Model CR-V ini tidak perlu diperkenalkan lagi kerana sejak pertama kali muncul dipasaran 20 tahun lalu, ia kekal popular hingga kini. Baca lebih lanjut sesi pandu uji Prebiu.com dengan model CR-V varian tertinggi 1.5 TC-P.

PERBEZAAN paling ketara ialah model ini dilengkapi dengan sistem keselamatan aktif termaju iaitu Honda Sensing yang memberi amaran mengeluarkan bunyi dan nyalaan lampu oren pada panel meter kepada pemandu sekiranya kereta ini dipandu terlalu rapat dengan kenderaan dihadapan.

Hanya versi premium saja dipadankan ciri Honda Sensing. Sistem itu dipadankan pada bahagian tengah atas cermin hadapan. Ia adalah ciri pemanduan pertama ditawarkan oleh Honda meliputi tujuh aspek keselamatan berikut.

  • Kawalan Jelajah Adaptif (Adaptive Cruise Control – ACC)
  • Jejak Kelajuan Rendah (Low-Speed Follow – LSF)
  • Sistem Amaran Perlanggaran Hadapan (Front Collision Warning – FCW)
  • Sistem Pembrekan Mitigasi Perlanggaran (Collision Mitigation Braking System – CMBS)
  • Sistem Bantuan Kekal Lorong (Lane Keeping Assist System – LKAS)
  • Sistem Mitigasi Tukar Lorong (Road Departure Mitigation – RDM)
  • Amaran Tukar Lorong (Lane Departure Warning – LDW)

Gabungan sistem LKAS, RDM dan LDW bertujuan meminimakan risiko kemalangan yang akan berlaku pada bahagian sisi.

Sistem LDW dibina untuk mengesan garisan jalan pada kedua-dua sisi kenderaan, dan ia akan memberikan amaran kepada pemandu secara memberikan amaran visual serta getaran pada stereng sekiranya kenderaan dikesan melewati garis jalan tanpa memberikan lampu isyarat membelok terlebih dahulu.

Bagi mereka yang kaki ‘cilok’ dan sering mengubah laluan tanpa memberikan isyarat, sistem kesemua ini akan memberi amaran kepada pemandu. Namun, anda boleh menekan butang berhampiran butang push/start untuk tidak mengaktifkan sistem berkenaan.

Bagaimanapun, Prebiu.com berpendapat, sistem LDW ini cukup membantu sekiranya pemandu mungkin terlelap atau kurang memberi perhatian kepada pemanduan.

Lampu amaran dan bunyi dikeluarkan jika kenderaan dihadapan terlalu rapat

 

Sistem LKAS pula, ia akan melaras semula arah stereng (menerusi sistem stereng kuasa bantuan elektrik) untuk memastikan kenderaan kekal pada lorongnya.

Sistem ini menggunakan kamera yang diletakkan pada sisi kenderaan bagi mengesan tanda-tanda pada permukaan jalan raya sebagai penderia untuk mengesahkan kedudukannya.

Sistem RDM pula beroperasi ketika kenderaan dipandu pada kelajuan 72 km/j hingga 180 km/j. Ia akan diaktifkan sekiranya kenderaan menghampiri sisi jalan, di mana roda stereng akan bergetar untuk untuk memberikan amaran kepada pemandu agar mengekalkan kedudukan kenderaan pada lorong.

Sekiranya pemandu tidak membuat sebarang tindakan dan kenderaan mula keluar dari lorong, sistem VSA akan diaktifkan untuk mengembalikan kenderaan pada kedudukannya.

Ciri Honda LaneWatch adalah satu-satunya ciri yang dipadankan bagi varian tertinggi. Ciri ini berfungsi memaparkan imej pada titik buta sebelah kiri pemandu yang dipaparkan terus pada skrin LCD ditengah-tengah papan pemuka. Ia dibantu sebuah kamera kecil pada cermin sisi kiri.

Sebagaimana model baharu CR-V lain, varian tertinggi ini dilengkapi enjin 1.5 Liter 4 silinder, 16 injap, DOHC VTEC Turbo yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 193 hp pada 5,600 rpm dan tork 243 Nm pada 2,000 rpm.

Meskipun menggunakan enjin yang sama dengan Honda Civic varian Turbo, sebenarnya CR-V ini telah diberikan talaan yang berbeza disebabkan faktor saiz dan bentuknya. Honda Civic menyalurkan kuasa 171 hp pada 5,500 rpm dan tork 220 Nm pada 1,700 rpm.

Bagi enjin turbo ini, ia ditawarkan dengan tiga varian; 1.5TC-P 2WD yang merupakan varian tertinggi, selain 1.5TC AWD dan 1.5TC 2WD. Selain itu, ia hanya menawarkan satu enjin Naturally Aspirated (N/A) yang diletakkan sebagai varian paling asas iaitu 2.0L 2WD.

Varian turbo turut didatangkan dengan dua corong tip ekzos krom seperti mana yang turut ditampilkan pada model Civic turbo 2016, manakala ekzos tunggal untuk varian 2.0 N/A.

Bahagian luaran CR-V terbaharu ini tidak perlu dinafikan tampil dengan imej dan rekaan lebih besar serta tegap berbanding model terdahulu. Ini turut diakui rakan penulis yang mengatakan model terbaharu ini ‘sudah lengkap’ dan tidak perlu diubahsuai dengan ciri tambahan lain.

Padanan lampu utama projektor dinamik LED turut memberikan kelebihan buat CR-V 2017 ini dan varian tertinggi, 1.5TC-P 2WD menerima Advanced LED sepenuhnya selain disertakan dengan Auto High Beam dan Active Cornering Light.

Selain pada lampu utama, Honda turut memilih teknologi LED bagi lampu nyalaan siang, lampu isyarat membelok, lampu belakang dan lampu brek bagi semua varian.

Untuk varian tertinggi 1.5 TC-P, dihadirkan dengan pintu bonet belakang berkuasa, dan butang kawalan operasi bagi lain-lain varian.

Perubahan ketara turut dilakukan pada kabinnya apabila bahagian panel papan pemukanya menerima sentuhan gaya yang lebih elegan dengan penggunaan material kulit sentuhan lembut berwarna hitam dengan kekemasan kayu menjadi pilihan bagi varian turbo manakala tona perak untuk varian 2.0L 2WD.

Konsol ditengah-tengah kerusi hadapan amat luas dan mampu memuatkan pelbagai barangan termasuk tablet bersaiz standard atau bagi wanita tentunya beg tangan.

Ciri standard ditawarkan bagi Honda CR-V ialah panel instrumen LED, brek parkir elektronik dan penahan brek auto, pendingin hawa auto dwi-zon dengan corong pendingin hawa untuk tempat duduk belakang, kemasukan tanpa kunci, butang Push/Start dan skrin sesentuh audio tujuh-inci bersama Apple CarPlay dan Android Auto serta lapan-pembesar suara.

Bukan itu sahaja, kesemua varian turut menerima tempat duduk separa kulit bersama lapan-talaan kuasa untuk pemandu dan empat-talaan bagi penumpang hadapan. Enam beg udara keselamatan turut dipadankan pada model ini.

Bagi model yang dipandu uji Prebiu.com kali ini, bahagian kargo CR-V ini berkapasiti 522 liter dan mampu mencecah sehingga 1,084 liter sekiranya tempat duduk barisan kedua dilipat rata, iaitu 250 mm lebih luas berbanding model terdahulu.

Model ini juga dilengkapi dengan Walk Away Auto Lock, di mana kenderaan boleh dikunci sendiri apabila pemandu (atau yang menyimpan kunci kenderaan ini) berjalan dalam jarak 1.5 meter dari kenderaan ini. Sistem ini sama seperti yang ditampilkan pada Civic 2016 namun sedikit kecewa tiada sistem penghidup pendingin hawa dari alat kunci kawalan jauh.

Kesimpulannya

Memandu uji model varian tertinggi 1.5TC-P 2WD ini amat menyeronokkan kerana enjinnya bukan sahaja cukup responsif tetapi merasakan seakan memandu kereta dengan enjin berkuasa 2.4 liter.

Walaupun saiz badannya kelihatan besar dan berat, SUV popular ini seakan tidak memberikan masalah untuk memecut laju di lebuh raya atau dipandu sebagai kenderaan harian ke tempat kerja.

Honda Lane Watch memaparkan imej objek atau kenderaan menerusi kamera kecil di bawah cermin sisi kiri

 

Honda turut mendatangkan sistem yang mengembalikan kepekaan pemandu yang digelar ‘Driver Attention Monitor’. Sekiranya sistem ini mengesan pemanduan terganggu yang mungkin disebabkan pemandu mengantuk, ia akan mengeluarkan bunyi dan indikator pada skrin informasi.

Tahap penggunaan bahan api juga boleh diberikan pujian dan Honda CR-V 1.5L Turbo diiktiraf sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) sekali gus menawarkan penggunaan minyak lebih cekap iaitu dengan catatan 7 Liter per 100km.

Kini selepas lebih 20 tahun, model terbaru CR-V yang sudah memasuki generasi kelima tampil dengan reka bentuk serba baru dengan padanan ciri teknologi terkini.

Honda CR-V adalah model SUV yang dipasang sepenuhnya di Melaka dan amat berbaloi untuk dimiliki sebagai kenderaan harian atau hujung minggu selain menawarkan harga jualan terpakai yang tinggi.

Harga Jualan

  • Honda CR-V 2017 2.0L 2WD – RM138,308
  • Honda CR-V 2017 1.5L Turbocharged 2WD – RM150,992
  • Honda CR-V 2017 1.5L Turbocharged 4WD – RM156,732
  • Honda CR-V 2017 1.5L Turbocharged Premium 2WD – RM163,191

* Harga Semenanjung Malaysia termasuk GST tanpa insurans.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini