Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan melawat tapak pembinaan Hospital Pendang yang berkeluasan 9 hektar di daerah Pendang.

HADIR sama Tunku Laksamana Kedah, Dato’ Tunku Shazuddin Ariff Ibni Sultan Sallehuddin, Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir, Yang DiPertua Majlis Daerah Pendang, Syed Khairol Anuar Syed Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ORANGEBEAM Berhad, Dato’ Faris Yahaya.

Tuanku Sultan berkenan bertemu dengan Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Kedah, Tuan Ibrahim Ahmad untuk persembahan model dan taklimat projek Hospital Pendang.

Kerja pembinaan sedang berlangsung yang bermula dengan sistem perparitan, cerucuk dan jalan raya oleh kontraktor berpakar industri, ORANGEBEAM Construction Sdn Bhd yang merupakan rakan kongsi Seri Libana Sdn Bhd.

“Ini adalah suatu penghormatan bagi kami di ORANGEBEAM untuk melaksanakan projek hospital kerajaan yang berkepentingan tinggi ini. Kami ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada JKR dan rakan kongsi Seri Libana Sdn Bhd kerana berkeyakinan terhadap kemampuan syarikat kami untuk menyempurnakan projek ini menurut tempoh masa yang ditetapkan, berlandaskan piawaian industri.

Sejajar dengan aspirasi Malaysia untuk maju dengan teknologi dan inovasi serta usaha-usaha syarikat kami dalam menggiatkan penggunaan teknologi dalam industri pembinaan, kami akan melaksanakan projek ini dengan menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri Digital (IBS) yang akan membantu dengan pengurusan kos dan masa secara cekap.

Kami juga akan menggunakan teknologi Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) Level of Development (LOD) 500 untuk mempercepatkan keseluruhan proses reka dan bina,” kata Dato’ Faris.

Pada Mei 2018, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah melantik Seri Libana PPC JV Sdn Bhd, sebuah syarikat usahasama di antara Seri Libana Sdn Bhd dan ORANGEBEAM Construction Sdn Bhd, untuk pembinaan projek Hospital Pendang yang dilaksanakan secara reka dan bina dengan nilai kontrak berjumlah RM179 juta.

Hospital Pendang dijangka siap pada penghujung 2021 dengan kapasiti sebanyak 126 katil pesakit bagi memberikan 10 perkhidmatan kepakaran seperti Perubatan, Pembedahan, Orthopaedik, Obstetrik, Ginekologi, Pediatrik, Anaesthesiologi, Perubatan Kecemasan, Patologi, Radiologi dan Psikiatrik.