Projek pertanian bandar yang bertujuan untuk membangunkan komuniti yang utuh dan mampan

SIME Darby Property dan komuniti Apartmen Melati di Bukit Subang melancarkan Kebun Komuniti Melati, salah satu usaha untuk memaksimakan penggunaan kawasan hijau dan membantu komuniti bandar menangani kenaikan kos sara hidup.

Pelancaran dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Najwan Halimi, dihadiri oleh Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Selangor Fairojibanu Zainal Abidin, Pengurus Besar Sime Darby Property, Appollo Leong dan para ahli komuniti.

ADUN Kota Anggerik YB Najwan Halimi melawat tapak Kebun Komuniti Melati yang telah dilancarkan

Projek kebun komuniti tersebut menyediakan keluarga berpendapatan rendah di perbandaran Bukit Subang dengan kemudahan asas bagi mengusahakan tanaman seperti sayur-sayuran untuk keperluan sendiri dan menjana pendapatan daripada penjualan hasil tanaman mereka.

Sime Darby Property turut menyumbang kepada penyediaan infrastruktur berkebun seperti sistem fertigasi tanaman, kaedah pengurusan tanaman yang menyediakan baja dan bekalan air melalui pengairan titisan (drip irrigation), meningkatkan penyerapan nutrien oleh tanaman dan memastikan hasil yang produktif. Kaedah ini adalah lebih sistematik dan mudah diurus berbanding kaedah pertanian konvensional.

Pengurus Besar Sime Darby Property, Appollo Leong berkata, Kebun Komuniti Melati ini adalah projek perintis yang akan memberi manfaat kepada 30 keluarga terpilih di Apartmen Melati, Bukit Subang.

“Kami berbangga menjadi sebahagian daripada inisiatif ini, yang akan memberi manfaat kepada masyarakat melalui akses kepada makanan yang sihat dan berkhasiat, kehidupan yang lebih baik dan persekitaran hidup yang lebih harmoni,” katanya.

Kebun Komuniti Melati mengaplikasikan konsep pertanian bandar yang menggunakan ruang hijau yang terbiar, dengan tiga fasa bakal diperkenalkan. Fasa 1 melibatkan kawasan seluas 74m x 6m, 70m x 6m untuk Fasa 2 dan 64m x 6m bagi Fasa 3. Kesemua fasa ini akan dibangunkan secara berperingkat dan disediakan dengan sistem fertigasi.

Pengurus Besar Sime Darby Property Appollo Leong menyampaikan sumbangan syarikat pemaju hartanah tersebut, bagi menjayakan projek kebun komuniti di Bukit Subang.

Setakat ini, seramai 30 peserta telah mendaftar dan bersedia untuk memberikan komitmen penuh kepada Fasa 1, dengan penyertaan komuniti dijangka meningkat tidak lama lagi. Para peserta akan diberikan latihan berkenaan pertanian bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran, memastikan impak positif kepada projek tersebut.

Bukit Subang adalah perbandaran seluas 250 ekar yang dibangunkan oleh Sime Darby Property. Ia adalah salah satu daripada empat perbandaran di City of Elmina selain Denai Alam (1,000 ekar), Elmina East (1,088 ekar) dan Elmina West (2,662 ekar).

City of Elmina adalah perbandaran pertama yang didedikasikan kepada kesejahteraan dan daya huni di Malaysia, dirancang dan dibangunkan sejajar dengan spesifikasi yang ditetapkan oleh Kaji Selidik Kualiti Kehidupan, sebuah piawaian yang diiktiraf di peringkat antarabangsa bagi mengukur tahap daya huni.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini