Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) akan mengadakan
Hari Terbuka ASWARA 2019 pada 27 April 2019 (Sabtu) bertempat di ASWARA bermula jam 9 pagi hingga jam 5 petang.
HARI Terbuka ASWARA ini mula diadakan sejak 2017 dan dijadikan sebagai acara tahunan ASWARA. Tahun 2019 ini merupakan anjuran kali ketiga bagi program ini.
Objektif program Hari Terbuka ini diadakan untuk memperkenalkan ASWARA dan program pengajian yang ditawarkan kepada orang awam dan bakal pelajar serta meningkatkan jumlah pemohonan masuk ke ASWARA.
Hari Terbuka ASWARA 2019 turut memberi peluang kepada orang awam dan bakal pelajar untuk menyaksikan persembahan yang bakal diadakan pada hari berkenaan dan akan turut dilaksanakan ujibakat dan walk-in interview kepada
pelajar yang ingin meneruskan pelajaran di ASWARA.
Antara persembahan yang bakal diadakan adalah persembahan tarian daripada
pelajar-pelajar Fakulti Tari, persembahan muzik moden dan tradisional daripada
pelajar Fakulti Muzik dan Pusat Seni Pentas Tradisional (PuTRA) serta persembahan istimewa daripada kumpulan Caklempong Sanggar Mustika dari
MRSM Tun Ghaffar Baba, Melaka.
Hari Terbuka ASWARA 2019 juga turut menampilkan selebriti seperti pengarah
terkenal, Rashid Sibir dan pengarang berita serta personaliti TV3, Azwaliza Azman yang akan mengadakan taklimat kerjaya yang bertajuk “Kerjaya dalam Industri Seni Kreatif”.
Turut hadir bagi memeriahkan lagi Hari Terbuka ASWARA 2019 ialah Aril Fazrie,
Serra Kamal, Alyssa Rosli, Akmal Ayob dan beberapa lagi insta famous yang akan membuat persembahan diiringi oleh Five Seconds To Merbok band dan LITA band dari Fakulti Muzik ASWARA.
Rektor ASWARA, Prof. Madya Sahar Sa’di Hashim, “Tujuan Hari Terbuka ASWARA 2019 diadakan adalah untuk memberi pendedahan kepada orang awam terutama para pelajar yang berminat untuk menjadi pelajar ASWARA”.
“Menurutnya lagi program sebegini merupakan satu langkah dalam melahirkan
Cendekiawan Seni yang berilmu dan berkaliber serta berpotensi untuk menjadi
pelapis dalam Industri Seni Kreatif”.
Beliau turut menambah, “Sempena hari terbuka ini bengkel latihan dari pihak
fakulti dan pusat akan diadakan untuk meningkatkan minat dan kefahaman
pelajar terhadap cara pengajaran dan pembelajaran yang terdapat di ASWARA”.
Prof. Madya Sahar turut berharap “Hari Terbuka ASWARA 2019 ini dapat menarik minat orang awam untuk berkunjung dan mengenali ASWARA dengan lebih dekat lagi dan turut serta dalam aktiviti dan program yang bakal diadakan pada hari berkenaan”.
Bagi yang berminat untuk memasuki ASWARA, anda perlu membawa sijil-sijil
yang berkenaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia atau Sijil Tinggi Persekolahan
Malaysia (STPM) atau yang setaraf yang asal dan salinan untuk menjalani sesi
temuduga dan ujibakat pada Hari Terbuka ASWARA 2019.
Pada tahun 2017, penganjuran Hari Terbuka telah menerima seramai 800 orang
pengunjung dan pada tahun 2018 pula seramai 1,600 orang pengunjung direkodkan.
Pada tahun ini, ASWARA mensasarkan seramai 2000 orang pengunjung yang hadir ketika Hari Terbuka ASWARA 2019 diadakan.
Hari Terbuka ASWARA turut mengajak orang ramai untuk kongsikan poster utama Hari Terbuka ASWARA dengan kapsyen yang menarik berserta tanda pagar #HTA2019 bagi membolehkan mereka berpeluang untuk memenangi hadiah misteri dari ASWARA.