Proton catat peningkatan jualan tiga bulan berturut-turut manakala Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan diserap untuk semua model pada September.
PENINGKATAN jualan seperti yang dicatatkan pada bulan-bulan lalu diteruskan pada Ogos 2018 apabila Proton sekali lagi memperoleh jualan bulanan tertinggi bagi tahun 2018 untuk tiga bulan berturut-turut.
Jualan meningkat sebanyak 11.7% berbanding Julai, menjadikan Ogos sebagai bulan jualan tertinggi untuk kereta-kereta Proton sejak 36 bulan yang lalu. Secara keseluruhannya, sebanyak 9,501 unit kereta telah dijual, di mana ini bukan sahaja pencapaian terbaharu bagi tahun ini, tetapi merupakan volum jualan terbanyak sejak Julai 2015.
Ramalan pegangan pasaran meningkat dengan Saga dan Persona terus mendominasi keseluruhan jualan selaras dengan pertumbuhan volum jualan, ia menunjukkan peningkatan pegangan pasaran selama tiga bulan berturut-turut.
Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) sebanyak 15.4% dijangkakan bagi bulan Ogos, meskipun peratusan sebenar akan diumumkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA).
Sama seperti 7 bulan sebelum ini, Proton Saga dan Persona kekal menjadi model pilihan pembeli apabila kedua-dua model ini kekal mendominasi jualan Syarikat.
Saga menunjukkan prestasi yang sangat memberangsangkan dan memecah rekod jualan sebanyak 4,000 unit dengan pendaftaran sebanyak 4,174. Manakala, Proton Persona hampir mencapai jualan 3,000 unit dengan pendaftaran sebanyak 2,957 unit bagi Ogos.
“Ogos telah memperlihatkan pertumbuhan jualan sebanyak tiga kali berturut-turut untuk PROTON di mana Syarikat sekali lagi mencapai volum yang tinggi bagi tahun ini.
Pertumbuhan ini sedikit sebanyak didorong oleh GST yang berkadar sifar sebelum pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), serta kempen pemasaran yang giat dijalankan bagi mengingatkan rakyat Malaysia untuk mengambil kesempatan bersempena dengan pembelian tanpa cukai ini.
Jumlah jualan yang tinggi ini menunjukkan peningkatan keyakinan orang ramai terhadap jenama kami kerana ramai yang masih memilih PROTON berdasarkan pakej menarik yang ditawarkan kepada mereka.
Pelan pemulihan kami berjalan seperti yang dirancangkan, kini menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan mereka kekal memilih jenama kami dengan memberikan servis pelanggan yang terbaik,” kata Abdul Rashid Musa, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Edar.
SST akan diserap oleh PROTON untuk semua model bagi September
Pelaksanaan SST telah mendatangkan kesan kepada pasaran automotif Malaysia di mana pembeli kereta telah berpusu-pusu untuk membuat pembelian sebelum cukai tersebut dilaksanakan.
Sebelum ini PROTON menyatakan bahawa terdapat perubahan harga apabila SST dilaksanakan, tetapi, buat masa ini perubahan tersebut tidak akan memberi kesan terhadap pembeli-pembeli kereta Proton. Ini kerana PROTON akan menyerap kos SST untuk semua model Proton bagi memastikan pembeli masih dapat membeli dengan harga tanpa cukai.

“Sementara PROTON menunggu maklumat lanjut mengenai pelaksanaan SST, Syarikat akan menyerap kos SST tersebut untuk semua model untuk memberi peluang kepada pembeli untuk membeli kereta. Ini memberikan manfaat kepada mereka semasa tempoh transaksi serta membantu PROTON mengekalkan momentum jualan.”
“Disamping kos SST yang diserap untuk semua jenis model pada September ini, PROTON juga menyambut Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia pada bulan ini dengan memberikan tawaran hebat pada model-model terpilihnya.
Diskaun antara RM500 sehingga RM1,000 akan ditawarkan bagi Saga, Iriz dan Persona, serta Proton Ertiga Xtra yang baharu sahaja dilancarkan, di mana model tersebut menampilkan tempat duduk baharu berwarna gelap serta unit utama berskrin sentuh, dengan penjimatan sebanyak RM2,000 daripada harga asal,” ujar Abdul Rashid.