HeiTech Padu Berhad (HeiTech), penyedia perkhidmatan sistem ICT dan teknologi global melancarkan Program Pembangunan Usaha Niaga HeiTech (HeiTech Venture Builder Programme) iaitu program yang diwujudkan khusus untuk menyokong pertumbuhan syarikat pemula niaga atau “start-up” di Malaysia.
PROGRAM itu dirasmikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Gobind Singh Deo, iaitu program Pembangunan Usaha Niaga yang menyasarkan syarikat pemula niaga yang terlibat dalam pembangunan penyelesaian inovatif di bidang perkhidmatan kewangan, sekuriti, pendidikan dan kesihatan terutamanya syarikat yang ingin mengadaptasi teknologi terkini seperti artificial intelligence, data analytics dan blockchain.

Presiden HeiTech, Dato’ Sri Mohd Hilmey Mohd Taib berkata, melalui program ini, HeiTech menawarkan syarikat pemula niaga akses kepada sumber dan infrastruktur HeiTech dan membantu mereka untuk membangun, melaksana dan memasarkan penyelesaian mereka.
“Di dalam program ini, kami bukan sahaja berperanan sebagai mentor tetapi juga membantu syarikat pemula niaga untuk mempercepatkan kemasukan penyelesaian mereka ke pasaran.
“Selain itu, kami sentiasa mencari peluang untuk membantu kerajaan meningkatkan taraf hidup rakyat dan pertumbuhan ekonomi negara dengan cara memperkenalkan penyelesaian yang berinovasi dan program ini memberi peluang kepada kami untuk membimbing syarikat pemula niaga untuk turut sama menyumbang kepada hasrat tersebut,” katanya.
Menjadikan program tersebut sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporatnya, HeiTech percaya penyertaan organisasi korporat dalam ekosistem pemula niaga penting bagi membantu syarikat-syarikat ini berkembang dalam era revolusi perindustrian 4.0 sekarang.

Revolusi digital ini memberi kesan kepada kehidupan dan semua pihak perlu bergerak pantas selari dengan trend semasa.
“Kami berharap program Pembangunan Usaha Niaga HeiTech ini akan membuka laluan kepada lebih banyak syarikat pemula niaga yang akan dibangunkan dan membantu mereka untuk turut sama menyumbang ke arah mentransformasi Malaysia dari sebuah negara pengguna kepada negara maju berasaskan inovasi”.
Kumpulan pertama yang terlibat dalam program Pembangunan Usaha Niaga HeiTech adalah NXSense (platform IT penjagaan kesihatan), Gerbang Mahir (platform digital TVET) dan EvenThings (platform IT pengurusan acara), dan Paymatic (platform pembayaran elektronik hibrid perniagaan).
Pada majlis tersebut, HeiTech turut mengumumkan Paymatic Sdn Bhd sebagai salah sebuah syarikat pemula niaga yang menerima manfaat daripada program Pembangunan Usaha Niaga HeiTech.
Paymatic Sdn Bhd telah berjaya membangunkan Penyelesaian Paymatic, iaitu penyelesaian pembayaran elektronik hibrid perniagaan menyasarkan pasaran perkhidmatan kewangan dan perniagaan.

Ia adalah perkhidmatan percetakan cek yang boleh dilakukan sendiri oleh pengguna melalui platform perbankan dalam talian.
“Kerjasama ini merupakan contoh terbaik sinergi antara mentor berpengalaman dengan usahawan tekno yang berinovasi dan bercita-cita tinggi. Kami memilih Paymatic Sdn Bhd kerana idea dan visi mereka sejajar dengan strategi kepelbagaian tawaran perkhidmatan kami yang memberi tumpuan kepada industri perkhidmatan kewangan,” katanya.
Ciri utama penyelesaian paymatic adalah kemampuannya untuk mendeposit cek menggunakan telefon bimbit dengan cara mengambil gambar imej cek dan menggunakan pengimbas Kod QR.
Ia memenuhi keperluan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang melalui proses pengurusan cek secara manual pada masa sekarang dan dari perspektif Bank ia membolehkan bank beroperasi dalam ekosistem pembayaran elektronik.
HeiTech telah membina tapak yang kukuh dalam industri ICT sejak lebih dua dekad.
Hari ini, HeiTech masih mengekalkan kedudukannya sebagai salah satu pemain ICT utama di negara ini yang melaksana projek berkepentingan nasional dan menawarkan perkhidmatan ICT khusus untuk sektor awam dan swasta.
Keupayaan utamanya adalah dalam integrasi sistem dan pembangunan aplikasi, penyelesaian infrastruktur ICT seperti perkhidmatan pusat data terurus, perkhidmatan rangkaian dan perkhidmatan pengkomputeran awan untuk sektor awam dan swasta.




































