Pelakon Fasha Sandha berharap, bahtera rumah tangga yang bakal dilayari kembali bersama Aidil Aziz dalam masa terdekat akan menjadi perkahwinan terakhirnya.
Mengakui sebak menanti hari bahagianya, Fasha, 35, bersyukur dipertemukan dengan insan yang tulus meyakinkan dirinya untuk kembali menjadi isteri.
“Ini kali pertama saya merasai kemeriahan persediaan sebelum mendirikan rumah tangga. Saya sangat gembira, malah terharu apabila menerima pelbagai nasihat dan kata sokongan untuk kembali melalui alam bermakna ini.
“Baru kini saya merasai erti perkahwinan sebenar. Saya terharu apabila ibu dan keluarga kedua-dua belah pihak memberikan restu. Dapat saya rasakan betapa diri ini disayangi,” katanya.
Ditemui pada majlis berinai dan juga sambutan hari ulang tahun kelahirannya yang ke-35, malam tadi, Fasha berkata, sebagai insan yang pernah melalui kegagalan, dia berharap akan menemui bahagia yang dicari.
“Saya sangat berharap ini adalah perkahwinan terakhir dan memohon semua mendoakan segala perancangan kami dipermudahkan,” katanya yang memilih tema Melayu Klasik pada acara yang turut dimeriahkan dengan kehadiran keluarga, rakan selebriti serta peminat.
Memilih untuk tidak berkongsi tarikh majlis pernikahan yang bakal berlangsung di kampung halamannya di Perlis, Fasha berkata, segala butiran hanya akan dimaklumkan selepas segala-galanya selesai.
“Tunggulah apabila semua urusan selesai, baru kami berkongsi. Untuk majlis pernikahan nanti, kami hanya mahu melunaskan perkara wajib. Alhamdulillah, banyak pihak yang bersedia menghulurkan tangan untuk meraikan hari bahagia kami,” katanya. – BH ONLINE