Bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak kira pangkat diseru menyertai Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi tujuan menjaga kebajikan mereka.
KETUA NGO Antarabangsa yang juga Pengerusi Yayasan Kebajikan dan Pendidikan Asia Tenggara (SEAWEED), Komander (B) Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican berkata, penyertaan mereka bukan sekadar menjaga kebajikan tetapi mampu memperkukuhkan persatuan ini.

Beliau berkata, sebagai bekas pejuang kita harus mengekalkan imej, perpaduan dan nama baik ATM.
“Sebagai contoh, kepada pegawai dan anggota yang masih berkhidmat untuk menyokong Persatuan Veteran ATM serta pada masa sama saya menyeru semua bekas ATM berdaftar dengan persatuan ini kerana banyak manfaat yang perolehi.
“Ini peluang untuk kita semua dan anak-anak kita juga boleh memperolehi pelbagai peluang seperti maklumat melanjutkan pelajaran, pekerjaan dan lain lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis mesra bersama Ahli Jawatankuasa Bekas Veteran dan ahli di ibupejabat Veteran di Kota Kinabalu, Sabah. Turut hadir Yang Dipertua Veteran ATM Negeri Sabah, Marshid Mohd Salleh.

Seramai 150 ahli turut hadir meraikan perjumpaan bersejarah di ibupejabat Persatuan Bekas Veteran ATM di Kota Kinabalu.
Mustapha turut mengingatkan semua veteran mengenai konsep perpaduan sesama ahli dan mengariskan beberapa pandangan serta nasihat kepada semua rakan-rakan seperjuangan.
Beliau yang pernah bertugas di Sabah pada era 80-an berkata, ketika itu rakan-rakan seperjuangan termasuk Marshid begitu kuat daripada segi perpaduan meliputi pelbagai agensi kerajaan seperti tentera darat, udara dan polis.
Antara cadangan kepada persatuan ini
1. Persatuan ini mesti berkecuali dari mana-mana politik bagi memperkukuhkan perpaduan sesama veteran
2. Veteran mesti menjalinkan hubungan baik dengan kerajaan Negeri dan Pusat. Ini bagi memudahkan penyaluran bantuan kepada persatuan
3. Pengguna kumpulan whatsapp di wujudkan bagi memudahkan perhubungan bagi menyampaikan maklumat penting tetapi jangan salah guna untuk tujuan fitnah atau menjatuhkan seseorang
4. Usia kita semua bukan muda kerana ada antara kita telah meninggalkan perkhidmatan lebih 10 tahun dan keadaan tidak sama seperti sekarang
“Oleh itu mereka yang belum mendaftar marilah kita sama-sama mendaftar sebagai Ahli Veteran sebagai tanda sokongan kita kepada persatuan.
“Berilah idea yang baik dan bantulah agar persatuan menjadi ikon kepada persatuan-persatuan lain dan demi menjaga kebajikan kepada rakan-rakan kita yang tidak berupaya atau berada dalam kesusahan, ingatlah cogankata “Bersatu kita teguh dan bercerai kita roboh”.
Mustapha juga mengingatkan pesara ATM yang masih belum mendaftar perlulah tampil menyokong usaha persatuan ini kerana kerajaan sentiasa prihatin kepada bekas Tentera.
“Saya difahamkan dari ibupejabat Veteran, bekas ATM di Sabah ramai tetapi yang mendaftar terlalu kecil. Jadi saya menyeru rakan-rakan pesara mendaftar kerana ramai juga bekas Tentera dari Semenanjung yang tinggal di Sabah dan Sarawak.
“Ini untuk masa depan isteri dan anak-anak apabila kita sudah tiada dan persatuan boleh memainkan peranan penting menjaga segi kebajikan ahli serta keluarga.
Sementara itu, Marshid berkata, setakat ini ada 19 cawangan Persatuan Veteran ATM di Sabah dengan keahlian seramai 13,000 pesara tentera dan berharap Persatuan Veteran ATM boleh menjadi satu persatuan yang kuat dan aktif.
“Saya bersama Dr Mustapha pernah berkhidmat dalam pasukan yang sama era 80an di KD Sri Tawau dan berpisah hampir 30 tahun namun hari ini saya berasa bangga kerana pencapaian beliau sebagai Ketua NG0 Antarabangsa,” katanya.