Lapangan Terbang Antarabangsa Senai mencatatkan sebuah lagi rekod baru pada 2018 mengendalikan 3.52 juta penumpang, iaitu peningkatan sebanyak 13% daripada bilangan penumpang yang dicatatkan pada 2017.

PERTUMBUHAN ini didorong terutamanya oleh penumpang domestik dengan peningkatan sebanyak 9% atau 234,650 penumpang, daripada 2.68 juta pada tahun 2017 kepada 2.91 juta pada tahun 2018 manakala trafik penumpang antarabangsa meningkat 37% atau 163,127 daripada 0.44 juta pada tahun 2017 kepada 0.60 juta pada 2018.

Pergerakan penerbangan komersial mencatatkan 8% lebih tinggi dengan jumlah sebanyak 32,574 pendaratan dan perlepasan.

Md Derick Basir, Ketua Pegawai Eksekutif Senai Airport Terminal Services Sdn Bhd (SATSSB), ahli Kumpulan MMC berkata, “2018 adalah tahun tersibuk bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Senai setakat ini dan kami menjangkakan pertumbuhan lebih lanjut pada tahun 2019.”

“Pertumbuhan jumlah penumpang didorong oleh kegiatan aktiviti ekonomi yang aktif di
rantau selatan tanah air, meningkatkan permintaan perniagaan dan perjalanan korporat,
turut serta dari sektor pelancongan.”

Secara khususnya, peningkatan jumlah lalu lintas penumpang pada tahun 2018 disumbang oleh pengenalan laluan baru termasuk Seoul oleh Jin Air, Sanya dan Haikou oleh Malindo Air, serta Alor Setar dan Ipoh oleh AirAsia selain peningkatan frekuensi penerbangan sektor sedia ada seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Langkawi dan Bangkok.

“Kami bekerjasama dengan agresif bersama pemain industri termasuk badan-badan pelancongan dan syarikat-syarikat penerbangan untuk mempromosikan Johor sebagai
destinasi, dengan matlamat bagi menggalakkan lebih banyak permintaan penumpang
penerbangan.”

“Bagi tahun 2019 Lapangan Terbang Antarabangsa Senai menetapkan sasaran untuk
mengendalikan 3.76 juta penumpang.”

“Ia bakal menjadi tahun yang sibuk dan memberangsangkan di mana kami juga telah
memperkembangkan portfolio untuk menguruskan operasi Lapangan Terbang Kertih di
Terengganu,” kata Md Derick.

Baru-baru ini, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai telah dianugerahkan ‘Lapangan Terbang Serantau Asia Pasifik Tahun 2018’ di bawah kategori penumpang kurang daripada 10 juta oleh CAPA di atas peranan utamanya dalam penggunaan teknologi biometrik dan sokongan terhadap model LCC.

Tawaran beli – belah di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai turut bertambah baik
dengan pembukaan outlet jenama – jenama antarabangsa seperti Pizza Hut, Gong Cha,
WH Smith, O’Briens Irish Sandwich Bar, Juice Boost dan Burger King.

Kehadiran outlet outlet baru menawarkan lebih banyak nilai dan pilihan bagi pengguna lapangan terbang, sejajar dengan pertumbuhan pergerakan penumpang.

“Kini, ia bukan hanya sekadar ‘lapangan terbang’ bagi penumpang penerbangan, tetapi
juga telah menjadi ‘tempat’ bagi warga kerja di komuniti sekitar untuk mengadakan
temujanji perbincangan perniagaan.” katanya.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini