Persatuan Penduduk Jalan Pahlawan, Bandar Mahkota Cheras, Selangor pada Ahad lalu, mengadakan Mesyuarat Agung Persatuan Penduduk Kali Ke-3 dan Pemilihan AJK Baru Sesi 2019/2020..

MAJLIS yang bermula dengan acara pendaftaran dari jam 9.30 pagi dan berakhir dengan jamuan makan tengahari jam 2 petang itu dihadiri lebih 70 penduduk Jalan Pahlawan 22/3 hingga 46/3, diadakan di hadapan pondok pengawal taman berkenaan.

Pengerusi Persatuan Penduduk Jalan Pahlawan, Bandar Mahkota Cheras, Nik Mohd Shukri Nik Ahmad berkata, tujuan persatuan ini ditubuhkan adalah untuk mewujudkan perpaduan diantara penduduk yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama.

Beliau berkata, tujuan iain untuk meningkatkan kawalan keselamatan dan mewujudkan satu suara komuniti yang kuat serta sepakat dalam menangani apa jua masalah yang bakal dihadapi.

“Saya mengalu-alukan kehadiran penduduk Jalan Pahlawan ke Mesyuarat Agung Persatuan dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penduduk yang hadir.

“Isu besar yang perlu ditangani segera adalah isu kawalan keselamatan dan kutipan yuran bayaran keselamatan yang perlu disumbangkan oleh semua penduduk dalam usaha kita untuk meningkatkan mutu kawalan keselamatan dalam kawasan perumahan kita.

“Saya memohon kerjasama semua penduduk untuk menjelaskan yuran tersebut yang berjumlah RM50 sebulan,” katanya dalam ucapan aluan sempena mesyuarat agung Persatuan Penduduk Jalan Pahlawan Bandar Mahkota Cheras, di sini.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan jutaan terima kasih kepada semua AJK yang telah memberikan kerjasama kepada persatuan dalam usaha untuk memastikan kawasan perumahan berada dalam keadaan selamat tanpa bimbang berlakunya kes jenayah seperti pecah rumah dan kecurian.

Mesyuarat kemudian diteruskan dengan pembentangan minit mesyuarat agung oleh Setiausaha persatuan, Zakaria Idris dan disusuli dengan pembentangan laporan penyata kewangan berakhir 16 Disember 2017 oleh Bendahari, Azizuddin Abdullah.

Dalam mesyuarat itu juga, pelbagai isu dibincangkan antara penduduk dan pihak persatuan antaranya isu anjing liar yang banyak, kerosakan pagar akibat binatang liar seperti babi hutan dan masalah palang automatik untuk laluan pelawat.

Selain itu, penduduk turut meminta laluan motosikal berhampiran Sungai Langat itu ditutup sepenuhnya bagi tujuan keselamatan penduduk kerana laluan itu sering digunakan oleh pekerja asing.

Dr Mohd Khairuddin Kandar bertindak sebagai Pengerusi Majlis (tengah) sambil ditemani Pengerusi, Nik Mohd Shukri Nik Ahmad (kanan) dan Setiausaha, Zakaria Idris (kiri)

Nik Mohd Shukri berkata, dengan mandat yang diberikan oleh pihak MPKJ, beliau akan mengadakan pertemuan dengan pihak MPKJ bagi memohon kelulusan untuk menutup lorong motosikal berkenaan selepas mendapat sokongan penduduk hasil mesyuarat agung yang diadakan ini.

Sementara itu, dalam mesyuarat berkenaan, penduduk sebulat suara mencadangkan perlantikan semula Pengerusi Persatuan, Nik Mohd Shukri Nik Ahmad sebagai Pengerusi bagi sesi 2019/2020 dan Dr Mohd Khairuddin Kandar sebagai Timbalan Pengerusi.

“Sepertimana yang kita sedia maklum bahawa kawasan kejiranan kita dilengkapi kemudahan berpagar dan pondok pengawal yang lengkap dengan sistem kemasukan menggunakan kad akses.

“Justeru saya menyeru semua penduduk agar dapat memberi komitmen kepada tanggungjawab membayar yuran penyelenggaraan setiap bulan,” katanya.

Barisan ahli Persatuan Penduduk Jalan Pahlawan Bandar Mahkota Cheras Sesi 2019/2020 yang dilantik oleh penduduk

Katanya, tanpa sokongan semua penduduk, usaha untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku seperti kejadian pecah rumah tidak dapat dilakukan dengan sempurna sekiranya tiada kawalan oleh pengawal keselamatan dilakukan.

“Akhir sekali, kami berharap penduduk sekitar taman ini dapat bekerjasama dalam menjaga keselamatan dan kebersihan kawasan persekitaran rumah serta tinggal dalam suasana yang harmoni, aman dan damai,” katanya.

Pada majlis itu, selain tetamu dihidangkan dengan menu utama Nasi Kukus Ayam Dara, tetamu yang hadir juga berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah yang disediakan oleh pihak persatuan dan hasil sumbangan penduduk.

Penduduk menjamu selera selepas selesai mesyuarat agung diadakan, Ahad lalu

Persatuan Penduduk Jalan Pahlawan yang ditubuhkan secara rasmi pada 2016, sebelum ini sudah mengadakan pelbagai aktiviti membabitkan penduduk setempat. Ketika ini, Jalan Pahlawan mempunyai 295 unit rumah dengan jumlah peratusan penduduk yang membayar yuran keselamatan ialah kira-kira 80 peratus.

Jom kita lihat gambar-gambar menarik sekitar Mesyuarat Agung Persatuan Penduduk Jalan Pahlawan, Bandar Mahkota Cheras, Seksyen 3, Cheras Selangor dibawah ini.