BIMB Holdings Berhad (BHB) mengumumkan perlantikan Mohd Muazzam Mohamed sebagai Ketua Pegawai Eksekutif bagi kedua-dua BIMB Holdings Berhad dan anak syarikat milik penuhnya, Bank Islam Malaysia Berhad berkuat kuasa serta-merta.

MOHD Muazzam yang juga seorang Akauntan Berkanun, menyertai Bank pada 11 Mei 2015 sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO).

Beliau dilantik sebagai Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif berikutan perletakan jawatan Khairul Kamarudin pada 20 Julai 2018 yang lalu.

Beliau membawa bersama pengalaman selama 22 tahun dalam bidang audit, kewangan dan perundingan. Sejak menyertai Bank, beliau telah memainkan peranan utama dalam halatuju strategik Bank, pengurusan modal dan lembaran imbangan, kewangan korporat, kredit, perletakan pasaran, perancangan & kawalan kewangan dan pentadbiran am.

Beliau adalah ahli dalam pelbagai jawatankuasa eksekutif di Bank Islam dan mempengerusikan beberapa jawatankuasa pemandu projek. Beliau juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah di beberapa syarikat dalam Kumpulan BHB dan Bank Islam.

Mohd Muazzam merupakan Akauntan Bertauliah [Institut Akauntan Malaysia], Akauntan Awam Bertauliah [Institut Akauntan Awam Malaysia], Juruaudit Sistem Maklumat Bertauliah [ISACA] dan Akauntan Kewangan Awam Bertauliah [Institut Kewangan Awam dan Perakaunan Berkanun].

Beliau juga pernah menjadi Rakan Kongsi KPMG dan Pengarah Eksekutif bagi Konsultansi Pengurusan KPMG dari tahun 1997 hingga 2015.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini