Wakil pengedar baharu bagi jenama BMW dan BMW Motorrad bermatlamat untuk meneruskan perkembangan portfolio BMW Group Malaysia di Negeri di Bawah Bayu, Sabah.

REGAS Premium Sabah dan BMW Malaysia pada hari ini telah membuka bilik pameran BMW dan BMW Motorrad yang terbaharu di Kota Kinabalu, Sabah.

Berucap sewaktu majlis pembukaan yang telah berlangsung, Harald Hoelzl, Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia berkata, “Usahasama dan kolaborasi dengan wakil pengedar kami seperti Regas Premium Sabah membentuk sebuah titik sentuh yang penting untuk membolehkan kami merealisasikan pengalaman pemanduan yang tiada tandingannya bagi para pelanggan kami di Malaysia.

Walaupun Regas Premium Sabah baru sahaja dilantik sebagai wakil pengedar di Kota Kinabalu, pemiliknya, Tan Brothers Machinery Company (TBMC) dan Regas Group of Companies tidak asing dengan industri automotif premium di rantau Timur Malaysia.”

Hoelzl berkata, setiap tahun, kedua-dua negeri di rantau Borneo Malaysia menyumbang kepada penjualan melebihi 500 unit kenderaan di dalam negara, dan Sabah khususnya mencatat penjualan melebihi 200 unit kenderaan, lantas membuktikan negeri tersebut sebagai sebuah titik sentuh yang penting bagi BMW.

Matthew Tan Pengarah Urusan dan Prinsipal Pengedar Regas Premium Sabah juga berkata, “BMW Group merupakan peneraju Mobiliti Masa Hadapan, ia menawarkan produk premium yang terbaik dan servis premium yang terbaik untuk tujuan mobiliti individual.

Jenama-jenama yang mewakili pengeluar kenderaan premium tersebut juga adalah antara jenama yang paling pesat berkembang dalam segmen kenderaan premium di Malaysia melalui inovasi yang dilihat sedang menerajui industri automotif di dalam negara, atas sebab inilah ia menjadi impian kami di TBMC Group of Companies untuk mewakili BMW di Sabah.”

Pada tahun yang lalu, penyerahan unit kenderaan BMW, MINI dan BMW Motorrad telah melakarkan peningkatan sebanyak 18% di Sabah berbanding tahun 2016.

Regas Premium Sabah Sdn Bhd merupakan usaha sama antara TM Vision Auto Services Sdn Bhd (iaitu sebuah syarikat subsidiari milik TBMC Group of Companies) dan Regas Group of Companies.

Regas Premium Auto ialah wakil pengedar sah bagi jenama BMW, MINI dan BMW Motorrad di negeri Sarawak. Regas Premium Auto juga dilantik sebagai pengedar servis sah bagi BMW i pada tahun 2016 di negeri tersebut, dan pada tahun lepas, ia telah mendirikan fasiliti pengecasan awam BMW i yang pertama di rantau Borneo Malaysia yang terletak di CityOne Megamall Kuching.

Regas Premium Sabah akan menggantikan FM Autohaus sebagai pengedar terbaharu BMW Group Malaysia di Kota Kinabalu dan akan beroperasi di dalam fasiliti bersaiz 53,500 kaki persegi yang terletak di Jalan Penampang.

Ia menawarkan rangkaian perkhidmatan yang menyeluruh termasuk Jualan, Servis, Alat Ganti dan Sistem (4S) bagi jenama BMW dan BMW Motorrad, serta fasiliti servis bagi jenama BMW i dan MINI.

Kini, BMW Group Malaysia mempunyai rangkaian yang terdiri daripada 20 pengedar BMW, 8 pengedar MINI, dan 9 pengedar BMW Motorrad di seluruh negara. Regas Premium Sabah terletak di Lot 17362, Mile 3, Lido, Jalan Penampang, 88300 Kota Kinabalu, Sabah.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini