Telekom Malaysia Berhad (TM) dan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) baru-baru ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) untuk kedua-dua syarikat berkolaborasi menerusi usahasama strategik yang akan memberi manfaat meliputi pelbagai aspek kerjasama.

USAHASAMA strategik antara PETRONAS dan TM ini bertujuan untuk melaksanakan lima kluster yang bakal meningkatkan kecemerlangan operasi dan mempertingkatkan pengalaman pelanggan kedua-dua syarikat, dengan memanfaatkan kekuatan dan perkongsian nilai kedua-dua belah pihak.

Usahasama ini akan menyaksikan kedua-dua syarikat saling bekerjasama untuk meningkatkan penggunaan produk PETRONAS oleh anggota TM, bermula dengan PETRONAS Dagangan Berhad (PDB) yang akan meluaskan perkhidmatan SMARTPay kepada Warga Keluarga TM, justeru membolehkan pembayaran tanpa tunai dan meningkatkan kecekapan operasi di samping memberikan TM penjimatan kos petrol yang ketara setiap tahun.

Signing MoU TM-PETRONAS

Selain itu, PDB dan TM akan membangunkan rangkaian infrastruktur generasi akan datang bagi mempertingkatkan rangkaian perniagaan runcit PDB dan memperbaiki mutu penyampaian perkhidmatan pelanggan di stesen-stesen PDB.

PETRONAS juga akan berkolaborasi dengan TM, menerusi bahagian teknologi maklumatnya
PETRONAS ICT, bagi menerokai pusat data masa hadapan. Ini akan melibatkan digitisasi aset-aset PETRONAS untuk meningkatkan keselamatan data serta pengalaman pengguna.

Kerjasama ini akan turut memperlihatkan PETRONAS dan TM menerokai konsep taman pintar untuk KLCC. Inisiatif ini disasarkan bukan sahaja untuk meningkatkan pengalaman pengunjung yang menggunakan tempat letak kereta di situ, tetapi juga akan memberikan perlindungan dan keselamatan di fasiliti tersebut.

PETRONAS dan TM juga akan membuat pelaburan bersama dalam kajian yang meliputi bidang melibatkan industri petroleum dan gas serta telekomunikasi, antaranya membina
kecekapan tenaga kerja tempatan, perkongsian ilmu dan inisiatif ‘Topi Keselamatan Pintar’, untuk menggalakkan keselamatan di tempat kerja.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, PETRONAS, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin menandatangani memorandum tersebut bagi pihak PETRONAS manakala TM diwakili oleh Dato Sri Mohammed Shazalli Ramly, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, TM.

Berucap pada majlis berkenaan, Tan Sri Wan Zulkiflee menekankan bahawa syarikat-syarikat utama di Malaysia harus menerajui usaha untuk bekerjasama dan berkolaborasi untuk meraih kejayaan yang lebih hebat.

Signing MoU TM-PETRONAS

“Peluang yang wujud tiada hadnya – daripada penyelesaian isu semasa, menawarkan
bantuan sokongan dan perkhidmatan kepada penciptaaan bersama dan menginovasikan rumusan dan penawaran pasaran masa hadapan,” katanya.

“Usahasama yang termeterai hari ini menandakan berkembangnya hubungan kerja sedia ada antara PETRONAS dan TM. Sambil kami menemukan idea-idea baharu dan memperkukuhkan hubungan, saya berharap yang kolaborasi ini bukan sahaja memberikan manfaat kepada PETRONAS dan TM, malahan kepada industri, pelanggan kami dan juga negara. PETRONAS secara keseluruhannya dan saya sendiri teruja untuk menjadikan perjalanan ini satu kejayaan,“ katanya.

Mengulas mengenai kerjasama tersebut, Dato Sri Shazalli berkata, “Sebagai satu-satunya penyedia yang mampu menawarkan keterhubungan terbaik dan perkhidmatan telekomunikasi, ICT dan perkhidmatan pintar bersepadu sepenuhnya di negara ini, TM bersama unit rumusan perniagaannya, TM ONE berbangga dapat memainkan peranan sebagai rakan strategik dalam membentuk ekosistem untuk transformasi digital PETRONAS.”

“TM menerusi TM ONE, satu-satunya pemacu untuk perniagaan dan sektor awam merealisasikan sepenuhnya potensi peluang digital mereka, komited untuk membawakan rumusan perniagaan bersepadu bagi memenuhi keperluan perniagaan menegak yang canggih dan dinamik, termasuklah industri petroleum dan gas, terutamanya dalam persekitaran masa kini yang terhubung secara digital,” tambah beliau.

Kerjasama ini yang melibatkan TM dan PDB, PETRONAS ICT, KLCC Property dan Universiti
Teknologi PETRONAS (UTP) akan membolehkan semua pihak memanfaatkan kelebihan masing-masing bagi mencipta nilai dan pertumbuhan lebih tinggi buat industri dan seterusnya, ekonomi negara kita.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini