Proton mengadakan pratonton media kedua untuk Proton X70 memperkenalkan sistem GKUI – arahan suara, aplikasi sedia ada dan sambungan telefon antara ciri-ciri yang ditawarkan
HAMPIR lebih sebulan selepas mempamerkan SUV baharu kepada media di Malaysia pada satu sesi pratonton statik, PROTON berkongsi lebih banyak maklumat tentang X70.
Sesi pratonton kedua untuk kereta pertama yang dihasilkan oleh Geely dan PROTON menumpukan secara eksklusif kepada Sistem Maklumat Kokpit Bersepadu (GKUI), yang menawarkan pelbagai fungsi pengguna melalui aplikasi serta pilihan untuk kekal berhubung dengan kereta melalui telefon bimbit mereka.
Hadir sama Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dato’ Radzaif Mohamed, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, dan barisan pengurusan kanan PROTON yang memperkenalkan ciri-ciri GKUI dan menjawab pertanyaan berkaitan model SUV yang dinanti-nantikan itu.
Dengan memperkenalkan kad eSIM, GKUI yang terdapat pada Proton X70 itu telah dimuatkan dengan lima aplikasi yang menawarkan perkhidmatan seperti radio dan muzik dalam talian, navigasi, ramalan cuaca dan pengecaman suara.
Akses kepada aplikasi dan fungsi-fungsi yang lain adalah melalui skrin sentuh antara muka berasaskan Android bersaiz 8 inci dengan paparan warna penuh 1280 x 720 yang dilengkapi ruang memori dalaman 16GB.
Sistem ini juga mempunyai sambungan Wi-Fi agar X70 tersebut boleh digunakan sebagai hotspot mudah alih. Untuk menggunakan sepenuhnya keupayaan sambungan tersebut, pengguna boleh memadankan kereta mereka dengan telefon bimbit peribadi melalui Proton Link dengan menggunakan identiti individu yang diberikan kepada setiap pembeli.
Mereka kemudiannya boleh membina profil daripada papan telematik yang boleh merakam data seperti jarak perjalanan, penggunaan bahan api, tempoh perjalanan serta maklumat servis berkala kereta pengguna.
Terdapat juga fungsi ‘cari kereta saya’ yang akan berfungsi terutamanya pengguna meletakkan kereta mereka di kompleks tempat letak kereta yang besar.
“Sistem GKUI yang terdapat pada Proton X70 membolehkan pemiliknya sentiasa berhubung dengan kereta mereka. Ia adalah sistem dua hala aktif yang menawarkan beberapa pilihan yang sesuai dengan kemudahan pemilik individu.
Kelak, keupayaan untuk memuat turun aplikasi tambahan juga akan ditawarkan dan sama seperti telefon bimbit, ini bermakna tiada persamaan dalam setiap kereta,” kata Abdul Rashid Musa, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Edar.
Oleh kerana model ini menggunakan sistem pengendalian Android, GKUI menawarkan pengguna telefon bimbit dengan kemampuan pencerminan. Ini bermaksud pemilik aplikasi boleh mengakses telefon bimbit mereka pada skrin sentuh Proton X70 dan menikmati lebih banyak persambungan.
Pengguna OS Apple tidak dapat melakukan perkara yang sama tetapi mereka boleh menyambung ke X70 melalui Bluetooth untuk mengakses fungsi panggilan telefon dan senarai kenalan.
Kemudahan fungsi bebas tangan yang ada pada Proton X70 kini tidak lagi mustahil, terima kasih kepada teknologi perisian pengecaman suara yang membolehkan penggunaan memberi arahan secara lisan.
Akses kepada sistem diberikan apabila pemilik dengan mengucapkan frasa ‘Hi Proton’ yang membuka kepada pelbagai pilihan yang boleh dikawal melalui arahan lisan.
Ini termasuk mengendalikan sistem tingkap dan penyaman udara serta mengakses aplikasi navigasi bagi mencari tempat makan yang berdekatan.
“Proton X70 adalah model Proton pertama yang menggunakan teknologi pengecaman suara, iaitu fungsi yang akan dihargai oleh pemilik. Beratus-ratus sampel suara telah dicatat untuk setiap frasa untuk memastikan sistem itu mempunyai ketepatan yang tinggi walaupun anda menggunakan dialek yang berlainan.
Untuk kemudahan penggunaan, GKUI juga akan menunjukkan setiap frasa yang diucapkan di skrin untuk mengesahkan setiap arahan.”
“Pada masa kini, GKUI menawarkan pengecaman suara untuk frasa bahasa Inggeris sahaja kerana terdapat batasan perisian tetapi kami telah memastikan frasa yang diiktiraf adalah mudah digunakan walaupun pemilik yang tidak fasih untuk menutur bahasa tersebut,” kata Abdul Rashid.
Seiring dengan teknologi terkini yang ditonjolkan pada SUV pertama, PROTON akan mengaktifkan tempahan dalam talian di laman sesawangnya pada 17 Oktober 2018.
Pelanggan yang berminat untuk membuat tempahan Proton X70 boleh menempah dan membayar deposit secara dalam talian, yang memudahkan pelanggan yang tidak mempunyai masa untuk berkunjung ke pusat cawangan 3S dan 4S PROTON.
“Kami mahu menjadikannya semudah mungkin bagi rakyat Malaysia untuk menempah Proton X70 kerana kami fikir ini adalah bersesuaian ke arah itu. Untuk mempromosikan saluran baharu kami, kami akan menjalankan promosi selama tiga hari dari tarikh pelancaran, di mana mereka yang membuat tempahan untuk Proton X70 akan menerima hadiah khas,” kata Abdul Rashid.