Peminat aktiviti pemerhatian pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, kini boleh melihat kapal terbang berlepas dan mendarat secara lebih dekat.

RUANG yang dinamakan ‘Anjung Spotter’ yang boleh memuatkan 40 orang dalam satu-satu masa dibuka untuk orang ramai secara percuma bagi membolehkan orang ramai merakamkan saat pesawat berlepas dan mendarat di KLIA, dibina dengan kos RM300,000.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airports Holding Bhd (MAHB) Raja Azmi Raja Nazuddin berkata, pihaknya merancang menjadikan Anjung Spotter sebagai satu destinasi wajib dikunjungi pelancong, yang tiba di KLIA.

“Pada masa ini, terdapat ramai peminat aktiviti permerhatian pesawat yang datang ke sini, untuk bertemu peminat yang sama di Malaysia, sebelum merakamkan pelbagai gambar di sekitar lapangan terbang (KLIA),” katanya di pelancaran Anjung Spotter di sini, semalam.

Ruang pemerhatian itu dibina dalam lingkungan 10 kilometer persegi KLIA itu bagi membolehkan orang ramai merakamkan gambar saat pesawat berlepas dan mendarat dari kawasan yang strategik.

Peminat aktiviti pemerhatian pesawat dan penerbangan, kini mempunyai lokasi terbaik bagi melihat pesawat yang mendarat melalui Landasan 32 Kiri, yang terletak di Jalan Pekeliling, daripada dek tersebut.

Raja Azmi berkata, MAHB berharap Anjung Spotter akan menjadi tarikan pelancong yang terkenal seperti yang ada di Perth, Australia; Frankfurt, Jerman dan Lapangan Terbang Antarabangsa Raleigh-Durham di Amerika Syarikat.

Katanya, MAHB juga sedang mengenal pasti beberapa lagi lokasi di lapangan terbang di bawah kelolaannya untuk dibina dek seperti itu bagi memberikan pengalaman yang sama untuk peminat. -Bernama

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini