Promosi penganjuran Red Eagle Tour yang bakal berlangsung pada April 2019 dengan matlamat menjadikan Kedah sebagai hub pelancongan sukan dilancarkan, hari ini.
MENTERI Besar, Dato’ Seri Mukhriz Mahathir, hari ini menyempurnakan pra-pelancaran perlumbaan berbasikal Fun Ride 40km sebagai permulaan kepada penganjuran acara utama Red Eagle Tour 2019 yang akan berlangsung pada 23-27 April 2019 melibatkan seramai 120 pelumba basikal tempatan dan antarabangsa.
Acara Fun Ride 40km dan berikutnya Fun Run Sweat & Sweet 7km merupakan dua acara
pra-perlumbaan sebenar yang dianjurkan bagi mempromosi Red Eagle Tour 2019 untuk
menarik lebih ramai penonton di kalangan peminat tempatan dan luar negara.
Kedua-dua acara ini menyaksikan penyertaan pelumba amatur dan peminat sukan dari seluruh negara.
Red Eagle Tour 2019 adalah acara perlumbaan basikal lebuh raya yang terbuka kepada penyertaan peserta tempatan dan antarabangsa. Ia dianjurkan bertujuan untuk mempromosi pelancongan sukan di Kedah dan memberi faedah sosio-ekonomi kepada rakyat di negeri itu.
Antara orang kenamaan yang mengambil bahagian dalam Fun Ride 40km ini termasuk YTM Dato’ Tunku Shazuddin Ariff Ibni Sultan Sallehuddin Tunku Laksamana Kedah, Dato’ Seri Mukhriz Mahathir, Menteri Besar Kedah, Dato’ Amiruddin Hamzah, Timbalan Menteri Kewangan dan Mohd Asmirul Anuar Aris, Exco Belia & Sukan Negeri Kedah.
Sebagai penganjur Red Eagle Tour 2019, Master Pacer Venture berharap acara ini mampu
mempromosi pelancongan sukan di Kedah khususnya acara berbasikal di kalangan belia.
Ia juga melengkapi aktiviti-aktiviti pelancongan sukan di negeri ini yang diadakan dengan objektif untuk mewujudkan kesan positif kepada kemajuan negeri Kedah khususnya dari aspek ekonomi dan pembangunan sosial.
Red Eagle Tour 2019 dianjurkan melalui usahasama antara Master Pacer Venture dan kerajaan negeri Kedah. Master Pacer Venture terkenal dengan penglibatan mereka dalam acara berbasikal berprestij seperti Le Tour de Langkawi, Jelajah Malaysia, Tour De Selangor dan KL State & National Team Cycling Rider.
Diharapkan Red Eagle Tour 2019 akan mempromosi pembangunan sukan, budaya dan industri pelancongan ke tahap baru serta mewujudkan peluang-peluang baru yang akan memacu Kedah sebagai hub pelancongan sukan.
Sebanyak 20 pasukan melibatkan 6 pelumba dalam setiap pasukan bakal berentap dalam perlumbaan 5 peringkat merangkumi jarak 750km menjelajahi 5 buah daerah di Kedah.
Acara ini akan disiarkan di kaca televisyen seluruh dunia bagi memberi peluang kepada
penonton untuk melihat sendiri keunikan dan keistimewaan yang terdapat di negeri Kedah.
Seramai 100,000 penonton dijangka menyaksikan perlumbaan ini menerusi liputan media
elektronik, media cetak dan media sosial.
Mereka yang berminat untuk mengambil bahagian dalam Red Eagle Tour 2019 boleh mendaftar menerusi www.racexasia.com, www.howei.com atau log masuk ke media sosial Red Eagle Tour.