Penyanyi popular, Saleem, meninggal dunia pada 6.15 pagi tadi di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Kuala Lumpur.
AL-Fatihah untuk bekas vokalis kumpulan Iklim. Perkara ini disahkan oleh isterinya, Juriah@Julia Bachok kepada media.
Berita sedih itu turut disahkan oleh anak tirinya, Gee Fakhira yang meminta semua pihak mendoakan kesejahteraan Allahyarham.
Saleem atau nama sebenarnya Am Saleem Abd Majeed, 57, dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kajang sebelum dipindahkan ke PPUKM selepas kemalangan motosikal pada 20 September lalu.
Dalam kejadian di Kilometer (km) 16, Lebuhraya Grand Saga itu, 12 tulang rusuk Saleem patah termasuk satu daripadanya tertusuk paru-paru.

Kemalangan berlaku pada jam 3.20 petang apabila Saleem yang menunggang motosikal dari arah Kajang menghala ke Cheras dilaporkan terbabit kemalangan dengan kereta dari arah laluan yang sama berhampiran Plaza Tol Batu 11, Kajang.
Ketika kejadian, pemandu kereta dilaporkan cuba membelok ke kiri untuk masuk ke susur pejabat Grand Saga di Plaza Tol Batu 11, sebelum sisi kiri bahagian hadapan keretanya dirempuh oleh motosikal Saleem.
Kemalangan jalan raya pada 20 September lalu itu mengakibatkan tulang rusuknya patah serta beliau berada dalam keadaan koma.

Allahyarham popular pada tahun 1990-an menerusi lagu Suci Dalam Debu. Salah seorang anaknya bagi perkahwinan pertama iaitu Syafiq Farhain juga seorang artis.
Jenazah dibawa ke Surau As-Syakirin di Bandar Mahkota Cheras untuk disembahyang dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Cheras Perdana selepas solat Zohor.