Semua pusat Tahfiz perlu mendaftar dengan Jabatan Agama Islam Negeri bagi memudahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melihat sistem pembelajaran yang diajarkan kepada pelajar mengikut garis panduan ditetapkan.
KETUA NGO Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican menyarankan, menerusi pendekatan seumpama itu, sekolah yang didaftarkan dengan kerajaan akan lebih teratur daripada segi pengurusan dan kebajikan pelajar.
Beliau berkata, selain itu, pengajian mengikut sukatan negara Arab juga boleh dijalankan supaya pelajar ini dapat membuat persediaan jika mahu melanjutkan pengajian ke negara terbabit.
“Apa yang menarik ialah sekolah-sekolah yang saya bina sebelum ini misalnya di Kemboja setelah didaftarkan guru dan ustaz ini dibayar gaji oleh kerajaan mengikut kelayakan mereka,” katanya ketika melawat projek pembinaan Sekolah Maahad Tahfiz Al Badr di Teluk Temiang, Labuan, Sabah baru-baru ini.
Sekolah berkenaan yang sudah siap hampir 80 peratus dengan kos kira-kira RM700,000 membabitkan pembinaan dua blok bangunan meliputi pentadbiran, surau, dewan makan dan satu blok asrama serta dewan kuliah.
Kerja pembinaan bermula sejak Mac lalu dan dijangka siap pada November ini dengan ciri- ciri keselamatan yang digariskan oleh pihak bomba.
Bagaimanapun, Dr Mustapha berkata, Maahad Tahfiz ini masih memerlukan dana bagi membina kemudahan parkir dan mengindahkan kawasan sekitar sesuai dengan kedudukannya berhampiran laut.
Menurutnya, kawasan persekitaran maahad tahfiz itu boleh dijadikan kawasan perkelahan yang cantik kerana tanahnya seluas 1.5 ekar dan boleh menempatkan 100 orang pelajar dari seusia 6 tahun hingga 16 tahun.
Berkata berkata, banyak kelebihan menjadi pelajar tahfiz kerana mereka bukan sahaja boleh menjadi ustaz tetapi mereka boleh menjadi doktor, peguam, akauntan, pegawai tadbir dan lain-lain.
“Ini kerana ibu bapa sekarang menitikberatkan pendidikan anak-anak kerana ada antara anak mereka yang bersekolah pagi di sekolah kerajaan dan pada sebelah petang mereka menyambung pula di maahad tahfiz.
“Ini adalah jalan terbaik daripada pelajar ini lepak sahaja yang akhirnya menjurus kepada gejala sosial disebabkan kesibukan ibu bapa bekerja dan tidak sempat memantau anak mereka.
“Kewujudan Sekolah Agama Rakyat dan maahad tahfiz ini adalah jalan terbaik untuk pembentukan insan yang berilmu dunia dan akhirat,” katanya.
Menurut Mustapha lagi, peluang pelajar lepasan maahad tahfiz telah terbukti ramai daripadanya dapat melanjutnya pengajian di universiti tdan luar negara antaranya Mesir, Jordan, Kuwait, Qatar, Arab Saudi dan lain-lain negara Timur Tengah dalam pelbagai bidang.
“Saya pernah menjadi panel Temuduga Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan saya pernah mengambil calon-calon ini untuk bekerja kerana banyak kelebihan kita dapat pada mereka apabila kajian dibuat misalnya pada waktu solat mereka boleh menjadi imam ditempat kerja, membaca doa pada majlis rasmi atau menyampaikan ceramah malah pada waktu lapang mereka boleh menjadi imam di masjid,” katanya.
Beliau berkata, selaku NGO Antarabangsa, beliau telah berjaya membina 3 buah sekolah maahad tahfiz di Kemboja dan sebuah di Thailand dengan pendekatan sekolah terbabit di daftarkan dengan kerajaan dan pengajian mengikut sukatan negara Arab supaya pelajar terbabit dapat melanjutkan pengajian ke negara itu.
Usaha gigih Dr Mustapha Merican terbukti apabila menerima Anugerah Tertinggi Kerajaan Kemboja atas sumbangan besar untuk pembangunan umat Islam sejagat.
Antara sumbangan beliau di Kemboja seperti baik pulih sekolah, balai, jalan-jalan kampung, sistem perparitan, pendidikan dan setakat ini membina lima buah masjid, berpuluh-puluh surau, tiga sekolah maahad tahfiz serta pembinaan tanah perkuburan dan lain lain.
Beliau juga telah membina sekolah maahad tahfiz dan rumah anak-anak yatim di Thailand.
Menceritakan pengalamannya, Mustapha berkata ketika peringkat awal ke Kemboja pada 1999, masalah utama ialah mendapatkan naskah Al Quran menyebabkan Al Quran itu di photostat bagi setiap pelajar.
Katanya, tambahan pula pelajar ini datang dari keluarga yang miskin dan daif malah baju yang mereka ada hanya dua helai dan di pakai secara bergilir gilir.
Bagaimanapun, dengan berkat kesabaran dan kesungguhan, ramai di kalangan mereka berjaya melanjutkan pengajian di Arab Saudi atas tajaan Kerajaan Arab Saudi.
“Oleh itu, saya menyeru para pelajar tahfiz untuk merebut peluang yang terbuka luas dengan mempelajari ilmu dunia dan ilmu akhirat serta pilihlah kerjaya ikut minat masing-masing supaya kita dapat berbakti kepada ibu bapa dan negara kelak,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Maahad Tahfiz Al Quran Al Badr, Ustaz Haji Ahmad Shahrizal berkata, pendaftaran Maahad Tahfiz dengan Jabatan Agama Islam Wilayah sudah dibuat dan silibus pengajian mengikut garis panduan yang ditetapkan manakala ciri-ciri keselamatan bangunan mengikut nasihat pihak Bomba.
“Kita sentiasa mengutamakan keselamatan, keselesaan dan sistem pendidikan yang digariskan kerajaan bagi masa depan pelajar berkenaan,” katanya.