Sebagai perintis dalam pelaksanaan jalur lebar berkelajuan tinggi di negara ini, Telekom Malaysia Berhad (TM) bersama-sama Huawei Technologies (M) Sdn Bhd (Huawei) sekali lagi bekerjasama bagi mempertingkatkan jalur lebar dan ekonomi digital negara.

KEDUA-dua syarikat baru-baru ini telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) untuk berganding bahu dalam pelbagai aktiviti usahasama, memanfaatkan kepakaran dan keupayaan teras masing-masing bagi memperluaskan capaian rangkaian jalur lebar fiber, selari dengan langkah Kerajaan untuk memacu ekonomi digital di Malaysia.

Kolaborasi ini akan memanfaatkan gabungan kelebihan dan keupayaan kedua-dua syarikat untuk memperluaskan lagi capaian jalur lebar nasional dan mempertingkatkan penerimaan gaya hidup digital terhubung serta Segalanya Internet (IoT) dalam kalangan rakyat Malaysia.

Menerusi usahasama strategik ini, TM dan Huawei akan memainkan peranan pembangunan yang lebih proaktif bagi menyediakan infrastruktur dan ekosistem untuk menyokong pertumbuhan negara.

MoU tersebut telah ditandatangani oleh Datuk Bazlan Osman, Pengarah Eksekutif / Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, TM dan Foo Fang Yong, Naib Presiden, Huawei Technologi (M) Sdn Bhd.

Majlis berkenaan telah disaksikan oleh Dato’ Sri Mohammed Shazalli Ramly, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, TM dan Baker Zhou, Ketua Pegawai Eksekutif, Huawei Technologies (M) Sdn Bhd.

Mengulas mengenai usahasama itu, Dato’ Sri Mohammed Shazalli Ramly berkata, “Kami amat gembira untuk berganding bahu dengan sebuah syarikat global terkemuka seperti Huawei untuk memacu penawaran perkhidmatan dan rumusan digital kepada negara, justeru menyokong aspirasi ekonomi digital Kerajaan.

Sebagai rakan yang diyakini dalam inisiatif-inisiatif utama pembangunan negara, TM memastikan ketersediaan serta keselamatan infratsruktur strategik dan penting negara, dan dalam memacu capaian jalur lebar kepada semua rakyat Malaysia.

Kami percaya kolaborasi strategik seperti MoU ini menjadi satu lagi bukti kepada peranan kami sebagai pemacu utama infrastruktur komunikasi negara.”

Sementara itu, Baker Zhou berkata: “Telekom Malaysia dan Huawei telah bekerjasama untuk 15 tahun dan sepanjang 15 tahun itu, kami telah bersama-sama menghubungkan lebih ramai individu.

Kini kita berada di persimpangan transformasi digital dan dengan MoU yang termeterai ini, kami boleh berkongsi, berinovasi dan bekerja dengan lebih erat berbanding sebelum ini.

Huawei akan menyokong sepenuhnya visi TM, “Menjadikan Hidup dan Perniagaan Lebih Mudah”, dan kami akan bersama-sama dengan TM untuk membina negara Malaysia yang lebih terhubung dan pintar.”

Termeterainya MoU ini menggambarkan komitmen kedua-dua pihak untuk berkolaborasi bagi membawakan rumusan digital buat perniagaan dan sektor awam, meneroka rumusan inovatif untuk pengoptimuman rangkaian dan melaksanakan inisiatif-inisiatif yang akan merakamkan perkongsian detik-detik oleh pelanggan TM.

MoU ini juga akan merangkumi bidang-bidang lain merentasi Syarikat-syarikat Kumpulan TM termasuklah perancangan rangkaian dan teknologi, penerokaan model perniagaan inovatif untuk unifi, transformasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) bagi mempertingkatkan kecekapan keseluruhan platform sokongan IT dan Perniagaan TM, usahasama peranti pintar, penciptaan model Kampus Pintar Universiti Multimedia (MMU) dan perkongsian ilmu teknologi inovatif.

Menurut MoU tersebut, Huawei akan berkongsi amalan terbaik globalnya bagi membantu TM menggunakan sepenuhnya peluang-peluang yang muncul dengan pantas menerusi reka bentuk dan pelaksanaan rangkaian dibantu data besar (big data), rumusan Smart Capex pintar untuk bertindak segera terhadap keperluan pelanggan TM, dan mempermudahkan interaksi perniagaan antara kedua-dua organisasi menerusi proses-proses IT yang saling berhubung.

Menerusi usahasama strategik ini, TM beraspirasi untuk meneruskan inovasi dan pengkomersilan teknologi termasuklah Segalanya Internet (IoT), teknologi awan dan kepintaran buatan ke arah membawakan pengalaman digital kepada lebih ramai rakyat Malaysia di seluruh negara.

TM juga akan meneroka pelaksanaan teknologi wayarles alternatif bagi memperluaskan lagi capaian jalur lebar berkelajuan tinggi seluruh negara; merapatkan jurang digital dan memenuhi objektif Kerajaan untuk membina sebuah masyarakat yang benar-benar terhubung.

MoU ini tertakluk kepada perjanjian muktamad yang akan ditandatangani oleh kedua-dua pihak bagi bidang-bidang khusus. Pengumuman selanjutnya akan dibuat kelak, mengikut kesesuaian.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini