Honda Jazz Sport Hibrid dan City Sport Hibrid dilancarkan di negara ini pada tahun lalu dengan harga kurang dari RM90,000, menjadikan kedua-duanya kereta hibrid paling murah di Malaysia setakat ini. Baca lebih lanjut pandu uji Prebiu.com dengan model ini.

SEKILAS pandang daripada segi luaran, model ini kelihatan kompak dan logo hibrid yang jelas tertera di sisi hadapan kiri dan kanan sudah cukup memberitahu kepada pengguna jalan raya lain bahawa ia adalah sebuah kenderaan jimat bahan api.

Kenderaan ini bukan sahaja jimat bahan api tetapi turut menawarkan beberapa ciri pintar yang tiada dalam model yang sekelas dengannya. Antara ciri paling ketara ialah ciri mod sport yang boleh mengubah karekter sebenar apabila transmisi gearnya yang bertindak balas pantas dan agresif.

Untuk menukar kepada mod sport tekan sahaja butang S berhampiran gear dan secara automatik paparan skrin dibahagian paling kanan terus bertukar grafik. Sebaik sahaja pedal minyak ditekan, kereta ini akan meluncur dengan laju menghamburkan kuasanya seakan menerima suntikan kuasa turbo.

Untuk rekod, model hibrid keluaran Honda sebelum ini menggunakan sistem Integrated Motor Assist (IMA), namun model terbaru kali ini menampilkan teknologi Intelligent Dual-Clutch Drive (i-DCD) yang terdiri daripada enjin 1.5-liter DOHC i-VTEC dan sebuah motor elektrik.

Gabungan kedua-dua elemen ini menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 135 hp dan 170 Nm. Jika dibandingkan, jumlah ini tidak jauh berbeza dengan Civic 1.8 yang mempunyai 139 hp dan 174 Nm. Kuasa yang terhasil disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi dwi-klac tujuh kelajuan.

Penampilan model hibrid ini secara langsung membuka segmen hibrid kepada golongan pembeli lebih muda dan meningkatkan tahap kesedaran orang ramai terhadap teknologi hibrid yang kurang memberikan pencemaran asap kepada alam sekitar.

Prebiu.com yang berkesempatan memandu uji model Honda Jazz Sport Hybrid ini mendapati, model ini bukan sahaja memiliki enjin yang hebat dan berkuasa malah mampu membawa sehingga lima orang penumpang dengan bagasi tanpa sebarang masalah.

Bateri lithium-ion yang terletak di bawah lantai but belakang membolehkan Jazz ini dipandu dengan kuasa elektrik sahaja untuk beberapa ketika selepas kenderaan mula bergerak.

Enjin kereta ini dihidupkan dengan senyap dan bergerak dengan lancar seakan sebuah kereta elektrik sekali gus mengingatkan penulis dengan sebuah kereta buatan Jerman yang memiliki enjin gabungan elektrik dan petrol yang pernah dipandu uji sebelum ini.

Kalau nak tahu sama ada enjin kenderaan ini sedang dipandu dengan jimat atau bukan, lihat sahaja warna hijau pada lingkaran meter kelajuan yang memberi tanda kepada pemanduan jimat dan bertukar kepada warna biru apabila enjinnya dikerah lebih laju.

Anda boleh memilih tiga mod pemanduan iaitu Normal, Eco atau mod Sport dan ketiga-tiga mod pemanduan ini akan memberikan petunjuk berbeza kepada tahap penggunaan bahan api.

7 Fakta Menarik Honda Jazz Sport Hibrid

  • Enjin 1.5L DOHC i-VTEC dengan transmisi 7-kelajuan i-DCD
  • Motor berkuasa tinggi (HPM) dan mampu bergerak dalam mod kenderaan elektrik (EV)
  • Unit Kuasa Pintar (IPU) dibangunkan daripada bateri Litium-ion (Li-ion) untuk prestasi lebih baik
  • Kedudukan bateri di bawah lantai but belakang
  • Sistem IPU baharu 50 peratus lebih berkuasa menyimpan tenaga (lebih 1.5 kali ganda kapasiti tenaga)
  • Stereng Kuasa Elektrik (EPS) ditala semula supaya lebih sporty dan selesa dipandu
  • Tiga mod pemanduan Normal, Eco dan Sport

Honda Malaysia mengatakan bahawa Jazz Sport Hybrid mampu mencapai tahap penggunaan bahan api 25 km bagi setiap liter. Bagaimanapun, dengan pemanduan yang kadang-kala laju dan perlahan catatan pada petunjuk bahan api adalah berbeza-beza.

Selain itu, ciri baru yang ada pada model ini adalah servo elektrik pada sistem brek yang bertindak menjana semula tenaga kepada bateri kenderaan ini. Tindak balas ini tidak memberi kesan terhadap brek kenderaan malah cukup sesuai untuk pemanduan dalam bandar yang banyak menggunakan brek khususnya ketika mengharungi kesesakan jalan raya.

Bagaimanapun, disebalik kelebihan yang ada pada model ini, Prebiu.com perasan ialah bukan sahaja sistem gearnya yang unik tetapi tiada pedal tukaran gear pada stereng seolah-olah satu kekurangan yang boleh diperbaiki pada model akan datang.

Namun, pujian diberikan kepada jurutera Honda kerana untuk memarkir kereta Honda Jazz ini hanya perlu menekan butang P tanpa perlu menggerakkan tombol gear kepada kedudukan P sebagaimana biasa dilakukan. Cukup mudah bukan!.

Melihat kepada segi praktikaliti, model ini dilengkapi tempat duduk Ultra yang boleh digunakan dalam beberapa konfigurasi. Nak bawak dua pasu bungapun boleh tanpa masalah.

Penggunaan bateri lithium ion pada ruang but pula menyebabkan ruang bagasi mengecil sebanyak 49 liter kepada 314 liter, manakala tayar ganti digantikan dengan kit baik pulih tayar sementara yang hanya boleh digunakan untuk kerosakan kecil.

Soal penyelenggaraan sistem hibrid, pelanggan tidak perlu gusar kerana bateri yang digunakan adalah tahan lasak. Ia juga didatangkan dengan jaminan selama lapan tahun.

Spesifikasi Honda Jazz Sport Hybrid

Enjin: DOHC i-VTEC
Kapasiti: 1,496 cc
Kuasa: 135 hp
Tork: 170 Nm
Transmisi: dwi-klac automatik tujuh kelajuan
Tangki penuh: 40 liter
Saiz tayar : 175/65R15
Harga: RM80,091 (GST 0%) tidak termasuk insurans

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini