Malaysia kini mempunyai 800 pemegang CFA® dan 93 pemegang FRM® bertauliah berdaftar

YAYASAN Peneraju komited untuk meningkatkan kebolehpasaran dan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi di kalangan belia terutamanya Bumiputera melalui usaha berterusan mereka untuk meningkatkan bilangan pemegang pensijilan yang diiktiraf di peringkat global dalam sektor kewangan, perbankan dan pelaburan.

Wan Nadira Hanim Zaiman, one of the Peneraju Profesional CFA® graduate

Kerjaya profesional sebagai Penganalisis Kewangan bertauliah “Certified Financial Analyst”
(CFA®) dan Pengurus Risiko Kewangan “Financial Risk Manager” (FRM®) telah dikenalpasti sebagai kerjaya yang mendapat permintaan tinggi dalam industri dan ia dilihat mampu memacu Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi.

“Permintaan terhadap CFA dan FRM semakin meningkat khususnya di sektor perkhidmatan
kewangan dan pelaburan memandangkan kedua-duanya adalah industri yang sedang berkembang dengan pesat.

Kedua-dua profesion ini sangat penting untuk memacu Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi,” kata Raja Azura Raja Mahayuddin, Ketua Eksekutif Yayasan Peneraju dalam ucapannya di Persidangan Peneraju Profesional Kewangan, Perbankan dan Pelaburan 2018.

Persidangan ini dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Matlamat penganjurannya adalah untuk memberi pengiktirafan kepada graduan yang mendapat kejayaan cemerlang serta mempromosi program CFA® dan FRM® Yayasan
Peneraju. Dianjurkan buat tahun keempat berturut-turut, tema untuk tahun ini adalah ‘Trade
War: Winners and Losers’.

Youth and Sports Minister Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Chief Executive Yayasan Peneraju with Peneraju Profesional CFA® and FRM® graduates at the Peneraju FBI Summit 2018

“Matlamat kami adalah untuk meningkatkan bilangan Bumiputera di sektor-sektor berimpak
tinggi yang mampu menawarkan gaji minimum RM5,000 sebulan di usia muda. Dengan cara
ini, mereka berpotensi untuk menikmati pendapatan yang lebih tinggi selepas mempunyai
beberapa tahun pengalaman,” tambah Raja Azura.

Pada masa sekarang, Malaysia mempunyai seramai 800 pemegang CFA® dan 93 pemegang FRM® bertauliah berdaftar berbanding Singapura yang mempunyai 4,000 dan 850 pemegang kelayakan sama.

Penyertaan Bumiputera yang terlibat dalam profesion berimpak tinggi ini juga amat kecil di mana pemegang CFA® dan FRM® bertauliah Bumiputera di Malaysia masing-masing hanya mencatatkan seramai 115 dan 15 orang.

“Malaysia kini menuju ke arah negara maju, namun negara berdepan cabaran kekurangan
bakat untuk menyumbang dalam ekonomi berpendapatan tinggi di mana ia menjadi syarat
utama untuk semua negara maju,” tambah beliau.

Yayasan Peneraju menyeru graduan muda terutamanya mereka dari bidang bukan tradisional seperti matematik, sains aktuari, ekonomi dan statistik untuk merebut peluang menjadi golongan profesional di organisasi seperti bank pelaburan, bank komersil, firma pengurusan aset, firma dana lindung nilai, agensi kredit dan firma insuran.

Youth and Sports Minister Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Chief Executive Yayasan Peneraju with Peneraju Profesional CFA® and FRM® graduates and young graduates from UKM, UiTM, USIM dan UniKL at the Peneraju FBI Summit 2018

“Program Yayasan Peneraju CFA® dilancar pada tahun 2013. Kini, kami mempunyai lebih 300 peserta daripada 6 kelompok yang sedang mengikuti kursus untuk mendapatkan pensijilan di pelbagai peringkat.

Setakat ini, seramai 44 peserta telah menamatkan pengajian dari program ini dan 36 daripadanya kini merupakan pemegang CFA®. Melalui Yayasan Peneraju, peserta akan dibantu dari aspek pembiayaan kewangan, kelas persediaan dan mentor yang berkelayakan daripada industri.

Kami menyasarkan 75 peserta untuk menyertai program ini dan 50 peserta lagi untuk program FRM® pada tahun depan,” katanya.

Yayasan Peneraju menjalin kerjasama dengan Efficient Frontier Consulting, Perunding Sumber Manusia dan Penyedia Latihan dalam pembangunan modal insan, Malvern International yang merupakan sebahagian daripada AEC Education Plc United Kingdom yang tersenarai di AIM UK, dan Noesis Exed, penyedia tuisyen dan ahli badan pensijilan profesional antarabangsa berprestij.

Peserta Peneraju Profesional CFA® akan mengikuti latihan termasuk kelas CFA®, sesi mentor oleh kapten industri (pemegang CFA®) dan Program Pemupukan dan Pembangunan yang merangkumi pengucapan awam, teknik pemikiran kritikal dan kepimpinan.

Persidangan Peneraju Profesional Kewangan, Perbankan dan Pelaburan 2018 yang dianjurkan bersama oleh Yayasan Peneraju dan Fakulti Sains Matematik UKM berjaya menarik penyertaan 700 peserta dari UKM, UiTM, USIM dan UniKL, selain 200 pelajar CFA® dan 100 pelatih profesional perakaunan Yayasan Peneraju dari pelbagai institusi.

Pakar industri dan pelaburan turut mengambil bahagian dalam perbincangan meja bulat di
mana topik perbincangan berkisar tentang tema persidangan ini.

Kalangan pakar dan profesional yang terlibat termasuk Datuk Hisham Hamdan, Pengarah Eksekutif, Pelaburan dan Ketua Penyelidikan dan Strategi Pelaburan Khazanah, Khazanah
Nasional Berhad, Mohamad Damshal Wang Damit, CFA®, Ketua Cawangan (Ekuiti), Bahagian Pelaburan, SOCSO dan Prof. Dr. Jamal Othman, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, UKM.

Sepanjang 6 tahun lalu, lebih 22,000 rakyat negara ini telah menerima manfaat daripada
Yayasan Peneraju menerusi program pembangunan dan kemudahan pembiayaan merangkumi bidang pendidikan, latihan TVET dan pensijilan profesional di bawah 3 program
teras iaitu Peneraju Tunas, Peneraju Skil dan Peneraju Profesional.

Melalui peruntukan bajet sebanyak RM210 juta kepada Yayasan Peneraju yang diumumkan pada sesi pembentangan bajet 2019 baru-baru ini, Yayasan Peneraju merancang untuk menawarkan 7,000 lagi peluang melibatkan program pembiayaan dan pembangunan bakat untuk generasi muda Malaysia.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini