Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, hari ini menggesa semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) dan pembangkang supaya berhenti bermain politik kerana ia tidak membawa sebarang faedah kepada rakyat di negeri itu.

“Saya merayu kepada semua orang, pihak media, ADUN dari Pakatan Harapan, ADUN dari UMNO dan PAS, mari kita sama-sama berhenti bercakap mengenai perkara ini dan tumpukan kepada memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“ADUN PAS dan UMNO juga ada tanggungjawab mereka selepas dipilih dan saya sebagai Menteri Besar Perak bukan Menteri Besar PH semata-mata, kepada mereka dulu yang undi UMNO dan PAS, saya juga ada tanggungjawab untuk memberi perkhidmatan kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Tourism Perak dan Perak Transit berhubung perkhidmatan bas `Hop On Hop Off’ di pejabatnya di sini, hari ini.

Ahmad Faizal mengulas mesej yang viral dalam media sosial mendakwa gabungan UMNO dan PAS Perak sudah memiliki sokongan 31 ADUN yang sudah menandatangani akuan bersumpah, untuk mengambil alih kerajaan negeri.

Mesej itu mendakwa akuan bersumpah itu kini sudah berada pada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan kerajaan PH Perak akan tumbang pada bila-bila masa, selain ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, yang `melompat’ ke PH akan melompat kembali kepada UMNO dan menjadi Menteri Besar Perak yang baharu.

Zainol Fadzi, yang juga Penasihat Menteri Besar, bagaimanapun sudah menafikan dakwaan itu dan bertegas terus bersama kerajaan PH.

Ahmad Faizal berkata beliau juga mempunyai tanggungjawab untuk bekerjasama dengan ADUN PAS dan UMNO sekiranya mereka mahu bersama-sama memberi perkhidmatan kepada rakyat.

“Jadi, cerita hendak ubah Menteri Besar, tukar kerajaan ke, kita simpan jauh-jauh supaya kita tumpu kepada tanggungjawab hakiki sekarang.

“Cerita ini memang seronok hendak main di media sosial tetapi tidak membawa apa-apa keuntungan kepada usaha untuk membangunkan negeri kita dan memberi perkhidmatan kepada rakyat.

“Jadi, kerja tidak membangun ini kita jangan buat. Sebagai pemimpin, kita patut ajak dan sungguh-sungguh tolong supaya hentikan bermain politik, kita buat kerja, sekarang masa untuk buat kerja,” katanya.

Untuk rekod, UMNO mempunyai 25 kerusi dalam DUN Perak, PAS tiga ADUN manakala PH memiliki 31 kerusi selepas dua bekas wakil rakyat Barisan Nasional (BN) menyokong Ahmad Faizal dilantik sebagai Menteri Besar. — BH ONLINE

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini