ASTRO Catat Pertumbuhan PATAMI sebanyak +24% kepada RM771 juta. NJOI memacu pertumbuhan pelanggan sebanyak +7% kepada 5.5 juta

ASTRO Malaysia Holdings Berhad kekal berdaya tahan, mengatasi prestasi pemain tempatan dan antarabangsa apabila berjaya mencatatkan pertumbuhan PATAMI sebanyak 24% dari tahun ke tahun kepada RM771 juta, rata-ratanya disumbang oleh peningkatan EBITDA dan pertambahan positif forex di sebalik sentimen pasaran yang mencabar pada sepanjang tahun.

Keseluruhan Pendapatan menurun -1% dari tahun ke tahun kepada RM 5.53 bilion manakala Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) meningkat +0.2% dari tahun ke tahun kepada RM1.82 bilion.

Aliran Tunai Bebas (FCF) yang kukuh bernilai RM1.36 bilion membolehkan dividen interim ke-empat dicatatkan pada kadar 3 sen sesaham dan dividen akhir sebanyak 0.5
sen sesaham.

Pengerusi Astro, Tun Zaki Azmi, berkata: “Dalam keadaan pasaran yang penuh mencabar pada hari ini, Astro terus mempamerkan peningkatan dari segi keuntungan dan berjaya menjana aliran tunai yang kukuh.

Seiring dengan polisi dividen, pihak Lembaga Pengarah dengan sukacitanya mengumumkan pembayaran dividen interim ke-empat bernilai 3 sen sesaham dan mencadangkan agar dividen akhir dibuat pada kadar 0.5 sen sesaham.”

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Dato’ Rohana Rozhan, berkata: “Landskap media pada hari ini memperlihatkan anjakan agresif menuju ke arah era digitalisasi.

Pada FY18 ini, kami menggalakkan lagi fasa tranformasi dengan melengkapkan dan meningkatkan kemahiran, ketangkasan dan keupayaan kami sebagai sebuah organisasi pelanggan dan kandungan.

Kami menggiatkan lagi usaha berkaitan dengan perkara-perkara imperatif utama untuk mengubah Astro sebagai sebuah syarikat digital yang didorongi data, dengan mengoptimumkan pelaburan dan menjana keuntungan daripada aset-aset media kami,
mencapai kos efisien melalui skala dan amalan terbaik, memperkukuhkan lagi jalinan hubungan bersama pelanggan dengan menawarkan kandungan vernakular terbaik secara menyeluruh, dan seterusnya membina sebuah saluran inovasi yang mantap.

Keputusan tahun lalu adalah kemuncak kepada fokus ini, kerana dalam pada pendapatan keseluruhan dilihat berada di kedudukan tertekan kerana dipengaruhi sentimen pelanggan yang lemah dan halangan yang kompetitif, syarikat masih berjaya mencatatkan rekod
keuntungan.”

Faktor penyumbang

• Perkhidmatan servis TV satelit percuma, NJOI menyokong pertumbuhan pelanggan dan Adex
o Jumlah keseluruhan pelanggan meningkat +7% dari tahun ke tahun kepada 5.5 juta
o Kadar perpindahan (‘churn rates’) terbaik global hanya pada 9.6%
• Hasil Purata Setiap Pelanggan (ARPU) yang terjana ialah RM99.9
• Nilai keseluruhan Adex meningkat +2% dari tahun ke tahun kepada RM722 juta
• Pendapatan Go Shop meningkat 11% menjadikannya RM290 juta

Kami lihat, jumlah keseluruhan pelanggan Astro meningkat sebanyak 7% dari tahun ke tahun kepada 5.5 juta dari 5.1 juta, yang mana pencapaian ini telah menyumbang ke arah penembusan 75% isi rumah di Malaysia pada FY18, berbanding sebelum ini sebanyak 71%.

Pendapatan NJOI melonjak sebanyak 21% dari tahun ke tahun kepada RM 100 juta,
disumbang oleh pek prabayar berbentuk pek individu atau menerusi pembelian ala carte. Saluran berbayar (‘Pay TV’) kekal berdaya tahan, dengan kadar perpindahan (‘churn rates’) terbaik global hanya pada kadar 9.6%, ARPU sebanyak RM 99.9 dan ARPU untuk pelanggan baru sebanyak RM 67.7.

Rohana berkata: “Bertentangan dengan jangkaan ramai yang merasakan ini merupakan era ‘pemotongan-kord’ (‘cord-cutting’), kami lihat hubungan yang terjalin di antara Astro dan pelanggan kini lebih kukuh, merentasi setiap aset media kami; 23 juta individu dalam setiap isi rumah Astro, dan seramai 16.5 juta pendengar radio serta secara purata seramai 6.9 juta pengunjung unik (‘unique visitors’) melayari aset-aset digital Astro pada setiap bulan.

Pada FY18, jumlah isi rumah dengan decoder PVR bersambung turut meningkat sebanyak 59% dari tahun ke tahun kepada 804.000, dengan purata kadar tontonan kandungan
selama 50 jam pada setiap minggu dan sejumlah 23 juta program dimuat turun menerusi platform ‘on demand’.

Aplikasi Astro GO dan NJOI Now menawarkan pelanggan kandungan mobiliti. Pada hari ini,
perkhidmatan ini berjaya menyaksikan peningkatan pengguna berdaftar sebanyak 45% dari tahun ke tahun kepada 1.6 juta; dengan kadar purata tontonan kandungan oleh pengguna aktif selama 247 minit pada setiap minggu.

Nilai keseluruhan Adex Malaysia telah merosot sebanyak 8% dari tahun ke tahun kepada RM 4.5 bilion berbanding sebelum ini, pada kadar RM4.9 bilion. Namun begitu, jumlah keseluruhan Adex Astro merekodkan peningkatan sebanyak 2% dari tahun ke tahun kepada RM 722 juta berbanding RM 705 juta sebelum ini.

Ini termasuklah Adex digital yang meningkat sebanyak 17% dari RM 30 juta kepada RM35 juta. Nilai pertumbuhan Adex TV dan Radex juga dilihat begitu memberangsangkan dengan masing-masing meningkat sebanyak 44% dan 74%.

Pertumbuhan positif ini dijangka berterusan kerana Astro akan memberi tumpuan dalam menyediakan penyelesaian kepada pemasaran terbaik kepada kedua-dua pihak agensi dan pengiklan, didorongi oleh data unik atau ‘persona’ setiap pelanggan yang sedia ada.

 

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini