SEGi Group of Colleges (SGC) melancarkan kerjasama dengan QSR Brands (M) Holdings Bhd (QSR Brands) untuk melaksanakan program akademik 2u2i melalui program Diploma Pengurusan Restoran.
KERJASAMA itu dalam usaha menyokong pendidikan fleksibel yang distruktur oleh Rangka Tindakan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pengajian Tinggi) untuk menghasilkan graduan holistik, berkeusahawanan dan seimbang.
Sebagai subset kepada Pembelajaran Berasaskan Kerja (PBK), mod pembelajaran 2u2i menyokong gabungan pengajian akademik dan latihan industri. Kerjasama ini memberikan peluang kepada pelajar dalam program Diploma Pengurusan Restoran untuk menerima pembelajaran dan pengalaman melalui latihan industri dengan restoran KFC selepas dua tahun pengajian.
Kurikulum program ini dirancang di antara Kumpulan SEGi Group of Colleges (SGC) dan industri (QSR Brands) untuk memastikan kursus, kaedah pengajaran dan pembelajaran relevan dan sesuai dengan keperluan industri masa kini.
Pelajar di bawah program ini akan menjalani lima modul latihan restoran oleh QSR Brands yang dilengkapi dengan latihan, penilaian dan pelatih berpengalaman. Dengan infrastruktur latihan bertaraf dunia QSR Brands yang menggabungkan teknik pengajian dan latihan berasaskan kelas, bimbingan, praktikal dan e-pembelajaran, program 2u2i ini bertujuan untuk meningkatkan kebolehpasaran pelajar apabila tamat pengajian.
Selaras dengan majlis pelancaran itu, Memorandum Persefahaman (MOU) Tripartit juga ditandatangani di antara SGC, QSR Brands dan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) bagi memperkasakan kategori B40 di Pulau Pinang dan meningkatkan peluang sama rata serta akses kepada pendidikan dan pekerjaan melalui inisiatif SEGi SAG (Geran Kemahiran Teknikal dan Vokasional).
Perjanjian itu ditandatangani dan dirasmikan oleh Cheah Teong Keat, Pengetua SEGi College Penang, SEG International Bhd; Ling Mee Jiuan, Ketua Pegawai Operasi KFC Malaysia; dan Amran Hazali, Ketua Pegawai Eksekutif, Zakat Pulau Pinang, MAINPP; dan disaksikan oleh Daniel Teng, Pengarah Eksekutif Kanan Kumpulan, SEGi Holdings Sdn Bhd; Dato’ Seri Mohamed Azahari Mohamed Kamil, Pengarah Urusan, QSR Brands; dan Dato’ Haji Abdul Malik Abul Kassim, Yang Di-Pertua MAINPP.
“Kami mengutamakan Kebolehpasaran dan telah bekerjasama dengan rakan korporat untuk menyediakan latihan kerja jangka pendek dan latihan amali untuk menyediakan pelajar kami untuk alam pekerjaan. Walau bagaimanapun, masih terdapat aspek- aspek lain, seperti penawaran latihan berasaskan industri, yang SEGi boleh masukkan secara formal ke dalam program kami.
“Hari ini, kami berbangga menjadi rakan kongsi dengan QSR Brands, untuk memberi peluang kepada pelajar program Diploma Pengurusan Restoran melengkapkan latihan industri mereka di lebih daripada 700 cawangan KFC di Malaysia,” kata Daniel Teng.
Beliau juga memberi penekanan terhadap keterangkuman pendidikan dan keperluan untuk membantu para pelajar yang kurang berkemampuan dengan memberikan akses sama rata kepada mereka untuk meneruskan pengajian tinggi.
“Bagi golongan pelajar ini, kami menawarkan program Geran Kemahiran Teknikal dan Vokasional (atau SAG) di mana mereka akan dilengkapi dengan latihan kemahiran dan kelayakan akademik supaya mereka memperoleh peluang yang cerah dalam kerjaya serta berjaya dalam hidup.
“Kami bekerjasama dengan kerajaan dan badan bukan kerajaan, Ahli Parlimen dan ADUN, untuk mengenalpasti lepasan sekolah SPM yang boleh mendapat manfaat daripada program SAG dan ini termasuk membantu pelajar memperoleh pengalaman kerja dan pendapatan tambahan menerusi pekerjaan separuh masa,” katanya lagi.
“Pelancaran program 2u2i yang pertama dalam program Diploma Pengurusan Restoran SEGi adalah satu lagi langkah ke depan dalam membina agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir (ESG) untuk masa depan yang mampan melalui pembangunan tenaga kerja yang berkualiti.
“Kurikulum yang dirancang dengan penglibatan kami sebagai pengamal industri dan pembelajaran holistik yang disediakan melalui infrastruktur latihan terkini, memberi tumpuan pada penghasilan graduan yang memenuhi keperluan masa kini serta memanfaatkan bukan sahaja KFC tetapi industri dalam jangka masa panjang.
Semasa berkhidmat di restoran kami sebagai pelatih KFC, pelajar juga akan mendapat manfaat daripada elaun bulanan sebanyak RM1,000.
Selain itu, kami bangga memperluaskan inisiatif ini dengan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang untuk memperkuasakan pelajar asnaf yang terpilih di bawah program 2u2i dengan peluang pekerjaan selepas tamat pengajian sebagai sebahagian daripada usaha kedermawanan kami,” kata Dato’ Seri Mohamed Azahari.
Dato’ Abdul Malik Abul Kassim, Yang Di-Pertua MAINPP pula mengalu-alukan kerjasama yang ditandatangani antara SEGi Group of Colleges (SGC), QSR Brands (M) Bhd dan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).
“Melalui inisiatif ketiga-tiga pihak, Zakat Pulau Pinang akan menghubungi 500 orang pelajar dari pangkalan data asnaf yang sedia ada untuk mendaftar masuk ke pelbagai program diploma yang ditawarkan, seperti Diploma Pengurusan Restoran, Diploma Pentadbiran Perniagaan, Diploma Seni Kulinari dan Diploma Pengurusan Perhotelan.
SEGi akan menyediakan bantuan kewangan kepada peserta yang menyertai program ini. Di samping itu, para peserta program juga mempunyai peluang untuk bekerja dengan QSR Brands setelah tamat pengajian. Ini adalah selaras dengan hasrat dan aspirasi Zakat Pulau Pinang untuk menghasilkan pekerja berkemahiran di kalangan masyarakat asnaf.
MAINPP ingin mengucapkan terima kasih kepada QSR Brands (M) Sdn Bhd kerana menyediakan peluang kepada para pelajar untuk mengembangkan potensi mereka dan membina masa depan yang lebih baik.”