Dalam filem ketiga siri “Escape Plan” ini, Ray Breslin dan Trent DeRosa perlu bekerjasama sekali lagi.

Bagaimanapun, dalam filem terbaharu kali ini, bintang aksi Cina, Zhang Jin yang “bertempur” masuk ke Hollywood kini bekerjasama dengan legenda aksi, Sylvester Stallone yang sudah tidak asing lagi dalam dunia perfileman.

Berbanding filem pertama dalam siri ini membabitkan gandingan pelakon yang sama-sama bertubuh sasa iaitu Sylvester Stallone dan Arnold Schwarzenegger sebagai watak utama, namun filem kali ini Stallone digandingkan dengan pelakon kung fu, Zhang Jin.

1. Jalan cerita menarik

Filem Escape Plan The Extractors adalah sekuel ketiga siri filem ini. Filem kali ini mengisahkan seorang anak perempuan pakar teknologi Hong Kong telah diculik dan mereka perlu menyelamatkannya dari penjara Latvian, di mana kekasih Breslin, Abigail Ross, turut ditangkap.

Mereka disertai oleh Shen Lo, yang sebelumnya bekerja sebagai pengawal keselamatan Zhang Innovations. Mereka mendapati penculikan tersebut dilakukan oleh anak kepada musuh mereka, dan mereka perlu menyelesaikan misi itu secara berpasukan sebelum terlambat.

 

Dalam filem sebelum ini, Stallone beraksi sebagai artis pelarian penjara atau “pakar keselamatan” yang menghabiskan sepanjang hidupnya memasuki penjara untuk mempelajari reka bentuk dan mengeksploitasi kelemahan penjara.

Kali ini, bukan sahaja Stallone akan menghadapi musuh sadis, yang merupakan anak kepada bekas musuhnya, malah teman wanitanya juga ditahan di penjara Latvia yang amat menggerunkan.

Dalam filem Escape Plan The Extractors, anak kepada Wu Zhang, Daya Zhang telah diculik oleh kumpulan professional yang tidak diketahui.

Wu Zhang pemilik syarikat yang membina penjara-penjara kompleks yang menjadi fokus filem-filem Escape Plan. Shen, rakan lama Daya mendapat tahu hal ini dan mendapatkan bantuan Ray Breslin, hero filem ini untuk menyelamatkan semula Daya.

2. Aksi kung fu hebat

Dalam filem ini, banyak aksi-aksi kung fu dapat dilihat dan mengagumkan ditunjukkan oleh Zhang Jin yang telah menarik perhatian Stallone.

Justeru tidak hairanlah Stallone menjemputnya untuk menyertai filem ini dan sanggup menyimpan watak Zhang Jin sebagai rahsia, dan hanya mendedahkan bahawa dia adalah salah satu “watak utama” apabila filem ini hampir siap.

Gabungan aksi kung fu dan aksi lawan cara Barat yang ditunjukkan Stallone turut menjadikan filem ini penuh dengan adegan mendebarkan. Ini juga adalah kali kedua Zhang Jin bekerjasama dengan Bautista, selepas filem “Master Z: The Ip Man Legacy”.

Babak berlawan dalam filem ini lebih hebat memandangkan skill kungfu Zhang Jin memang hebat, seperti yang dilihat dalam filem Ip Man.

3. Guna dron

Penggunaan teknologi canggih dan moden seperti komputer serta dron menjadikan jalan cerita filem ini kelihatan hebat. Penggunaan gajet-gajet canggih ini adalah satu kemestian dalam filem aksi Barat kerana ini akan memperlihatkan kepada umum bahawa pasukan diketuai Stallone dilengkapi peralatan serba canggih.

Tidak ketinggalan aksi bekas ahli gusti profesional, Dave Bautista yang memiliki senjata api serba canggih yang mampu membunuh sasaran dengan peluru yang diciptanya sendiri. Beliau menggunakan peluru dikenali sebagai ‘Dragon’ atau Naga yang mengeluarkan api merah yang sangat dasyat jika peluru itu dilepaskan.

Dalam filem ini juga menunjukkan kepada dunia bahawa dengan hanya mengaktifkan pemacu pena (pendrive) di sebuah komputer, musuh dalam filem ini mampu menjejaki kedudukan Stallone yang beroperasi di pejabat yang tersembunyi.

4. Penuh aksi kejam

Bagi anda yang gemarkan aksi membunuh dan ingin melihat bagaimana seseorang itu dibunuh dengan kejam, ini adalah antara filem yang boleh ditonton.

Pada awal jalan cerita, mangsa-mangsa penculikan dibunuh dengan kejam sama ada ditembak mahupun diseksa terlebih dahulu. Mereka dibunuh tanpa belas kasihan.

Anda juga boleh melihat bagaimana Stallone membunuh musuh-musuhnya dipenjara Devil’s Station yang turut menempatkan pesalah-pesalah lain yang sengaja ditangkap hanya untuk mendapatkan wang.

Antara aksi kejam dilakukan Stallone ialah merejam sebatang besi yang terus menembusi leher salah seorang musuh dan aksi terakhir ialah membunuh musuh ketatnya dengan menyembelih leher dalam keadaan darah memancut-mancut keluar sebagaimana kekasihnya dibunuh.

5. Kesimpulan

Penonton boleh mengharapkan banyak adegan aksi gempar dari mereka. Filem arahan John Herzfeld, dengan skrip dari Miles Chapman. Sekuel ini menbawa kembali Stallone, Dave Bautista, Jaime King dan Tyler Jon Olson, sambil menampilkan watak baru seperti Zhang Jin, Devon Sawa dan Jow Malese.

Jalan cerita filem ini sangat mudah tetapi aksi dalam filem ini lebih baik berbanding filem-filem sebelumnya terutamanya aksi kung fu.

Lakonan Zhang Jin cukup berkesan kerana skill kung fu beliau cukup hebat sama ada berlawan dengan pisau atau hanya tangan kosong dan memang tidak mengecewakan jika korang menontonya bersama rakan. Kekuatan filem ini sebenarnya terletak pada Sylvester Stallone, Dave Bautista dan Zhang Jin.

Pengakhiran cerita ini juga seakan sudah dijangka apabila Stallone membunuh musuh paling dibencinya dengan kejam manakala anak taikun Hong Kong itu pula akhirnya selamat dikembalikan kepada bapanya. Namun, anak perempuannya tidak mahu bersama dengan bapanya lagi. Nak tahu kenapa dia tidak mahu bersama bapanya, Tontonlah filem ini untuk melihat kesudahannya.

Pengarah: John Herzfeld
Penulis: Miles Chapman, John Herzfeld
Pelakon: Sylvester Stallone (Ray Breslin), Dave Bautista (Trent DeRosa), 50 Cent (Hush), Jin Zhang (Shen), Harry Shum Jr. (Bao), Devon Sawa (Lester Clark Jr.), Jaime King (Abigail Ross), Lydia Hull (Jules), Melise (Daya Zhang), Russell Wong (Wu Zhang)
Klasifikasi: PG-18
Genre: Aksi, Adventure
Durasi: 1 Jam 37 Minit
Tarikh Tayangan: 11 Julai 2019
Produksi: Lionsgate, MoviePass Films, Mandate Pictures, LLC
Bahasa: Inggeris
Sarikata: Inggeris / Melayu / Cina

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini