Sembilan peserta yang dipilih sebagai pemenang bagi peraduan Toyota Dream Car Art 2018 telah menerima hadiah masing-masing daripada UMW Toyota Motor.
HASIL seni yang dihasilkan mereka dinilai berdasarkan idea inovatif dan rekaan futuristic. Rekaan yang terpilih akan mewakili UMW Toyota Motor bagi mengikuti pertandingan diperingkat dunia yang akan berlangsung pada Ogos 2018 di Jepun.
Peraduan “Toyota Dream Car Art” bermatlamat untuk menggalakkan kanak-kanak dari
serata dunia untuk berkongsi idea mereka tentang mobiliti di masa hadapan dengan cara
melukiskan kereta impian mereka.
Tujuan program ini adalah untuk memacu inspirasi kreatif di kalangan kanak-kanak. Setiap tahun, ribuan kanak-kanak seluruh dunia berkongsi impian mereka tentang bagaimana kenderaan boleh menjadikan dunia lebih baik, melalui hasil seni yang dihasilkan.
Ia merupakan usaha diperingkat dunia yang diterajui oleh Toyota Motor Corporation dan
sekaligus menjadi acara tahunan yang telah dianjurkan oleh UMW Toyota Motor sejak
lima tahun lalu.
Kanak-kanak dibawah umur 15 tahun layak untuk ikut serta di dalam tiga kategori berbeza
yang dipertandingkan. Sejumlah 1,703 penyertaan telah diterima sepanjang tempoh peraduan ini berlangsung, dari 1 Disember 2017 hingga 20 Februari 2018.
Dalam kategori umur bawah 8 tahun, tempat pertama menjadi milik Liew Wei Jet, diikuti
oleh Tan Xuan Ni di tempat kedua sementara Nicholas Kheng Yong Xuan ditempat ketiga.
Bagi kategori umur 8-12 tahun pula, Lee Sin Xuan dipilih sebagai juara, sementara tempat
kedua dan ketiga masing-masing menjadi milik Chai Ming Wei dan Ahmadi Fahmie Bin
Azhar. Bagi kategori Umur 12-15 tahun yang lebih kompetitif, Lee Sin Tian merangkul
hadiah utama. Ini diikuti oleh Lim Xiao Yun dan Charmaine Lim yang menduduki tempat
kedua dan ketiga.
Pemenang hadiah utama menerima sebuah iPad Mini, manakala pemenang tempat kedua
membawa pulang sebuah basikal dan tempat ketiga memperoleh tiket masuk ke
Legoland.
Mereka yang layak akan diterbangkan ke Jepun bersama penjaga bagi majlis
penyampaian hadiah yang akan berlangsung Ogos nanti dimana semua kos perbelanjaan
perjalanan dan tempat tinggal akan disediakan oleh Toyota Motor Corporation.
Toyota Motor Corporation percaya di dalam mempromosikan aktiviti seni dan budaya
dalam kalangan kanak-kanak dan belia di seluruh dunia. Di Malaysia, UMW Toyota Motor
juga mengikuti jejak yang sama, kata Timbalan Pengerusi, Akio Takeyama.
Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K. pula berkata; “Kenderaan melambangkan
perkembangan manusia di dalam mempertingkatkan mobiliti.
“Acara seperti ini dapat menggalakkan kanak-kanak untuk meluahkan kreativiti mereka dalam bentuk kesenian dan kami berharap UMW Toyota Motor, melalui acara ini, dapat memberikan inspirasi kepada golongan kanak-kanak dan remaja untuk membayangkan rekaan kereta yang lebih inovatif.