Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan UMNO terus kukuh dan utuh dengan sokongan ahli akar umbi dengan kehadiran ribuan perwakilan dan ahli UMNO di seluruh negara dalam perhimpunan Agung UMNO 2018 kali ini biarpun UMNO kini tidak lagi memegang tampuk kerajaan.

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, realiti ini juga sekali gus menafikan dakwaan sesetengah pihak yang meramalkan kononnya perhimpunan Agung UMNO 2018 ini akan menjadi hambar dan tidak lagi akan mendapat sambutan daripada ahli-ahli UMNO dan rakyat secara amnya.

“Saya dan saf kepimpinan UMNO berasa amat sukacita apabila perhimpunan ini berjalan dengan cukup sempurna malam tadi dan hari ini. Kehadiran perwakilan yang memenuhi ruang Dewan Merdeka membuktikan bahawa sokongan akar umbi terhadap UMNO masih lagi teguh dan kukuh walaupun UMNO kini menjadi pembangkang.

“Walaupun ada pihak yang membuat spekulasi kononnya setelah UMNO menjadi pembangkang, maka perhimpunan kali ini akan menjadi hambar dan ternyata spekulasi mereka itu meleset. Saudara saudari sendiri melihat bahawa Dewan Merdeka penuh dan tidak seperti yang dispekulasikan oleh pihak-pihak tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan pemberita setelah selesai memberikan ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2018 yang berakhir hari ini.

Justeru, saf kepimpinan UMNO beriltizam di atas sokongan bukan sahaja di kalangan ahli-ahli UMNO, tetapi orang Melayu secara keseluruhannya untuk terus berusaha memperkukuhkan parti  dan perpaduan di kalangan ahli-ahli UMNO.

“Perpaduan ahli-ahli UMNO di seluruh negara menjadi keutamaan bagi saf kepimpinan UMNO pada hari ini. Dan hari ini sudah terbukti bahawa perpaduan di kalangan kepimpinan UMNO di semua peringkat, dengan semangat yang membara untuk terus memperkukuhkan UMNO dipersada politik negara.

“Biarpun ada pihak tertentu yang berusaha sedaya upaya untuk melakukan sesuatu bagi menghancurkan UMNO, sama ada dari dalam atau dari luar. Apapun ancaman, ugutan, sindiran dan kebencian yang dilontarkan, tidak dapat menggugat perpaduan dan kesatuan kepimpinan UMNO yang ada hari ini,” katanya.

Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa sebarang usaha untuk mengharamkan UMNO seperti yang digembar-gemburkan melalui media sosial adalah sesuatu yang bertentangan dengan prinsip demokrasi di negara ini.

Menurutnya, usaha yang mahu mengharamkan UMNO adalah tindakan yang langsung tidak demokratik dan tidak menghormati perbezaan pendapat dan idelogi politik yang diamalkan selama ini.

“Oleh yang demikian, segala usaha untuk mengharamkan UMNO atau membubarkan parti ini sudah tentulah satu usaha yang tidak demokratik. Seperti yang kita semua sedia maklum, akaun parti juga telah dibekukan dan beberapa usaha lagi akan dilakukan terhadap kami kepimpinan atasan UMNO untuk melemahkan UMNO.

“Pelbagai khabar angin disebarkan kononnya ada pemimpin tertentu di dalam UMNO yang akan diambil tindakan undang-undang. Kami redha akan perkara itu dan bersikap terbuka. Jika tujuannya adalah untuk melaksanakan Rule Of Law dan bukan berniat mahu membalas dendam. Prinsip menghormati demokrasi harus dilakukan dengan cara yang betul,” katanya. – MediaUMNO

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini