Menyusun semula operasi dengan memberi tumpuan kepada tiga bidang strategik

HEITECH Padu Berhad (HeiTech) akan meneruskan langkah penyusunan semula operasi tahun ini dengan meningkatkan strategi perniagaan dalam usaha menjadikan syarikat itu lebih kukuh dan berdaya tahan.

Presiden dan Naib Pengerusi Eksekutif HeiTech, Dato’ Sri Mohd Hilmey Mohd Taib berkata, HeiTech akan terus maju ke hadapan dengan memberi tumpuan kepada tiga bidang utama.

Beliau berkata, tiga bidang utama itu merangkumi strategi untuk terus mengukuhkan perniagaan ICT, terus menyokong perniagaan pelanggan melalui produk inovatif dan meneruskan penyediaan perkhidmatan berkualiti.

Strategi kedua adalah untuk memaksimumkan pulangan daripada syarikat-syarikat pelaburan dan strategi berikutnya adalah meneroka peluang perniagaan baru.

Semua strategi ini akan memastikan HeiTech terus mengekalkan momentum kewangannya
yang mencatatkan hasil sebanyak RM379.4 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 dan memulihkan kerugian bersih sebanyak RM36.8 juta.

Hilmey berkata, industri ICT masih menjadi penyumbang utama hasil syarikat itu kerana masih banyak peluang yang masih belum dimanfaatkan sepenuhnya dalam sektor berkenaan.

Katanya, satu laporan mengatakan perbelanjaan ke atas produk dan perkhidmatan ICT dijangka mencecah RM65.2 bilion pada 2019, peningkatan sebanyak 4.6 peratus daripada 2018 dan HeiTech berharap dapat merebut bahagian pasaran itu.

“Teknologi baru sentiasa tersedia dan mendapat permintaan pengguna di peringkat organisasi dan individu dan kami berusaha untuk mengekalkan kos pada tahap yang optimum dan mengekalkan penyediaan perkhidmatan berkualiti kepada pelanggan,” katanya pada Mesyuarat Agung Tahunan HeiTech ke-24 di Holiday Inn Kuala Lumpur, Glenmarie hari ini.

Hilmey berkata, HeiTech juga berusaha untuk terus menjadi pemain ICT yang mampan untuk tempoh jangkamasa panjang dan ia mampu dicapai dengan memperhebatkan pembangunan modal insannya, menjalin perkongsian teknologi dan terus berinovasi serta mengekalkan komunikasi dua hala dengan kakitangan.

“HeiTech komited untuk menyediakan teknologi dan penyelesaian terbaik kepada pelanggan melalui pembangunan model perniagaan mampan, sistem, proses dan rantaian pengeluaran untuk mengurus dimensi ekonomi, sosial dan alam sekitar, dan menjalankan perniagaan secara bertanggungjawab yang akan memastikan kemampanan kami.

“Kita sekarang berada dalam era digital dan matlamat kami adalah untuk menjadikan HeiTech sebagai rakan teknologi yang bertanggungjawab dan relevan dengan menyediakan
teknologi dan penyelesaian terbaik kepada para pelanggan sejajar dengan 17 matlamat
pembangunan lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)”.

Hilmey berkata, dalam era revolusi digital, agensi kerajaan dan organisasi swasta sedang
mencipta semula diri mereka untuk bergerak selari dengan revolusi ini dan HeiTech melihat
perubahan ini sebagai peluang untuk mengembangkan perniagaannya.

“Hasrat kami adalah untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan perniagaan pelanggan
kami. Visi baru kami, “The Trusted Technology Partner to Enable Customers’ Vision”
mengesahkan komitmen kami untuk membantu para pelanggan sepanjang proses
transformasi mereka,” katanya.

Sementara itu, misi baru kami “Touching Lives with Innovative Solutions” menggambarkan usaha berterusan kami untuk menawarkan produk, perkhidmatan dan kepakaran terbaik kepada para pelanggan.

Bagi merealisasi visi dan misi ini, HeiTech disokong oleh warga kerja profesional khususnya
pakar-pakar ICT yang sentiasa bersedia memberikan penyelesaian dan perkhidmatan
berkualiti kepada para pelanggan.

Dalam konteks tanggungjawab sosial, HeiTech akan terus memainkan peranannya dalam mengembangkan dan memupuk bakat-bakat muda khususnya golongan graduan di bidang ICT melalui kerjasama dengan institusi pengajian tinggi tempatan.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini