MENTERI Industri dan Teknologi Maklumat China, Miao Wei tiba di kilang Tanjung Malim Proton sebagai sebahagian daripada lawatan kerja beliau ke Malaysia.

BELIAU diiringi oleh Eddin Syazlee Shith, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan pegawai-pegawai kerajaan dari kedua-dua negara.

Lawatan tersebut telah dihoskan oleh Dato’ Seri Syed Faisal Albar, Pengerusi Proton bersama Li Shufu, Pengerusi Zhejiang Geely Holding Group. Turut hadir Dato’ Mohammad Zainal Shaari, Pengerusi DRB-Hicom, serta Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dato’ Radzaif Mohamed, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton dan barisan pengurusan kanan.

Ketika lawatan itu, beliau diberi taklimat mengenai perancangan perniagaan semasa dan masa depan Proton sebelum menyaksikan majlis menandatangani perjanjian usaha sama antara Proton Edar Sdn Bhd, Altel Communications Sdn Bhd dan ECarX (Hubei) Technology Co. Ltd, China.

Syarikat usaha sama yang baharu ini akan memberi manfaat kepada Proton dalam pelbagai cara terutamanya bidang teknologi digital dan sistem sambungan kereta. Penggunaan ciri-ciri ini dalam bidang sambungan kereta kini menjadi trend antarabangsa dan dijangka menjadi salah satu pemacu utama jualan automotif pada masa depan.

Ini menjadi antara sebab yang menginspirasikan Proton untuk mengambil langkah berani melancarkan Proton X70 yang dilengkapi dengan ciri-ciri sambungan yang digunakan sebagai salah satu proposisi penjualan unik atau Unique Selling Propositions (USP).

Selepas kejayaan pelancaran Proton X70 pada Disember 2018, Proton Iriz, Persona dan Exora 2019 turut berada di barisan model-model Proton yang dilengkapi dengan ciri-ciri sambungan yang menawarkan aplikasi pelbagai fungsi untuk pembeli kereta.

Berikutan kilang pemasangan baharu Proton di Tanjung Malim yang bernilai RM1.2 billion semakin siap dibina, pengeluaran percubaan telahpun dijalankan untuk Proton X70.

Semakan akhir, cat dan pemasangan masih dalam proses siap sepenuhnya tetapi meskipun masih baharu lagi, para jurutera dan pekerja pengeluaran Proton boleh menjalankan ujian atau percubaan secara semi automatik untuk mendapatkan pengalaman dalam memasang SUV pertama.

“Proton berhasrat memulakan pengeluaran X70 di Tanjung Malim pada separuh kedua tahun ini, jadi kami berusaha keras untuk memastikan syarikat mampu mencapai sasaran ditetapkan.

“Ini akan menjadi pencapaian yang luar biasa kerana dalam masa kurang dari dua tahun sejak perjanjian antara DRB-Hicom dan Geely ditandatangani, syarikat telah mencapai kejayaan penting dalam usaha bersama kami untuk mengembalikan Proton ke kedudukannya yang semakin terkenal,” kata Syed Faisal Albar.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini