Aktiviti skim wang kutu secara tradisional yang tidak bermotifkan keuntungan tidak termasuk dalam Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971.

SURUHANJAYA Syarikat Malaysia (SSM) dalam kenyataan memaklumkan skim wang kutu tradisional hanya memberikan kembali jumlah yang disumbang mengikut giliran yang ditetapkan.

“Skim wang kutu tradisional biasanya dianjurkan atas dasar kemasyarakatan dan kepercayaan dalam kalangan jiran tetangga, sahabat handai, saudara-mara atau rakan kerja bagi tujuan mengumpulkan wang mengikut keperluan masing-masing tanpa sebarang keuntungan bagi mana-mana individu,” kata kenyataan itu.

Ini kerana skim wang kutu tradisional hanya memberikan kembali jumlah yang disumbangkan mengikut giliran yang sudah ditetapkan.

Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971 melarang mana-mana syarikat yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 2016 (atau dahulunya Akta Syarikat 1965) atau perniagaan berdaftar di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 menjalankan aktiviti perniagaan berbentuk skim wang kutu.

Jika didapati bersalah, penganjur boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan untuk tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya sekali. – Bernama

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini