Proton memulakan separuh kedua 2018 dengan mencatatkan angka jualan tertinggi sepanjang 30 bulan yang lalu. Jualan meningkat sebanyak 31% berbanding bulan sebelum ini dengan 8,102 unit kereta Proton dijual kepada pembeli kereta tempatan dan luar negara.

PROTON berkata, meskipun peningkatan jualan tempatan adalah disebabkan pelanggan mengambil peluang membeli kereta dengan GST yang berkadar sifar dan sebelum pelaksanaan SST pada September ini, aktiviti eksport yang diteruskan semula oleh syarikat turut menyumbang kepada peningkatan kepada keseluruhan jualan.

Anggaran pegangan pasaran adalah 11.7% kerana Saga dan Persona terus menjadi model pilihan. Pegangan pasaran PROTON meningkat sebanyak tiga bulan berturut-turut dengan anggaran 11.7% bagi Jualan Keseluruhan Industri (TIV) untuk bulan Julai.

Jumlah tersebut meningkat berbanding jumlah pegangan pasaran sebanyak 9.6% yang diperoleh pada bulan Jun mengikut angka yang dikongsi oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

Saga dan Persona kekal sebagai model pilihan apabila mencapai jualan 3,000 unit buat kali pertama pada 2018. Persona turut mencapai sasaran baharu untuk tahun ini apabila merekodkan jualan lebih daripada 2,221 unit, memecahkan rekod pertama kali iaitu sebanyak 2,000 unit sejak Mei 2017.

Saga kekal menjadi pilihan utama kerana model tersebut adalah yang paling mampu milik, luas dan dilengkapi pengendalian terbaik bagi segmennya serta dengan tawaran ‘Saga Terbaik dalam masa 10 tahun’ di mana pelanggan boleh memiliki Saga baharu ini dengan harga kurang dari RM30,000 pada bulan Jun dan Julai.

Bagi Persona, model yang mendapat penarafan antarabangsa 5 bintang oleh ASEAN NCAP ini mempunyai pelbagai ciri keselamatan termasuk Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Kawalan Daya Kawalan (TC) dan 6 beg udara serta ruang dalamannya yang luas, ruangan bagasi seluas 510L dan banyak lagi, yang merupakan antara faktor utama yang mencuri perhatian pembeli.

“Julai adalah bulan yang sangat baik untuk PROTON kerana kami telah mencapai jumlah yang paling tinggi bukan hanya untuk 2018 tetapi juga untuk 30 bulan yang lalu. Kami tahu bahawa faktor utama yang meningkatkan jualan adalah disebabkan pengecualian cukai melalui GST berkadar sifar sebelum pelaksanaan SST pada bulan September tetapi jumlah jualan tersebut juga membuktikan bahawa rakyat Malaysia telah membuka mata mereka dengan tawaran menarik yang terdapat pada barisan kereta-kereta kami.

“Justeru, kami berharap dapat mengekalkan momentum ini walaupun selepas SST diperkenalkan kerana kami bersedia untuk melancarkan SUV pertama pada tahun ini,” kata Abdul Rashid Musa, Ketua Pegawai Eksekutif, PROTON Edar Sdn Bhd.

Salah satu matlamat utama yang digariskan untuk pertumbuhan jangka masa panjang PROTON ialah jualan eksport, yang telah digerakkan semula pada 2018 dengan penghantaran sebanyak 517 unit pada bulan Julai.

Pada masa ini, pasaran eksport yang paling popular untuk kereta Proton adalah di Timur Tengah menerusi lokasi utama seperti Jordan, Iraq dan Iran. Jualan di Mesir dijangka kembali pada suku akhir tahun ini apabila negara pulih dari krisis mata wang yang menghalang industri kereta mereka dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

PROTON resumes export to the Middle East recently. From right, Abdul Rashid Musa, CEO of PROTON Edar, Datuk Radzaif Mohamed, Deputy CEO of PROTON and Dr Li Chunrong, CEO of PROTON

Meskipun usaha Proton kini tertumpu kepada pelancaran SUV yang baharu, dan untuk memastikan tarikan di dalam barisan kereta Proton sentiasa terjaga, syarikat telah memulakan dua aktiviti untuk menonjolkan produknya.

Aktiviti pertama adalah Ace The Space, di mana orang ramai dijemput untuk berkunjung ke cawangan PROTON yang terpilih untuk mengambil bahagian dalam cabaran bagi melihat berapa ramai yang boleh muat di dalam ‘Xtra ruang’ bagi sebuah Proton Ertiga.

Pasukan terbaik akan mendapat ganjaran menarik dan lima kumpulan terbaik keseluruhan dijemput untuk bersaing di pertandingan akhir yang akan diadakan pada 18 Ogos di PROTON Edar Crystal. Berlainan dari pusingan awal, kenderaan yang digunakan pada pusingan akhir adalah Proton Exora di mana akan terdapat kemungkinan besar rekod seramai 41 orang di dalam sebuah Ertiga akan dipecahkan.

Inisiatif kedua ialah PROTON 1 Tank Adventure, yang membawa para pelanggan, ahli kelab kereta Proton, selebriti dan rakan-rakan media bersama-sama menjelajah ke lima wilayah di Malaysia.

Setiap pusingan menggalakkan para peserta untuk menikmati pemandangan, budaya dan makanan tempatan di wilayah-wilayah tersebut sambil memandu kereta Proton sama ada Iriz, Persona atau Saga.

Satu-satunya cabaran dalam penjelajahan ini yang meliputi lebih dari 600km adalah mereka perlu melakukan perjalanan dengan hanya menggunakan satu tangki minyak. Hadiah akan diberikan kepada peserta yang terbaik dan pada pusingan akhir yang akan diadakan pada hujung bulan ini, peserta akan diminta untuk melengkapkan perjalanan lebih dari 720km.

Angka penggunaan minyak yang paling jimat yang diperoleh para peserta semasa pusingan wilayah setakat ini adalah 21.05km/L bagi Iriz dan 25.18km/L bagi Persona. Bagi Proton Saga pula, bacaan terbaik yang direkodkan adalah 28.49km/L.

Seperti bulan-bulan sebelum ini, PROTON terus menyokong Tabung Harapan Malaysia dengan menyumbang sebanyak RM10 untuk setiap kereta yang dijual sehingga 31 Disember 2018. Oleh itu, dengan penjualan sebanyak 8,102 unit kereta pada Julai, sejumlah RM81,020 akan diperuntukkan tambahan dari sumbangan sebanyak RM61,730 pada bulan Jun.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini