Proton X70 membuktikan ketahanannya dengan melengkapkan pengembaraan sejauh 13,000km tanpa sebarang kerosakan
PADA 26 Februari 2019, sebanyak sembilan unit SUV pintar pertama Malaysia, Proton X70,
telah berlepas dari Pusat Kecemerlangan PROTON (COE) bagi pengembaraan melalui jalan darat ke China.
Dianjurkan oleh Borneo Automobile Leisure Touring dan Kunming Scenery-Customer International Travel Co., Jelajah Proton X70 Malaysia-China 2019 ini mendapat sokongan daripada PROTON dan telah merentasi lebih 13,000km jarak perjalanan dalam tempoh 33 hari melalui empat buah negara.
Selepas tiga bulan pelancarannya, kebolehan Proton X70 untuk melalui pelbagai keadaan jalan dan prestasi tanpa masalah berjaya dibuktikan melalui ketahanannya dalam pengembaraan yang dianjurkan.
Tiada sebarang masalah dilaporkan sepanjang perjalanan tersebut yang merangkumi empat negara dan setiap sembilan unit model tersebut telah melengkapkan perjalanan tanpa perlu dibaiki selain servis berkala seperti yang diperlukan.
Apabila ditanyakan pengalaman mereka memandu Proton X70, para peserta berterima kasih di atas pemanduan yang lancar, prestasi yang memberangsangkan dan menakjubkan serta ruangan kabin yang ditambahbaik yang ada pada semua varian Proton X70.
Ciri-ciri ini menjadikan perjalanan yang jauh itu mudah bagi kedua-dua pemandu dan penumpang serta membolehkan mereka menikmati pemandangan indah sepanjang perjalanan.
Mereka yang memandu Proton X70 dengan varian Premium memuji Sistem Bantuan Pemanduan Canggih (ADAS) dan ciri-ciri lain seperti kerusi kulit Nappa yang
menambahkan keselamatan dan keselesaan.
“Kami berasa kagum dengan tahap keselesaan dan penambahbaikan terbaik yang ada pada Proton X70 dan selepas menghabiskan selama 33 hari memandu lebih 13,000km di jalan raya dalam pelbagai keadaan, saya berasa yakin ini adalah salah satu pilihan terbaik dalam kelasnya,” kata Dato’ Wong Kean Hwee , seorang peserta daripada pengembaraan
ini.
Lim Mee berkata, “Perjalanan epik ke China memberikan peluang untuk mengalami pelbagai budaya yang berbeza di sepanjang jalan.
Memilih kenderaan yang salah untuk sesuatu pengembaraan boleh menjadikan perjalanan itu sukar dan memenatkan, justeru saya gembira dengan prestasi Proton X70. Kereta ini tidak memberi sebarang masalah, selesa dan terbaik, yang bermaksud ia sebuah kenderaan yang senang dipandu pada setiap hari.”
Model Proton X70 masih belum dijual di luar Malaysia, namun bantuan teknikal telahpun diatur oleh PROTON di lokasi-lokasi pengedar dan pusat-pusat servis di sepanjang laluan yang mereka lalui.
Di China, servis dan sokongan kenderaan disediakan oleh pengedar-pengedar Geely yang telah mahir dengan kenderaan yang sama seperti Geely Bo Yue ini.
Pengembaraan yang turut merentasi Malaysia, Thailand dan Laos itu, kebanyakan masa telah dihabiskan di China di mana konvoi tersebut telah menjelajah ke pelbagai daerah di China sebelum menuju ke lokasi utama iaitu Hangzhou dan kembali semula ke Malaysia.
Di Hangzhou, para peserta telah berkunjung ke ibu pejabat Geely dan Pusat Pengalaman Geely. Kunjungan ini telah memberi peluang kepada para peserta untuk mengetahui lebih lanjut mengenai rakan kongsi PROTON, sejarah mereka dalam menghasilkan kenderaan dan meninjau model-model yang berpotensi untuk dibangunkan bersama model-model
Proton pada masa hadapan.