Model MPV Nissan Serena 2.0L S-Hybrid Serba Baharu yang dilancarkan secara rasmi pada 14 Mei lalu menerima tempahan lebih 4,000 unit setakat ini. Apa yang menyebabkan model ini mendapat sambutan, baca lebih lanjut sesi pandu uji Prebiu.com.

MODEL generasi kelima Nissan Serena S-Hybrid yang dipasang sepenuhnya (CKD) di negara ini tampil menerusi dua varian iaitu Highway Star dan spesifikasi tertinggi, Premium Highway Star.

Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM), pengedar MPV Hybrid ini di Malaysia menjadi negara pertama selain Jepun yang memasang model ini malah tidak hairanlah populariti model ini ketika dilancarkan di Jepun setakat ini sudah mencatatkan jualan lebih 33,000 unit.

Sebenarnya, sambutan tempahan terhadap model Nissan Serena S-Hybrid ini banyak dibantu oleh pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sifar mulai 1 Jun lalu berikutan harga baharu bagi semua barisannya ditawarkan lebih kompetetif termasuk beberapa insentif menarik disediakan kepada pembeli.

Umum sudah mengetahui bahawa memiliki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dianggap satu kelebihan kepada mereka yang berkeluarga besar kerana ia bukan sahaja praktikal malah mampu membawa ramai penumpang dan barangan.

Ciri ‘Kerusi kapten’ pada barisan kedua

Bagaimanapun, masalah yang timbul ialah mencari sebuah MPV yang benar-benar ‘berbaloi’ dimiliki dengan pelaburan yang dibelanjakan sama ada melihat kepada rekabentuknya, jenama pengeluar ataupun kapasiti kuasa enjinnya.

Ketika ini, pasaran Malaysia menawarkan pelbagai jenis MPV sama ada keluaran Jepun, Korea Selatan mahupun Eropah namun yang paling banyak mendominasi pasaran tentu sekali MPV buatan Jepun mungkin disebabkan tanda harga yang mampu dimiliki.

Model MPV Nissan Serena baharu ini yang memperoleh status EEV (Energy Efficient Vehicle) mencatatkan penjimatan bahan api yang terbaik dalam kelasnya iaitu 14.2 km/l iaitu 13 peratus peningkatan penjimatan bahan api berbanding model terdahulu.

Enjin berkuasa dan menjimatkan

Varian Highway Star yang sebelum ini ditawarkan pada harga RM135,500, kini menjadi RM127,874.84. Manakala Premium Highway Star yang pada mulanya diletakkan harga RM147,500, telah diturunkan menjadi RM139,195.59. Kesemua ini adalah harga atas jalan tanpa insurans.

Dalam sesi pandu uji ringkas Prebiu.com bersama varian Premium Highway Star bewarna dua tona iaitu Cashmere Gold dan Imperial Umber ini masih menggunakan jenis enjin yang sama dengan model C26 Serena iaitu enjin MR20DD 2.0 liter suntikan-terus CVTC berkembar empat silinder petrol namun dilakukan beberapa penambahbaikan kepada enjin.

Padanan enjin ini mampu menghamburkan kuasa sehingga 150 PS pada 6,000 rpm dan tork 200 Nm pada 4,400 rpm. Penggunaan Dua Arm Tensioner (DAT) berfungsi melegakan sedikit tekanan ke atas arm belt untuk mengurangkan kehilangan kuasa, mengurangkan geseran dan meningkatkan penjimatan bahan api.

Rekabentuk menerima sedikit sentuhan daripada model MPV ‘Nissan Elgrand’

Bagaimanapun, padanan transmisi Xtronic CVT yang diberikan penambahbaikan ditambah dengan motor ECO (1.9 kW) untuk mengawal ciri Idling Stop, menjadikan pergerakan enjin lebih lancar dan efisyen.

Apa yang menarik mengenai enjin MPV ini ialah kuasa elektrik untuk sistem pancitan bahan api enjin dan sistem elektrikal lain tidak dibekalkan oleh alternator, sebaliknya dari bateri utama dan bateri tambahan sekali gus memberikan kecekapan dan penjimatan penggunaan bahan api.

Meskipun, saiz kerangka MPV ini agak besar namun berat baharunya telah dikurangkan sebanyak 12 kilogram berbanding model terdahulu membolehkan Nissan Serena S-Hybrid ini mampu memecut lebih 150 km/j di lebuh raya tanpa masalah.

Cermin belakang boleh dibuka separuh

Bagaimanapun, sebagaimana prinsip asas sebuah kenderaan, jika dipandu dalam kelajuan yang tinggi tentu sekali akan mempengaruhi penggunaan tahap bahan api. MPV ini sebenarnya lebih praktikal dipandu di laluan bandar kerana ciri enjin henti/mula mampu menjimatkan bahan api.

Sebenarnya, meskipun bersaiz besar untuk mengendalikan MPV ini yang memiliki ukuran 4,770mm panjang, ketinggian 1,865mm dan lebar 1,740mm, adalah mudah kerana MPV ini didatangkan dengan Kamera Paparan Pandangan Sekeliling 360-darjah (I-AVM) dengan Pengesan Objek Bergerak Pintar (I-MOD), di mana skrin paparannya terletak di skrin atas.

7 Ciri Menarik Nissan Serena S-Hybrid Generasi Kelima

  •  Dilengkapi ABS, EBD, BA, Isofix dan Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC)
  •  Enam beg udara keselamatan berbanding hanya dua unit pada model sebelum ini
  •  Lampu utama LED projektor dengan lampu kabus hadapan.
  •  Pintu gelongsor kembar berkuasa dengan ciri pengesan kaki
  •  Pintu belakang dwi-bukaan sama ada membuka secara keseluruhan atau separuh.
  •  Tempat isian minyak tanpa penutup
  •  Tujuh USB port untuk penumpang hadapan dan belakang

Melangkah ke ruang kabinnya, susun atur kerusinya boleh diberikan pujian kerana model baharu kali ini dilengkapi “Kerusi Kapten” lengkap dengan perehat tangan di barisan kedua dengan dan meja khas.

Berbanding model terdahulu, MPV ini boleh dijadikan tiga tempat duduk dengan satu bangku di bahagian tengah yang boleh ditolak ke hadapan iaitu antara tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan.

Meja khas siap bina untuk penumpang belakang

Justeru, jumlah kapasiti penumpang untuk MPV ini hanya mampu memuatkan tujuh orang berbanding lapan sebelum ini sekali gus memudahkan penumpang belakang keluar masuk khususnya penumpang barisan ketiga.

Melihat kepada papan pemukanya, kluster instrumennya kelihatan kemas dengan padanan skrin sesentuh Clarion 6.75-inci di bahagian tengah yang berfungsi sebagai pemain MP3 dan radio. Turut tersedia sambungan melalui Apple Carplay dan Android Auto.

Ciri lain ialah butang tekan mula, kemasukan tanpa kunci, kawalan suhu zon-tunggal untuk hadapan dan barisan kedua, kawalan kelajuan, tirai matahari untuk tingkap barisan kedua, perakam video DVR, 10 tempat letak cawan, tempat duduk balutan fabrik dengan fungsi larasan manual bagi pemandu, penumpang hadapan dan juga di barisan kedua.

Papan pemuka yang ringkas dan bergaya

Kesemua tempat duduk bagi MPV baharu ini dilengkapi dengan teknologi Nissan’s Zero Gravity, sekali gus memberikan keselesaan sepanjang perjalanan. Tempat duduk sifar graviti ini memberi sokongan tulang belakang bagi mengurangkan keletihan ketika perjalanan jauh.

Kesimpulannya, Nissan Serena S-Hybrid 2018 boleh menjadi pilihan terbaik sebagai sebuah MPV keluarga kerana ciri mampu milik dan praktikalnya. Apa tunggu lagi rebutlah peluang untuk memiliki MPV ini sementara harganya tengah turun disebabkan pelaksanaan GST sifar sepanjang tiga bulan ini sehingga September ini.

Cadangan Prebiu.com

Model MPV ini boleh dianggap memiliki kelas tersendiri namun Prebiu.com mencadangkan agar sistem kawalan audio dipadankan pada stereng kenderaan ini bagi memudahkan pemandu mencari siaran radio dengan mudah tanpa perlu menganggu fokus pada pemanduan.

Selain itu, paparan visual kamera undur yang terletak berhampiran panel kelajuan agak jauh untuk dilihat dan dicadangkan agar disambung pada skrin sesentuh Clarion 6.75-inci di bahagian tengah.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini