PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) beri nafas baru surau di salah satu asetnya, Kompleks PKNS Shah Alam dengan dengan nama Musolla Al-Kauthar yang dirasmikan Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain, Ketua Pegawai Eksekutif PKNS.
“Penambahbaikan ini bertujuan memberikan keselesaan kepada pengunjung muslimin dan muslimat yang datang ke Kompleks PKNS Shah Alam sekaligus dapat meluangkan masa lebih lama dan memberikan peluang kepada peniaga meraih hasil jualan yang lumayan,” kata Fakru Radzi, Ketua Pegawai Eksekutif PREC.
Renovasi yang dilakukan turut melibatkan facade luar bangunan, tandas, kemudahan penghawa dingin dan medan selera di tingkat 4 dengan nama Makan@Bumbung yang bakal beroperasi selepas Raya Aidilfitri ini dari jam 10 pagi hingga 4 petang.
“Lebih menarik lagi, kami akan membawakan aktiviti rekreasi untuk kanak-kanak dan dewasa seperti futsal, playground dan rock climbing di tingkat 4 bangunan ini, tambah Radzi.
Hampir 4 dekad wujudnya Kompleks PKNS Shah Alam ini dan sentiasa menjadi tumpuan penduduk di Shah Alam dan sekitarnya terutama sewaktu menjelang bulan Ramadan untuk mereka mendapatkan juadah berbuka puasa dan keperluan Hari Raya Aidilfitri bersempena dengan Festival Ramadan Selangor 2019 (FESTIRA’19).
Mohd Azizi berkata, bahawa Musolla Al-Kauthar ini berkonsepkan industrial kini lebih praktikal, selesa, cantik dan kemas dengan ruang wuduk yang mesra OKU dan mesra warga emas, kemudahan menyiapkan bayi di tandas yang berdekatan dan ruang menunggu yang lebih banyak menjadi salah satu kelebihan buat para pengunjung untuk datang ke Kompleks PKNS Shah Alam.
Sebanyak RM5,000 sumbangan zakat PREC diberikan kepada Maahad Tahfiz Al Iman Wal Mahani semasa majlis perasmian bagi membantu melancarkan proses pembelajaran dan pendidikan serta keberlangsungan aktiviti harian bagi 31 orang pelajar.
PREC turut bekerjasama dengan pihak jawatankuasa surau Kompleks PKNS Shah Alam untuk mengimarahkan surau dengan aktiviti-aktiviti bermanfaat seperti tazkirah, solat tarawih, kenduri doa selamat, tahlil dan aktiviti fardhu ain yang lain.
Program loyalti bakal dilaksanakan dalam masa terdekat untuk memberikan keistimewaan kepada para pengunjung dengan diskaun istimewa dari para peniaga di Kompleks PKNS Shah Alam.