Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) dan Maybank Asset Management Sdn Bhd (MAM) mengumumkan pemenang kempen “Simpan, Labur dan Menang”.

KEMPEN yang dilancarkan pada 15 Ogos 2018, bertujuan mempromosi dan meningkatkan pelaburan dalam Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) – dana unit amanah yang disokong harta tanah patuh syariah yang pertama di Malaysia.

Dana yang bermula pada 2010 ini bertujuan menyediakan lebih banyak peluang bagi Bumiputera untuk mengambil bahagian dalam pemilikan benefisial hartanah komersil utama melalui pegangan unit mereka dalam AHB.

Dengan “Simpan, Labur dan Menang” pemegang unit AHB dengan baki minimum 1,000 unit dalam akaun yang dikekalkan untuk tempoh enam bulan, bermula 1 Oktober 2018 hingga 31 Mac 2019, secara automatik didaftarkan untuk mengambil bahagian dalam satu cabutan rawak.

Para pemegang unit layak untuk mendapat satu penyertaan bagi setiap 1,000 unit yang disimpan sepanjang tempoh enam bulan ini. Semua penyertaan dikira berdasarkan baki bulanan minimum purata selama enam bulan.

Para pemegang unit yang baharu turut layak menyertai cabutan dengan syarat akaun mereka dibuka sebelum 1 Oktober 2018. Peserta yang disenarai pendek dihubungi oleh Pengurus Cabutan untuk menjawab satu soalan berdasarkan kemahiran untuk melengkapkan cabutan, dan mereka yang mempunyai jawapan yang tepat diisytiharkan sebagai pemenang.

Hadiah pertama sebanyak 200,000 unit AHB telah dimenangi oleh Profesor Dato Mohd Fadzil Abdul Rahman dari Sarawak.

Hadiah kedua sebanyak 100,000 unit AHB pula dimenangi oleh Noor Suzara Embong dari Terengganu manakala pemenang tempat ketiga pula ialah Mohammad Amirul Aiman ​​Azman dari Johor. Pemegang Akaun Remaja ini pulang dengan 50,000 unit AHB.

Pengarah Urusan Kumpulan Pelaburan Hartanah Berhad (PHB), Dato’ Mahmud Fauzi Muda yang menyampaikan hadiah turut mengucapkan tahniah kepada para pemenang dan memuji komitmen mereka dalam melabur dan membuat perancangan kewangan.

“Kami berharap ini adalah pengalaman yang menggembirakan untuk anda, dan berharap ini akan menjadi inspirasi kepada pelabur Bumiputera dan ibu bapa Bumiputera lain untuk memulakan simpanan awal, bagi anak-anak mereka,” katanya.

Katanya, AHB adalah unik kerana ia memberi peluang kepada pemegang unit untuk melabur dalam hartanah utama bernilai tinggi tanpa menggunakan modal besar daripada pelabur individu.

“AHB harus menjadi skim pilihan bagi pelabur Bumiputera kerana ia menggalakkan pelaburan patuh Syariah. AHB juga perlu menjadi skim pilihan untuk pelabur Bumiputera kerana ia adalah langkah penting untuk meningkatkan pemilikan Bumiputera dalam hartanah komersil di negara ini,” katanya.