Naylor Farms, syarikat yang ditubuhkan sejak 1909 berpangkalan di UK telah menandatangani perjanjian dengan QSR Brands (M) Holdings Bhd (QSR Brands) menerusi bahagian perkilangannya, QSR Manufacturing Sdn Bhd (QSRM).
KERJASAMA itu adalah untuk membekalkan sayur kubis putih bermutu tinggi secara konsisten bagi penyediaan Coleslaw KFC kegemaran ramai.
“Kami berasa teruja untuk bekerjasama dengan Naylor Farms yang berkongsi semangat dan komitmen yang sama untuk menghasilkan makanan berkualiti tinggi kepada para pelanggan kami. Kami juga berbangga kerana menjadi sebuah perniagaan yang diyakini halal serta mematuhi setiap garisan pematuhan Halal yang juga merupakan teras perniagaan kami sehingga ke hari ini,” kata Pengarah Urusan QSR Brands, Dato’ Seri Mohamed Azahari Mohamed Kamil.
“Kerjasama dengan QSR Brands adalah lanjutan kepada komitmen kami kepada kualiti, di mana sayur-sayuran kami ditanam dengan penuh kasih sayang untuk membawa rasa segar kepada para pelanggan kami setiap masa,” kata Simon Naylor, Generasi Ketiga Naylor Farms.
Dengan rangkaian restoran yang meluas iaitu lebih daripada 830 restoran KFC dan 470 restoran Pizza Hut, QSR Brands dikenali ramai sebagai satu-satunya pengendali makanan bersepadu sepenuhnya di negara ini. QSRM, salah satu daripada anak-anak syarikatnya, bertanggungjawab menghasilkan hidangan sampingan KFC yang menyegarkan, iaitu coleslaw yang telah menjadi kegemaran rakyat Malaysia.
Terletak di Lincolnshire England, Naylor Farms selama 110 tahun telah lama dikenali sebagai pembekal sayuran segar berkualiti tinggi termasuk bekalan kubis yang digunakan untuk membuat British Coleslaw di United Kingdom.
Produknya menjalani proses yang teliti dan bersijil Halal di bawah Akreditasi Eropah sebagai sebahagian daripada piawaian tertinggi untuk memastikan konsistensi produk tersebut.
Selaras dengan jaminan halal QSR Brands untuk pengguna, pembekalan sayur kubis putih British mematuhi kehendak Undang-undang Syariah serta piawaian Halal oleh JAKIM. QSR Brands mengendalikan kawalan dalaman yang ketat di seluruh operasi “Dari-Ladang-ke-Meja Makan”, termasuk perolehan bahan mentah bagi memastikan semua produknya memenuhi keperluan Halal.
Perjanjian tiga tahun itu dirasmikan oleh Simon Naylor, Generasi Ketiga Naylor Farms dan Adi Wira Razak, Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Hulu, QSR Brands; disaksikan oleh Dato’ Seri Mohamed Azahari Mohamed Kamil, Pengarah Urusan QSR Brands dan Jennifer Lopez, Pengarah Eksekutif British Malaysian Chamber of Commerce Berhad di majlis tandatangan perjanjian di Petaling Jaya.