Sebarang keputusan sama ada Barisan Nasional (BN) menyokong Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad atau sebaliknya perlu melalui Majlis Tertinggi parti tersebut.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Majlis Tertinggi BN akan mengadakan mesyuarat dan keputusan hanya dibuat secara kolektif.
Kata beliau, mesyuarat itu akan diadakan apabila tiba masanya dengan kehadiran semua Ahli Parlimen BN dan mungkin turut melibatkan pemimpin-pemimpin Pas.
“Semua orang akan cakap dan memberi pandangan masing-masing tapi keputusan mesti secara kolektif melalui Majlis Tertinggi BN.
“Mesyuarat itu akan diadakan apabila sampai masanya nanti, lagipun saya tak rasa undi tidak percaya ada dalam Peraturan Parlimen,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.
Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semalam yang menyatakan semua Ahli Parlimen BN akan menyokong Dr. Mahathir sehingga tamat penggal jika wujud gerakan menjatuhkan beliau dalam Pakatan Harapan (PH).
Jelas Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera, BN hari ini sentiasa meraikan semua pandangan yang dilontarkan oleh mana-mana pihak termasuk Ahli Parlimen parti.
“Tidak mengapa, semua orang akan memberi pandangan masing-masing. Kita meraikan semua pandangan itu,” katanya. – UTUSAN ONLINE