Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta di sini untuk proses pendakwaan berhubung siasatan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana sebuah yayasan.

PRESIDEN UMNO itu tiba di mahkamah itu pada jam 8.15 pagi dengan sebuah kenderaan dari Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.

Ahmad Zahid kelihatan tenang ketika berjalan masuk ke bangunan berkenaan dengan tersenyum serta melambai-lambai kepada media dan orang ramai.

Semalam, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu ditahan SPRM Putrajaya pada jam 3.15 petang berhubung siasatan kes berkenaan.

SPRM dalam kenyataan memaklumkan Ahmad Zahid akan menghadapi beberapa pertuduhan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Antara pemimpin tertinggi UMNO yang hadir untuk menunjukkan solidariti dengan Ahmad Zahid adalah Timbalan Presiden UMNO Datuk Mohammad Hassan, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa.

Sebelum ini, Ahmad Zahid telah enam kali dipanggil SPRM untuk memberi keterangan berhubung kes itu dengan kali terakhir memberi keterangan semalam.

Sementara itu, lebih 100 penyokong Ahmad Zahid berkumpul di hadapan perkarangan kompleks mahkamah di sini, untuk menandakan solidariti bersama bekas Menteri Dalam Negeri itu.

Kumpulan yang diketuai Presiden Pemantau Malaysia Baru Datuk Lokman Noor Adam mula berkumpul sejak jam 7 pagi dan ada antara mereka memakai baju merah bagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pendakwaan Ahmad Zahid oleh SPRM hari ini. – Bernama

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini