BMW Malaysia memperkenalkan BMW X7 yang pertama, ikon terkini yang melambangkan definisi kemewahan progresif yang baharu.

KENDERAAN Sport Aktiviti (SAV) milik BMW dalam segmen kenderaan mewah ini mencerminkan kualiti yang bertaraf tertinggi dalam aspek kemodenan, kemewahan dan pesona, serta ia memahat tanda aras baharu dalam segmen tersebut.

Sashi Ambi, Ketua Komunikasi Korporat BMW Group Malaysia berkata, “Dimensi kemodenan dan kemewahan progresif telah menjadi daya peneraju dalam penawaran produk global yang terbesar daripada BMW Group, dan BMW X7 mendemonstrasikan prinsip yang kami guna pakai untuk segmen automotif mewah.

“Model-model BMW X dikategorikan sebagai model yang tersohor dalam portfolio BMW dan ia berjaya mencatat penyerahan berjumlah lebih daripada lima juta unit di persada antarabangsa sejak ia diperkenalkan.

Di Malaysia, kenderaan BMW X melakar penyerahan yang berjumlah lebih daripada 5,000 unit di seluruh negara pada tahun 2018.

Jentera SAV mewah ini memperlihatkan bagaimana ambien eksklusif model BMW X dibawa ke sedan BMW 7 Series buat julung kali, ia mendemonstrasikan strategi pengeluar kenderaan premium ini yang seterusnya dalam segmen kenderaan mewah.

Model kenderaan dalam famili BMW X yang terbaharu dan yang terbesar ini menampilkan teknologi ‘powertrain’ dan casis yang mengagumkan, selain daripada ruang kabin yang luas di setiap tiga seksyen barisan tempat duduknya, ambien yang serba mewah serta ciri-ciri kelengkapan yang canggih turut membawakan sebuah pengalaman pemanduan yang tiada tandingannya.

Rekabentuk luaran

Bahagian luaran BMW X7 ini hadir dengan reka bentuk megah dan rapi. Seksyen hadapan yang lebih besar bersama gril ‘kidney’ yang ikonik menonjolkan kehadiran jentera ini di atas jalan raya, berserta dengan ‘BMW Laserlight’ bersaiz langsing yang mampu mencahayakan laluan di hadapan sejauh 600 meter, dan pada masa sama kontras dapat dilihat dengan jelas.

Ditawarkan sebagai standard, lampu kabus LED serta sistem bantuan lampu puncak juga melengkapi BMW X7. Bahagian bawah apron yang terletak di muncung kenderaan ini memiliki elemen trim yang mengunjur merentasi kelebaran jentera tersebut dan ia membingkaikan komponen salur masuk udara.

Dari sisi, garisan bahu yang hampir vertikal sepenuhnya membuahkan penampilan yang memanjang dari seksyen hadapan ke belakang. Seperti BMW 7 Series, ia didatangkan dengan liang udara, ‘Air Breather’ yang lain daripada yang lain dalam elemen krom.

Tingkap yang lebih besar serta garis bumbung yang lebih memanjang menerusi kaedah yang dinamik memperlihatkan keluasan interior jentera alaf baharu ini. Pintu belakang berukuran lebih panjang berbanding pintu hadapan, ia menekankan keluasan kompartmen belakang yang memudahkan penumpang untuk masuk dan keluar dari jentera ini.

Tidak kurang menariknya, set roda aloi ringan 21 inci dalam penggayaan Y-spoke dwiwarna 753 dengan tayar ‘run-flat’ juga ditawarkan sebagai standard.

Dengan jarak kelegaan tanah (ground clearance) dan bahagian belakang yang lebih tinggi, SAV yang berukur lima meter ini hadir dengan kelebaran yang bersaiz 2,000 mm, dan jarak roda (wheelbase) berukuran 3,105 mm.

Jarak kelegaan tanah mencecah 1,805 mm, iaitu 60 mm lebih tinggi berbanding BMW X5, sekali gus memberikan BMW X7 terbaharu sebuah pesona visual yang memukau. Di bahagian atas, jentera ini juga mengenakan rel bumbung yang ‘sporty’ dalam varian ‘Aluminium Satin’.

Dari belakang, kita dapat melihat saiz jentera ini yang menyingkap keluasan ruang kabin BMW X7 terbaharu. Siluet menegak di belakang juga ditakrifkan secara visual oleh lampu belakang berbentuk L yang langsing dan ia hadir dalam rekaan tiga dimensi yang menarik.

Pintu but belakang yang luas hadir dengan dua bahagian dan ia boleh dioperasikan secara elektrik. Tambahan lagi, BMW X7 yang pertama menampilkan dua paip ekzos segi empat yang besar di setiap sisi, ia menonjolkan karakter jentera ini yang gagah.

Enjin

SAV mewah ini hadir dalam varian BMW X7 xDrive40i Pure Excellence, dan ia dikuasakan oleh enjin petrol sebaris enam silinder yang memiliki kuasa maksimum berjumlah 250 kW/ 340 kk, dan puncak tork berjumlah 450 Nm. Justeru, jentera ini berupaya untuk membuat pecutan dari sifar ke seratus dalam masa 6.1 saat.

Kesemuanya dapat dikecapi dengan penggunaan bahan bakar gabungan yang berjumlah 9.5l/100 km dan emisi karbon gabungan berjumlah 217 g/km.

Daya kuasa disalurkan kepada empat roda jentera ini melalui transmisi Steptronic Sport lapan kelajuan. Sistem pacuan semua roda xDrive yang melengkapi SAV mewah ini pula memaksimumkan cengkaman, kelincahan dan stabiliti pengendalian yang berhubung dengan Kawalan Stabiliti Dinamik (“Dynamic Stability Control” atau “DSC”) untuk mengasaskan aspek pengendalian yang cemerlang tidak kira apa jua kondisi cuaca atau jalan raya yang diharungi.

Reka bentuk casis yang penuh sofistikasi pada BMW X7 xDrive40i Pure Excellence ini merangkumi sebuah suspensi udara dwigandar. Oleh itu, ia memastikan jentera tersebut dapat menawarkan tahap keselesaan pemanduan yang lebih baik, dan pada masa yang sama, pilihan untuk melaraskan suspensi kereta ini setinggi 80 mm, dengan lima tetapan ketinggian yang berbeza.

Bukan itu sahaja, pemandu boleh melaras jarak kelegaan tanah dengan hanya menekan butang yang disediakan di ruang kokpit untuk menaikkan atau menurunkan ketinggiannya sebanyak 40 mm melepasi tetapan ketinggian standard, ia amat berguna untuk pemanduan luar jalan atau ‘off-road’, serta untuk mengakses ruang but dengan lebih mudah.

Buat julung kali dalam model BMW X, BMW X7 xDrive40i Pure Excellence yang terbaharu ditawarkan bersama sistem suspensi, ‘Executive Drive Pro’ dengan penstabilan guling aktif (active roll stabilisation) yang membekalkan sebuah kombinasi ideal antara keselesaan pemanduan dan dinamik yang bertaraf tinggi.

Penstabilan antiguling aktif mengurangkan kadar pergerakan badan serta inklinasinya ketika membelok ke tahap yang minimum. Keselesaan pemanduan dinaik taraf dengan sistem Kawalan Peredam Dinamik (Dynamic Damper Control) yang berupaya untuk memproses data daripada sistem navigasi serta kamera hadapan.

Kokpit futuristik

Ruang kabin jentera BMW X7 yang pertama ini membawakan elemen trim cantik buatan tangan “Crafted Clarity” yang dipadankan ke atas tuil gear, pelaras bunyi pembesar suara, butang Mula/Henti dan Pengawal iDrive (iDrive Controller).

Berterapkan orientasi pemandu BMW yang tipikal dan posisi tempat duduk yang lebih tinggi dengan tahap visibiliti sempurna juga merupakan karakteristik yang membentuk model BMW X.

Kelengkapan yang lain meliputi stereng sport berkulit dan tempat duduk yang boleh dilaras secara elektrik dengan teknologi ventilasi. Permukaan trim kayu halus pula dibingkaikan dengan trim berelektrosadur pada panel instrumen serta konsol sentral untuk memperkayakan aura keelegenan bahagian interior.

BMW Live Cockpit Professional dengan sistem operasi, BMW Operating System 7.0 menjamin fungsi kawalan jentera ini dapat digunakan dengan lancar. Ia menggabungkan kluster instrumen digital 12.3 inci yang boleh dikonfigurasikan dengan Paparan Kawalan (Control Display) sentral yang mempunyai fungsi skrin sentuh serta antara muka (interface) yang tercanggih.

SAV mewah ini turut membawakan BMW Intelligent Personal Assistant yang dikawal dengan suara, ia dapat memahami pertuturan biasa, membantu melaksanakan fungsi pemanduan yang tertentu dan menjawab soalan mengenai kenderaan tersebut.

Kawalan Gestur BMW (BMW Gesture Control) juga kini dapat mengenal pasti dan memberi maklum balas kepada tujuh pergerakan tangan yang berbeza, termasuk pergerakan jari telunjuk dalam bentuk membulat mengikut arah jam untuk menaikkan bunyi pembesar suara, serta dengan mengibaskan tangan ke kanan untuk menolak panggilan telefon.

Elemen kemewahan dan serba kontemporari diwujudkan oleh pencahayaan ambien dengan fungsi Karpet Aluan (Welcome Carpet) yang bersertakan senario pencahayaan spesifik untuk situasi tertentu. Senario pencahayaan ini meliputi ‘Welcome’ dan ‘Goodbye’, serta pencahayaan yang terhasil setelah pintu dibuka atau ketika menerima panggilan telefon.

Tawaran menarik yang lain merangkumi penyaman udara lima zon, Sistem Bunyi Keliling Harman Kardon dengan 16 Pembesar suara, dan tirai gulung elektrik untuk tingkap sisi. Bukan itu sahaja, sistem ‘Rear Entertainment Professional’ bakal menaik taraf pengalaman penumpang jentera ini, dua skrin yang terletak di ruang belakang kini boleh dioperasikan menggunakan sentuhan jari – ia membekalkan elemen hiburan yang sama kualitinya untuk penumpang di hadapan dan di belakang.

Ciri mewah

Keluasan BMW X7 yang pertama ini juga diserlahkan dengan bumbung kaca Panoramik – ‘Sky Lounge’ yang turut membawakan senario pencahayaan LED. SAV mewah ini hadir dengan tujuh tempat duduk yang boleh dilaras secara elektrik sebagai standard.

Tempat duduk barisan kedua juga boleh dilaras dari tempat duduk pemandu. Jika dipesan dalam versi enam tempat duduk, kenderaan ini didatangkan dengan dua tempat duduk berasingan yang selesa di barisan kedua, lantas memudahkan lagi akses bagi penumpang di barisan ketiga.

BMW X7 yang pertama juga menampilkan fungsi ‘soft-close’ pada pintunya yang tidak memerlukan tekanan yang kuat untuk menutup kesemua pintu jentera ini. Di belakang, SAV mewah ini memiliki kompartmen muatan bersaiz 325 liter yang versatil dan ia boleh mencecah 2,120 liter sekiranya tempat duduk belakang dilipat.

Tempat duduk di barisan kedua kini mempunyai pembahagian 40/20/40 untuk memuatkan barangan besar, serta ia juga boleh dibahagikan 60/40 untuk mewujudkan ruang masuk dan keluar yang lebih selesa buat para penumpang.

Semua fungsi yang dibawakan oleh Driving Assistant Professional boleh dirangkapkan dengan satu perkataan, iaitu ‘komprehensif’. Ia merangkumi Amaran Pengeluaran Laluan (Lane Departure Warning), Amaran Penukaran Laluan (Lane Change Warning) dan amaran perlanggaran hadapan dengan intervensi brek.

Bantuan pengekalan laluan (lane keeping assistant) dengan perlindungan perlanggaran sisi aktif (active side collision protection) juga disediakan, berserta dengan bantuan stering dan kawalan laluan (steering and lane control assistant), amaran perentasan trafik di hadapan dan belakang serta pencegahan perlanggaran belakang.

Ciri-ciri keselamatan dimaksimumkan dengan Bantuan Hentian Kecemasan (Emergency Stop Assistant), Bantuan Mengelak (Evasion Aid), Amaran Perentasan (Crossroads warning) dengan fungsi pembrekan bandar (city braking function).

BMW X7 ditawarkan dalam tujuh warna menawan. Ia meliputi warna putih (Mineral White), hitam (Black Sapphire), versi kelabu ‘Artic Grey’ atau ‘Sophisto Grey’, biru (Phytonic Blue), perang (Terra Brown) dan gangsa (Vermont Bronze).

Upholsteri di ruang dalam ditawarkan dalam kemasan ‘Black Leather Vernasca’, ‘Coffee Leather Vernasca’ (tidak ditawarkan untuk versi kenderaan enam tempat duduk) dan ‘Cognac Leather Vernasca’ dipadankan dengan papan pemuka (dashboard) berwarna hitam, atau ‘Canberra Beige Leather Vernasca’ dipadankan dengan papan pemuka ‘Mokka’.

Anggaran harga jualan (atas jalan, tanpa insurans, dan bersama penawaran BMW Group Malaysia bagi Waranti Perbatuan Tanpa Had Bertempoh 5 Tahun, Program Servis Berjadual Percuma dan Program Waranti Tayar BMW)

Harga BMW X7

BMW X7 xDrive40i Pure Excellence RM888,800