Lebih 250 pemilik motosikal berkuasa tinggi menghadiri Majlis Berbuka Puasa anjuran Harapan Baru Bikers semalam di Hype Motorsports Hotel, Kuala Lumpur.

HARAPAN Baru Bikers yang ditubuhkan pada Ogos 2015 di Sungai Lalang, Sungai Petani Kedah itu ketika ini memiliki lebih 300 ahli di seluruh negara.

Presiden Harapan Baru Bikers, Yasir Said berkata, kelab ini ditubuhkan selepas menerima banyak permintaan daripada pemilik motosikal berkuasa tinggi khususnya di Utara tanah air yang ‘dahagakan’ program dan aktiviti santai sesama sendiri.

“Selepas tamatnya Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kami berbincang untuk mengadakan program pertama bersama dengan pemimpin Pakatan Harapan membabitkan sebahagian  ahli dari Utara, Lembah Klang dan Melaka.

“Penaung Harapan Baru Bikers ialah Menteri Pertahanan, YB Tuan Hj Mohamad Sabu yang kemudian sudi melepaskan konvoi kami ke Melaka pada jam 2 pagi ini menuju ke Melaka,” katanya ketika ditemui selepas majlis berbuka puasa bersama pemimpin Pakatan Harapan di Hype Motorsports Hotel, Sungai Besi Kuala Lumpur.

Hadir sama, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad serta Pengasas dan Pengerusi The Mines Resort Bhd and Country Heights Holdings Bhd, Tan Sri Lee Kim Yew.

Beliau berkata, kumpulan konvoi Harapan Baru Bikers kemudian akan bersahur di rumah Ketua Menteri Melaka, Adly Zahary yang sudi menyambut dan meraikan lebih 100 ahli persatuan itu.

Katanya, selepas bersahur pada pagi Sabtu ini, ahli kelab akan mengambil kesempatan bersiar-siar di lokasi menarik di sekitar Melaka sebelum bertolak pulang ke rumah masing-masing termasuk menuju ke Utara tanahair.

Ditanya sama ada Harapan Baru Bikers akan membuka keahliannya kepada pemilik motosikal kapcai atau moped, Yasir berkata ketika ini keahlian terbuka kepada pemilik motosikal berkuasa tinggi dengan sasaran keahlian seramai 500 orang sehingga akhir tahun ini.

“Bagaimanapun, pihak kami mempunyai perancangan untuk membuka keahlian kepada pemilik motosikal kapcai atau moped pada masa depan kerana tujuan kelab ini ditubuhkan adalah untuk menganjurkan aktiviti yang berfaedah dan pada masa sama menitikberatkan aspek menunggang dengan selamat,” katanya.

Beliau berkata, untuk mengetahui lebih lanjut mengenai aktiviti dan program diadakan oleh Harapan Baru Bikers boleh melayari laman sosial facebook, harapan baru bikers.