Mengapa agak-agaknya kereta ini dikenali sebagai SpaceTourer. Adakah memandu kenderaan ini seumpama meneroka atau menjelajah angkasa lepas? Baca lebih lanjut sesi pandu uji Prebiu.com dengan Citroën Grand C4 SpaceTourer.

JENAMA Citroën sudah tidak asing lagi di negara ini dan kehadiran model kenderaan pelbagai guna (MPV) tujuh tempat duduk terbaharu ini menampilkan reka bentuk yang dipertingkatkan dan menawarkan satu pengalaman unik dengan padanan teknologi automotif terkini.

Rekabentuk luarannya yang lebar dan memanjang kelihatan ketara bahawa MPV ini sebenarnya menawarkan keluasan. Paling ketara ialah cermin hadapannya yang boleh dianggapkan terpanjang dan lebar hingga ke bumbung hadapan berbanding model MPV sedia ada dipasaran sekarang.

Agak-agaknya berapalah kos yang diperlukan untuk memasang cermin lapisan haba (tinted) memandangkan Malaysia adalah negara beriklimkan Tropika.

Sesuai dengan namanya SpaceTourer, memandu MPV ini sebenarnya menawarkan satu keseronokan kerana pemanduannya cukup lancar dan selesa meskipun enjin kereta ini kadang-kala dikerah pada kelajuan tinggi.

Sememangnya, MPV ini direka dengan menekankan kepada aspek ruang, versatiliti dan inovasi selain praktikaliti tanpa meninggalkan aspek prestasi meskipun hanya dipadankan dengan enjin berkuasa 1.6 Liter suntikan Turbo Tekanan Tinggi (THP).

Rekaan lampu utamanya kelihatan tirus daripada jenis Bi-Xenon dengan pelarasan tinggi manual, manakala lampu siang (DRL) menyerlahkan rupa depan yang lebih bergaya.

Bahagian bawah bampar depan pula ialah lampu kabus yang dikelilingi kemasan krom yang memberikan personaliti elegan kepada MPV yang dipasang sepenuhnya (CKD) di Gurun, Kedah ini.

Selari dengan rekaan lampu hadapannya, ciri moden turut ditampilkan pada lampu belakang yang direka unik dengan pencahayaan 3D. Lekuk badan MPV ini diselarikan dengan rekaan cermin yang kemas dan menarik mata memandang.

Walaupun tiada bumbung suria, MPV ini sudah kelihatan cukup mewah dan premium tetapi ditawarkan pada harga mampu milik iaitu RM149,888 tanpa insurans sekali gus mampu menggugat MPV buatan Jepun yang sedia ada dipasaran.

Model yang dipandu uji Prebiu.com, Citroën Grand C4 SpaceTourer ini turut dipadankan dengan rim aloi Boa 17 inci dan dibaluti tayar jenis Michelin Primacy.

Melangkah ke ruang dalaman, MPV ini dihiasi kombinasi kemasan premium dalam ambien Hype Grey. Apa yang menariknya, papan pemukanya cukup lebar dilengkapi dua paparan sentral panoramik warna definisi tinggi (HD) 12 inci, terbesar dalam segmen MPV dan skrin sentuh 7 inci untuk mengawal tetapan pada kenderaan ini.

Sambungan standard terdiri daripada Android Auto, Apple CarPlay, Mirrorlink dan USB. Pengguna turut diberikan ciri brek parkir elektrik (EPB), stereng kuasa elektrik (EPS), soket 12V di storan tengah dan meja kecil gaya pesawat di belakang dengan LED untuk penumpang belakang makan khususnya sesuai kepada kanak-kanak.

Penulis turut perasan bunyi yang dihasilkan pada skrin sentuh 7 inci MPV ini seakan bunyi panel skrin pada kerusi penumpang kapal terbang. Setiap tetapan boleh dilakukan pada skrin ini daripada kawalan pendingin hawa hingga kepada mencari stesen radio.

Ciri lain yang menarik perhatian ialah alas kepala kerusi penumpang dan pemandu hadapan seakan kerusi penumpang dalam pesawat atau lebih dikenali sebagai ‘Pilot Seat’. Kawalan gearnya pula menggunakan konsep unik iaitu gear terletak dibelakang stereng dan tombol gear mudah dikendalikan dengan tangan kanan. Cukup menarik bukan!

Sebagaimana ciri sebuah MPV yang praktikal, ia turut dipadankan cermin kecil kedua bagi memudahkan pemandu melihat penumpang dibelakang khususnya ketika membawa kanak-kanak manakala lebih banyak ruang storan disediakan seperti ruang bawah lantai, kotak storan tengah mudah alih, dan storan di sekeliling kenderaan.

Tempat duduk baris kedua dan ketiga juga boleh lipat dalam keadaan rata sepenuhnya untuk menambah keluasan but mengikut keperluan, daripada 632 liter kepada 2,181 liter.

Ciri keselesaan lain yang diperkenalkan pada Grand C4 SpadeTourer ialah pintu but elektrik bebas tangan dengan memori yang dapat dibuka dan ditutup semudah mengunjurkan kaki di bawah bampar belakang.

Bagi memastikan Grand C4 SpaceTourer mencapai standard kualiti keselesaan ditetapkan program Citroën Advanced Comfort (CAF), model ini dibangunkan berasaskan platform Efficient Modular Platform 2 (EMP2) dengan menggabungkan teknologi yang mensasarkan jaminan keselamatan dan keselesaan tahap tinggi, termasuk menawarkan dinamik pemanduan dan kecekapan terbaik.

Bagi tambahan keselamatan, kenderaan ini dilengkapkan sistem bantuan pemandu inovatif seperti Brek Keselamatan Aktif (ASB), biasanya ada pada varian premium, Pengecaman Had Kelajuan (SLR) dan Amaran Perhatian Pemandu (DAA).

ASB berfungsi dalam kelajuan 30kmj dan berfungsi mengelak perlanggaran, manakala SLR membantu pemandu mematuhi halaju ditetapkan, dan mengurangkan risiko kemalangan jalan raya dengan mengecam papan tanda had laju sebelum memberikan maklumat kepada pemandu menerusi panel instrumen.

DAA pula ialah sistem keselamatan yang berfungsi mengesan pemandu yang letih dan bertindak membantu mereka kekal berjaga-jaga sepanjang memandu dengan menggunakan sensor pada roda stereng.

Sebagai tambahan, Grand C4 SpaceTourer memiliki ciri keselamatan standard seperti 6 beg udara, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dengan Agihan Brek Elektronik (EBD) dan Bantuan Brek (BA), Kawalan Stabiliti Elektronik (ESC) dengan Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), brek tangan automatik, dan Bantuan Mula Daki (HSA), Cermin Pantau Kanak-Kanak Dalaman (ICMM), DAA dan 3 poin ISOFIX di tempat duduk baris kedua.

Jimat minyak

Citroën Grand C4 SpaceTourer baharu dikuasakan enjin 1.6L Turbo Tekanan Tinggi (THP) berkuasa 165hp dan tork 240Nm @ 1,400rpm dengan transmisi automatik 6-kelajuan.

Tahap kecekapan bahan api ialah 5.8 liter per 100km dan dengan kapasiti penuh, MPV ini boleh dipandu sejauh 600 kilometer.

Warna yang ditawarkan ialah Rouge Rubi (merah), Lazuli Blue (biru), Noir Onyx (hitam) dan Polar White (putih).

Grand C4 SpaceTourer dijual pada harga RM149,888 tanpa insurans, dan kini untuk masa terhad didatangkan dengan servis percuma 3 tahun, termasuk waranti 5 tahun atau 120,000km, Bantuan Jalanan 24 jam dan ruang rehat eksklusif Sky Lounge di Subang Skypark.

Kesimpulan

Memandu MPV ini memberikan pengalaman berbeza kerana ia bukan sahaja selesa dan tahap bunyi dalaman yang senyap malah enjinnya boleh dikerah pada bila-bila masa tanpa menghadapi masalah kerana diberikan suntikan turbo bertekanan tinggi yang bertindak cukup responsif.

Untuk mencapai tahap kelajuan dikehendaki, tekan sahaja pedal minyak dan jika mahukan pemanduan manual gunakan sahaja pedal tukaran gear dibelakang stereng. Padanan gear ini mampu menyediakan ruang lebih luas dibahagian tengah-tengah.

Kerusi barisan kedua yang dibahagikan kepada tiga kerusi individu boleh dilaras mengikut pelbagai posisi dikehendaki malah boleh direbah secara rata sepenuhnya untuk membawa barangan yang lebih besar.

Dua baris kerusi dibahagian belakang juga boleh direbah satu persatu dan turut dilengkapi corong pendingin hawa ditengah-tengah manakala penumpang dibaris ditengah boleh menerima pendingin hawa daripada tengah atau sisi iaitu dibahagian pintu.

Ciri lain ialah bidai tingkap dipintu penumpang belakang manakala alas tangan kerusi hadapan juga menjadi pelengkap. Tidak ketinggalan butang suis kerusi urut dipadankan bagi kerusi hadapan bagi keselesaan pemanduan jauh. Hebat bro!

Jika anda bercadang untuk memiliki MPV buatan Eropah, Citroën Grand C4 SpaceTourer ini mungkin boleh menjadi pilihan kerana ia menawarkan pemanduan gaya Eropah pada tanda harga mampu milik.

SPESIFIKASI

  • Enjin : 1,598cc
  • Kuasa maksimum : 167Ps pada 6,000rpm
  • Tork maksimum : 240Nm dari 1,400rpm
  • Transmisi : 6 kelajuan automatik
  • Harga jualan tanpa insurans : RM149,888

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini