Perodua Aruz, kenderaan utiliti sukan (SUV) terbaharu keluaran Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) yang dilancarkan semalam, telah menerima sebanyak 2,200 tempahan sejak 3 Januari lalu.

PERODUA Aruz yang diperkenalkan semula selepas Perodua Nautica dan Kembara sebelum ini adalah SUV tujuh tempat duduk.

SUV ini ditawarkan dalam dua varian iaitu 1.5X yang berharga RM72,900 dan 1.5 Advance (AV) yang berharga RM77,900 (harga tidak termasuk insurans).

Kedua-dua varian ini masih menggunakan enjin sama iaitu unit empat silinder NA 1.5 liter 2NR-VE dengan kuasa sebanyak 105 PS pada 6,000 rpm dan 136 Nm tork pada 4,200 rpm. Transmisi pula adalah unit automatik empat kelajuan yang menghantar kuasa ke roda belakang.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata pelancaran itu juga sejajar usaha Perodua bagi memanfaatkan perkembangan segmen SUV di peringkat global.

“Kalangan pembeli menggemari kepelbagaian cirinya seperti selesa, aras pemanduan yang tinggi, ketampakan lebih jelas serta ruang lebih besar sambil mengekalkan elemen kompak.

“Malah, penampilan SUV ini memaparkan gaya hidup aktif, sukakan cabaran serta beraspirasi yang diinginkan ramai,” katanya selepas majlis pelancaran itu di sini, semalam.

Aruz yang berkapasiti tujuh tempat duduk itu dilancarkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking dan disaksikan oleh Duta Jepun Ke Malaysia, Dr Makio Miyagawa serta Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin.

Perodua Aruz ditawarkan dalam dua varian iaitu 1.5 X dan 1.5 Advance dengan harga atas jalan tanpa insurans iaitu masing-masing RM72,900 dan RM77,900 bagi Semenanjung Malaysia.

Zainal Abidin berkata, penyertaan Perodua dalam segmen SUV itu turut menempatkannya dalam skala baharu yang membolehkan syarikat itu meningkatkan kepuasan pengguna ke tahap seterusnya.

Selain 95 peratus komponennya dihasilkan di peringkat tempatan, Perodua Aruz juga merupakan kenderaan keempat Perodua yang dilengkapi ciri cekap tenaga dengan kecekapan bahan api sehingga 15.6 kilometer/liter serta waranti lima tahun/150,000 kilometer.

SUV itu ditawarkan dalam lima warna iaitu putih ‘Ivory White,’ perak ‘Glittering Silver,’ biru ‘Electric Blue,’ kelabu ‘Granite Grey’ dan warna baharu hijau ‘Amazon Green.’

Tawaran menarik turut menanti pelanggan yang mana bermula 9 Januari, pembelian insurans motor Perodua ‘Total Protect Plus’ tidak hanya menikmati ganjaran Perodua ‘Auto Assist’ secara percuma tetapi juga bilangan pemandu tanpa had secara percuma, elaun banjir sehingga RM1,000 serta perlindungan Kemalangan Peribadi sehingga RM10,000.

Spesifikasi Perodua Aruz 1.5 X (RM72,900)

  • Enjin: 1.5 liter 2NR-VE Dual VVT-i
  • Kapasiti : 1,496 cc, empat silinder, petrol
  • Kuasa : 105 PS pada 6,000 rpm, 136 Nm tork pada 4,200 rpm
  • Transmisi: Automatik empat-kelajuan torque converter
  • Eco Idle, ciri start/stop automatik bagi enjin
  • Kadar penggunaan minyak 15.6 km per liter

Ciri Luaran :

  • Lampu utama LED dengan fungsi “Follow Me Home”, tanpa On/Off automatik
  • Tanpa lampu kabus halogen hadapan
  • Rim aloi 17-inci dwi tona
  • Tanpa landasan pada bumbung
  • Tanpa diffuser krom pada bampar depan

Ciri Dalaman:

  • Tempat duduk fabrik
  • Stereng guna bahan Urethane dengan butang kawalan audio, tiada balutan kulit
  • Tanpa butang Bluetooth untuk jawab panggilan
  • Unit utama multimedia tujuh-inci, tanpa Smartlink dan tiada HDMI
  • Tayar ganti saiz penuh, dengan rim 17-inci sama
  • Pengimbas TnG binaan dalam
  • Port pengecas bagi ketiga-tiga barisan (USB di barisan satu dan dua, soket 12V di barisan ketiga)
  • Pendingin hawa zon tunggal manual, dengan paparan digital dan memori
  • Stereng larasan tinggi-rendah, bukan teleskopik
  • Corong pendingin hawa belakang (blower sahaja)
  • Sistem tanpa kunci dengan butang Push/Start

Ciri Keselamatan: Enam beg udara, VSA, ABS + EBD + BA, Bantuan Mula Mendaki dan Kawalan Menuruni Bukit, Isyarat Berhenti Kecemasan, Tujuh amaran tali keledar berasingan, Dua ISOFIX (hanya pada barisan kedua)

Spesifikasi Perodua Aruz 1.5 Advance (RM77,900)

Ciri Tambahan Luaran:

  • Lampu utama LED dengan fungsi “Follow Me Home” dan On/Off automatik
  • Landasan pada bumbung
  • Diffuser krom dan lampu kabus pada bampar hadapan

Ciri Tambahan Dalaman:

  • Kemasan krom dan hitam berkilat pada bahagian papan pemuka dan panel pintu
  • Unit utama multimedia tujuh-inci dengan Smartlink dan HDMI
  • Stereng balutan kulit, dengan butang kawalan audio dan Bluetooth untuk telefon
  • Tempat duduk balutan kulit
  • Tombol gear balutan kulit
  • Perakam video digital (DVR)

Ciri Tambahan Keselamatan:

Advanced Safety Assist 2.0 (Front Collision Warning, AEB dengan Pedestrian Detection, Front Departure Warning, Pedal Misoperation Control).

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini