Gamuda Land melancarkan pangsapuri Rumah Selangorku (RSKU) pertama yang dibina sepenuhnya menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) digital.

TERLETAK di Jade Hills, salah satu pembangunan perbandaran utama oleh Gamuda Land, Pangsapuri Gapura Bayu RSKU mempelawa para pembelinya sebagai persediaan proses penyerahan nanti, yang dijadualkan pada Januari 2019.

Kira-kira 1,000 pemilik rumah dan ahli keluarga mereka menghadiri majlis pelancaran ini sebelum pemberian VP bagi rumah baharu mereka nanti.

Di samping berpeluang melihat sendiri suasana rumah baharu, mereka juga diberi penerangan mengenai proses penyerahan dan urusan strata sebagai sebuah komuniti diikuti dengan cabutan bertuah dan jamuan makan tengah hari.

Upacara memotong riben dan menandatangani plak telah dirasmikan oleh Senator Dato’ Raja Kamarul Bahrin Shah Ibni Raja Ahmad Baharuddin Shah, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dan Mohammed Rashdan Mohd Yusof (Danny), Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan Gamuda Berhad, bersama pihak pengurusan kanan Gamuda Land dan Gamuda IBS.

Selaras dengan prinsip pembangunan bandar Gamuda Land, Danny menjelaskan, “Kami akan menyokong aspirasi kerajaan untuk mewujudkan lebih banyak rumah mampu milik kepada rakyat.

Di Gamuda Land, kami mewujudkan ciri-ciri rumah yang ingin didiami dalam menjalani kehidupan kita. Kami mengutamakan kualiti, penghantaran dan persekitaran kediaman untuk rumah mampu milik dan itulah sebabnya kami telah mengguna pakai kaedah pembinaan IBS digital yang pertama di Malaysia melalui Gamuda IBS.

Ia menangani keperluan untuk pembinaan rumah yang lebih berkualiti, dengan lebih cepat.”
“Dengan Gamuda IBS dan dua kilangnya yang beroperasi sepenuhnya, kami berupaya menghasilkan secara bersama sebanyak 8,000 unit setiap tahun.

Ini akan mengukuhkan komitmen kami untuk membina rumah dengan tempoh penyiapan yang lebih cepat,” menurut Danny, dan beliau menambah bahawa Gamuda Land akan terus membina lebih banyak rumah mampu milik di semua kawasan perbandarannya.

“Penggunaan IBS digital membolehkan kerja-kerja pembinaan yang lebih cepat dengan pengurangan sehingga dua belas (12) bulan dalam tempoh pembinaan.

“Dengan kemajuan dalam teknologi pembinaan, kerajaan yakin akan mampu mencapai aspirasi kita untuk membina sebanyak 200,000 buah rumah mampu milik setahun. Saya kagum dengan pasukan Gamuda IBS dalam memanfaatkan teknologi,” menurut Senator Dato’ Raja Kamarul Bahrin Shah.

Unit-unit pangsapuri yang berharga antara RM42,000 dan RM250,000, Pangsapuri Gapura Bayu terletak di kawasan tanah pegangan bebas seluas 11 ekar tanah dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM132 juta.

Sejumlah 714 unit pangsapuri ditawarkan, dengan empat saiz keluasan unit: 700 kaki persegi, 750 kaki persegi, 900 kaki persegi dan 1,000 kaki persegi. 73 peratus daripada unit pangsapuri tersebut telah dimiliki dan dijadualkan untuk penyerahan (harta milik kosong) pada Januari 2019.

Ciri-ciri dan kemudahan utamanya termasuk sebuah taman yang luas, taman permainan kanak-kanak, parkir berbumbung, parkir podium, surau, dewan serba guna dan kawalan keselamatan, yang memberi suasana kediaman yang selesa tenang kepada komunitinya.

Setiap unit pangsapuri juga diberi dua ruang parkir. Pangsapuri Gapura Bayu secara strategik terletak di perbandaran Jade Hills seluas 338 ekar oleh Gamuda Land, dan sesuai untuk golongan muda yang memerlukan kediaman asas bagi mereka menyara dan membesarkan keluarga mereka di bandaraya.

Dijadualkan siap sepenuhnya menjelang 2025, Jade Hills terdiri daripada 7 presint semuanya dan mempunyai GDV berjumlah RM2.16 bilion.

Selaras dengan prinsip Gamuda Land untuk mendapatkan kawasan yang sesuai untuk membangunkan bandar (getting the places right to make the town work), Jade Hills dilengkapi dengan Village Commerce yang menempatkan outlet-outlet makan, kedai-kedai serbaneka dan perkhidmatan.

Jade Square, yang terdiri daripada 66 unit kedai 2 tingkat dan 3 tingkat dijangka siap menjelang akhir 2019 untuk menyokong komuniti yang semakin bertambah di Jade Hills.

“Inilah caranya kita merancang dengan teliti perbandaran kami agar pembangunan yang kami laksanakan kekal unggul dan terus memberikan nilai yang mampan kepada semua pembeli kami sepanjang tahun-tahun yang akan datang,” kata Danny.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini