Pelakon jelita, Nelydia Senrose, 24, sah bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Mohd Hafez Halimi Abdul Hamid, 35, jam 3.28 petang tadi.

Pasangan itu dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Nik Sen Mat Rifin, dengan disaksikan Imam Masjid Jamek Kampung Baru, Azizi Abd Hamid, dalam majlis tertutup di sebuah hotel terkemuka, di sini.

Sebelum acara akad nikah, majlis yang yang dihadiri kira-kira 200 tetamu terdiri daripada anggota keluarga dan kenalan rapat kedua-dua pihak menyaksikan Nelydia dan Hafez ditunangkan sebagai memenuhi syarat.

Pada majlis itu, pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin RM10,000 bersama sembilan dulang hantaran berbalas 11. Bagaimanapun, wang hantaran tidak dinyatakan atas permintaan keluarga.

MOHD Hafez mencium dahi Nelydia pada majlis pernikahan mereka yang berlangsung di sebuah hotel di ibu kota, hari ini.

Anggun mengenakan persalinan rona putih gading rekaan Ezuwan Ismail, Nelydia atau nama lengkapnya Nik Zaris Nelydia Nik Sen bersyukur segala perancangan sejak awal tahun berjalan lancar.

“Alhamdulillah, impian, niat dan hajat yang saya simpan selama ini dipermudahkan.

“Allah memakbulkan doa saya ketika di Tanah Suci Makkah, termasuk dalam soal jodoh. Semoga permulaan fasa baharu ini akan terus mematangkan saya dan suami, insya-Allah,” katanya.

Berkongsi detik perkenalan, pasangan terbabit bersua buat kali pertama pada 6 April 2017. Setahun kemudian Hafez melamar Nelydia di Amsterdam, Belanda.

“Asalnya, kami merancang untuk berkahwin pada tahun lalu. Begitupun, ada sahaja kekangan yang menghalang hasrat itu.

“Namun, di sebalik ujian dan halangan, saya serta suami melaluinya dengan baik. Sekembali daripada mengerjakan umrah, 5 Januari lalu, saya dan Hafez memutuskan untuk ke gerbang perkahwinan dan kami terus memulakan persiapan,” kata Nelydia sambil menyifatkan pasangannya itu seorang yang menenangkan hati, selain melengkapi kehidupannya.

Esok, pasangan ini bakal diraikan dalam majlis resepsi yang akan berlangsung di lokasi sama. -BHonline

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini