosli (Kota Kinabalu 2) dan Fazwan Mazlan (Kota Bharu 1) menjuarai kategori masing-masing.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini