Adakah anda seorang pengemar peranti Samsung yang tegar? Kenapa penulis bertanya demikian kerana penulis sendiri menggunakan produk keluaran Samsung sama ada telefon pintar mahupun jam pintar.

PALING terkini, Samsung memperkenalkan barisan baru telefon pintar Galaxy S10 iaitu S10e, S10 dan S10+ dan semua varian itu dibezakan menerusi beberapa rekaan fizikal serta spesifikasinya.

Siri Samsung Galaxy S10 adalah peranti mercu Samsung Galaxy S generasi yang ke-10. Dengan 10 generasi peranti dalam siri ini, banyak perkara yang Samsung telah pelajari dan tidak dinafikan yang siri Samsung Galaxy S10 adalah telefon pintar yang terbaik yang pernah dihasilkan di muka bumi ini.

Ketika penulis berpeluang menguji telefon pintar S10+ baru-baru ini, penulis cukup teruja dengan ciri terbarunya yang boleh mengecas jam pintar Samsung S3 dengan hanya meletakkan jam berkenaan dibahagian belakang badan telefon berkenaan. Ia berfungsi sebagai pengecas tanpa wayar.

Kebetulan pula, penulis terlupa membawa alat pengecas jam berkenaan namun dengan ciri pintar itu masalah itu selesai dan hanya mengambil masa beberapa jam untuk mengecas penuh jam Samsung S3 ini menerusi ciri Powershare.

Bagaimanapun, anda perlu mengaktifkan ciri berkenaan dengan hanya menekan paparan ringkas pada tetapan telefon itu. Bukan sahaja jam tangan malah telefon Samsung S10 lain juga boleh dicas sekali. Hebat bukan!

Inilah antara beberapa ciri unik yang menjadi taruhan Samsung untuk menjadikan Galaxy S10 sebagai telefon pintar terbaik pada tahun ini.

Selain memiliki rekaan fizikal yang cukup eksklusif dan menarik, penulis tertarik dengan butang yang tidak perlu dibina secara fizikal iaitu butang maya cukup sekadar meletakkan jari ditengah dan ia berfungsi secara pintar.

Samsung Galaxy S10 melalui One UI menyertakan sokongan untuk pengguna sama ada inginkan penggunaan butang navigasi berasaskan butang maya, atau menggunakan gestur. Jika anda berminat, boleh mengaktifkan sokongan gestur, sekali gus menyembunyikan butang maya pada skrin sekali gus menggunakan ruangan skrin lebih besar berbanding kebiasaan.

Peranti Samsung Galaxy S10+ turut dipadankan dengan paparan berteknologi ‘Dinamik AMOLED’ dan ia skrin terbaik untuk telefon pintar setakat ini kerana hasilnya, skrin paparan ini mampu untuk menghasilkan lebih 16 juta warna berbeza serta menawarkan kecerahan yang sangat luar biasa berbanding telefon pintar keluaran jenama lain.

Gambar yang diambil menggunakan salah satu ciri dalam Samsung S10+

Peranti ini juga menyokong fungsi HDR10+, sekali gus menjadi peranti mudah alih pertama yang menyokong fungsi berkenaan serta menghasilkan rakaman video beresolusi 4K dengan lebih baik.

Sebagaimana ciri imbasan jari yang pernah diperkenalkan pada produk Samsung sebelum ini iaitu Note7, S10+ turut tidak ketinggalan dilengkapi teknologi sistem imbasan cap jari biometrik yang dikenali sebagai pengimbas cap jari ultrasonik.

Samsung bijak menggunakan sistem imbasan terbina di dalam skrin paparan dan kadar tindak balas bacaan imbasan itu juga sangat cepat tanpa ada sebarang masalah seperti pengimbas telefon pintar yang lain.

Sejak beberapa versi Galaxy sebelum ini, Samsung telah mula menyertakan butang fizikal untuk pembantu maya Bixby. Pada Galaxy S10, anda turut boleh menggunakan butang fizikal berkenaan untuk mengakses ciri lain dan tidak terhad untuk Bixby semata.

Dalam pada itu, ciri Digital Wellbeing boleh melihat bagaimana anda menggunakan peranti S10+ seharian.

Untuk memantau penggunaan peranti dan mengehadkan sesuatu aplikasi daripada digunakan berlebihan, anda boleh mengaktifkan ciri Digital Wellbeing. Disana, anda boleh membuat tetapan mengehadkan aplikasi, selain turut melihat corak penggunaan peranti anda.

Buat pertama kalinya juga, Samsung Galaxy S10 dan Samsung Galaxy S10 Plus mempunyai kamera utama yang sama.

Ciri bokeh yang cantik dan jelas dengan Samsung S10+

Jika anda ingat pada Galaxy S9 ia hanya mempunyai satu kamera utama dan Galaxy S9 Plus mempunyai dwi-kamera.

Galaxy S10 mempunyai satu kamera swafoto 10MP f/1.9, manakala Galaxy S10 Plus turut menggunakan lensa yang sama tetapi ia mempunyai lensa 2MP tambahan untuk butiran bokeh yang lebih baik.

Kemampuan kamera S10+ nyata tidak mengecewakan malah kualiti gambar terhasil begitu baik dan rakaman gambar dalam keadaan pencahayaan yang amat kurang, turut menghasilkan imej sangat berkualiti sekali gus mampu beroperasi dalam apa jua keadaan cahaya.

Bagi S10+, peranti ini dilengkapi dengan lensa 12 Megapixel (MP) telefoto bagi membolehkan imej objek yang diambil dari jarak jauh tanpa mengurangkan kualiti gambar yang terhasil.

Kamera swafoto juga mempunyai lensa berkembar dan satu lensa bertugas sebagai ‘RGB Depth Sensor’ untuk memastikan gambar terhasil lebih baik mengikut kesesuaian keadaan persekitaran.

SPESIFIKASI

Samsung S10+

  • Pemproses: Exynos 9820 / Snapdragon 855
  • RAM: 8GB / 156GB / 512GB – Menyokong kad memori sehingga 1TB
  • Paparan : Dinamik AMOLED
  • Kamera Swafoto : 10MP + 8MP
  • Kamera Utama : 12MP + 12MP + 16MP
  • Bateri : 4,100 mAh
  • Harga : RM3,699 untuk versi 128GB manakala versi 512GB (RM4,599).
  • Teknologi : Sistem pengimbas ultrasonik, Corning Gorilla Glass 6, IP68 Water Resistant and Dust, Pengecas Cepat Tanpa Wayar, Pengecas Berkongsi (Powershare dengan peranti lain)

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini